Monday, September 25, 2006

Penerbit dan Strategi Penerbitan

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara perlu mempunyai strategi penerbitan, jangan main terbit apa-apa sahaja manuskrip yang saudara terima daripada para penulis.

Bagi penerbit yang baru, lazimnya mereka yakin jika mereka mendapat manuskrip yang baik daripada penulis terkenal, maka itu adalah insurans daripada kerugian yang disebabkan buku tidak laku. Jangankan manuskrip yang kurang baik, manuskrip yang baik pun boleh menyebabkan bisnes saudara tutup.

Bagi penulis pula, manuskrip saudara belum tentu diterima penerbit meskipun ia 'baik' pada penilaian saudara sendiri, sebab resipi kejayaan buku di pasaran adalah gabungan banyak faktor. Banyak buku yang 'buruk' amat laku di pasaran.

Sebagai penerbit, saudara perlu mempunyai SIRI buku-buku yang hendak saudara terbitkan. Jangan main tangkap muat. Jangan fikir "buku apa" yang hendak saudara terbitkan, tetapi fikir "siri apa".

Sebagai contoh, dalam sektor fiksyen, PTS Fortuna menerbitkan siri novel jibunsyi, PTS ONE menerbitkan siri novel remaja, Alaf21 menerbitkan siri novel cinta, manakala Creative menerbitkan siri novel popular.

Jangan gopoh apabila saudara didatangani oleh penulis yang sudah 'published': Bawa bertenang, fikir baik-baik. Karya penulis itu mungkin 'unik', tetapi dalam bisnes, produk yang 'unik' adalah produk yang paling susah hendak dipasarkan!

Penulis, khususnya penulis sastera, memang obses dengan 'keunikan'. Tetapi bagi penerbit, kos yang ditanggung bagi setiap 1 judul yang tidak laku, adalah ia menelan keuntungan daripada 10 judul yang laku bagi tahun itu! Sifirnya mudah sahaja. Satu buku yang tidak laku menelan keuntungan 10 buah buku yang laku!

Bagi penerbit yang besar seperti Alaf21 umpamanya, disebabkan Alaf sudah mempunyai beratus-ratus judul, jika ada 1 judul tidak laku, Alaf masih dapat meneruskan bisnesnya. Tetapi jika saudara penerbit baru?

Sebagaimana dengan bisnes produk-produk konsumer lain, bisnes buku adalah bisnes 'volume'. Lebih besar volume judul yang saudara terbitkan, lebih stabil bisnes saudara. Jumlah judul yang banyak membolehkan saudara mengurus risiko dengan lebih baik.

Penerbit baru lebih selamat menerbitkan siri-siri buku 'ruji', sekurang-kurangnya bagi 5 tahun pertama dalam bisnes.

Apa manfaatnya menerbitkan buku secara siri-siri?

1. Apabila saudara sudah menentukan siri apa yang saudara akan terbitkan, barulah editor perolehan saudara tahu penulis yang macam mana perlu dicari, dan isi kandungan buku yang macam mana hendak ditulis.

Jika saudara tidak menentukan siri buku, editor perolehan saudara bekerja tanpa garis panduan, tanpa mempunyai senarai prioriti, manakala penulis saudara pun tidak tahu buku apa yang saudara mahu ataupun tidak mahu.

Katakanlah saudara merancang pada tahun 2008 saudara akan menerbitkan 30 judul buku siri sukan. Barulah mulai hujung tahun 2006 editor perolehan saudara dapat merancang detail judul-judul itu. Selepas itu baru mereka mencari maklumat universiti mana yang mempunyai fakulti sains sukan. Barulah mereka dapat menyusun siri bengkel penulisan di fakulti itu. Buku-buku itu akan ditulis sepanjang tahun 2007, dan terbit pada 2008!

2. Siri buku membolehkan saudara merancang program penerbitan 5 tahun ke hadapan. Sebagai contoh saudara boleh menetapkan siri-siri baru yang bakal diperkenalkan pada tahun 2007, 2008, 2009, 2020, 2011 dan seterusnya.

Sebagai contoh PTS Millenia akan memperkenalkan 2 siri baru pada 2007, iaitu (a) siri perubatan alternatif dan (b) siri buku DIY (do-it-ypurself). Manakala PTS Fortuna akan memperkenalkan buku sastera klasik pada tahun 2007.

3. Dengan adanya siri, kerja promosi buku-buku yang saudara terbitkan itu lebih efektif dan lebih mudah dilakukan. Buku-buku dalam siri yang sama dapat diiklankan serentak, dan buku-buku itu dijual sebagai set-set khusus untuk sekolah dan perpustakaan.

Cara kerja begini mesti diterangkan kepada para penulis saudara, supaya mereka faham strategi bisnes saudara. Kalau tidak, apa yang berlaku adalah, saudara cari buku lain, mereka tulis buku lain.

Tentu sekali tidak semua penulis setuju dengan cara kerja saudara, tetapi lazimnya mereka tidak setuju sebab mereka tidak faham betapa pentingnya sesuatu bisnes itu dirancang supaya berjaya. Katakan kepada penulis, dengan bahasa yang senang difahami: Apabila penerbit lingkup, royalti penulis pun lingkup.

Banyak orang sudah cuba menjadi penerbit, tetapi majoriti gagal bertahan. Punca utamanya adalah mereka tidak menjalankan bisnesnya dengan mempunyai strategi dan program penerbitan yang kemas. Sebaliknya mereka main terima saja apa yang dihantar oleh pengarang. Ini adalah resipi kegagalan yang baik!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Penerbitan Buku
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Penerbit Baru: Dilema Ikut ataupun Tidak Ikut Previous entry: Hakcipta: Isu Hakcipta Penerbit
alang bidara  on  09/25  at  05:53 AM

Assalamu’alaikum,

Penulis mementingkan sastera dan kandungan, sedangkan penerbit mesti mengambil kira kehendak pasaran, sebab itulah buku-buku yang hendak diterbitkan mesti memenuhi KESEMUA ciri-ciri tersebut.

Tambahan lagi penerbit mestilah mengetahui selok-belok bisnes dan mempraktikkan teknik pemasaran yang berkesan.

Jadi buku, penulis dan penerbit mesti ikut formula ini untuk berjaya, betulkah Sifu ?
——-

Ainon Mohd.  on  09/25  at  06:12 AM

Sdr Alang,

Jual buku adalah bisnes yang susah sebab buku bukan keperluan wajib, macam jual beras ataupun garam! Beli buku dapat ditunda, kalau tak dapat beli hari ini, besok lusa pun masih dapat dibeli. Buku banyak pilihan, tak ada buku ini, ada buku itu.

Percayalah, kalau kita semua boleh berpakat baik-baik, kita dapat bangunkan pasaran buku Melayu dengan lebih baik lagi daripada keadaannya sekarang.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/25  at  07:40 AM

ada planning tukang jual pun senang nak plan apa,bila & bagaimana nak jual.

alang bidara  on  09/25  at  01:14 PM

Assalamu’alaikum SifuPTS, saya merasa suatu perasaan “kengerian” membaca respons Sifu, iaitu mengenai susahnya menjual buku.

Walaupun formula bagus, namun belum tentu buku laris, kerana kejayaan masih bergantung kepada satu pihak lagi, iaitu pembaca.

Hampir “patah semangat” rasanya, terutama bagi saya yang selama ini menulis sebagai satu hobi, baru berjinak-jinak untuk menjadikan penulisan sebagai suatu sumber pendapatan, sekurang-kurangnya bila sudah bersara daripada kerja pejabat nanti, masih ada satu kerja berfaedah yang saya dapat lakukan, tidaklah lepak di kedai kopi, bersembang-sembang kosong.

Namun begitu bila saya baca semula moto PTS, keyakinan saya kembali pulih untuk meneruskan cita-cita saya berganding bahu bersama PTS.

Ainon Mohd.  on  09/25  at  04:09 PM

Sdr Alang,

Menjual insurans nyawa lebih susah daripada menjual buku! Jadi saudara jangan berasa ngeri sangat, masih ada bisnes yang lebih susah daripada menjual buku.

Soal duit, itu kerja Tuhan. Tulis buku yang baik, duit datang sendiri.

Tentang buku travelogue saudara itu, barangkali elok saya beritahu mengapa saya amat mengambil berat tentang buku itu.

Sebab ada hadith yang mengatakan paling elok kita mati jauh dari tempat kita dilahirkan. (Nabi Muhammad lahir di Mekah, meninggal dunia dan dikuburkan di Madinah.) Hadith ini mendorong kita supaya travel!

Jadi melalui buku saudara itu saya mahu menyampaikan salah satu pesanan Nabi Muhammad SAW supaya orang Islam suka travel dan pandai travel.

Pada masa ini orang kitalah…. kalau travel, mereka suka pergi tempat2 indah saja. Saya percaya, dengan membaca buku saudara, pembaca dapat melihat betapa untungnya travel ke tempat-tempat yang eksotik, macam Sudan!

Cepatlah siapkan buku saudara itu!

alang bidara  on  09/26  at  12:50 AM

Assalamu’alaikum SifuPTS, saya terharu buku travelogue itu begitu diambil berat oleh Sifu. Insya Allah, saya akan lipatgandakan usaha,  akan saya cari juga masa meulis di celah-celah kesibukan pejabat dan lain-lain urusan kehidupan ini. Terima kasih.

pezul  on  09/26  at  07:30 AM

menulislah sehingga ke tinta terakhir…

Kang Razzi  on  09/27  at  02:19 AM

Kabare Bakyu… Mengikut pendapat saya yang daif ini—lupakan duit dulu. Kalau mula-mula menulis dah set nak duit, anda akan gagal. Duit datang kemudian. Duit datang sesudah kualiti dan produktiviti. Masa 1 hingga 10 tahun adalah masa untuk mencipta nama, stail, stroke, kontroversi dan sebagainya. Bila dah ada nama, dah ada peminat setia, dah ditunggu—InsyaAllah duit akan datang secara natural. Tapi malangnya ramai yang tak sabar nak ‘branding’ ini. ‘Branding’ secara ringkas—kalau nak cari buku komunikasi—nama siapa yang akan splash di fikiran? Hehhe… senyum Sifu kita ni. Lebih baik jauhi dunia penulisan kalau tak sabar kerana KESABARAN amat penting—siapa lagi yang lebih penyabar dari orang yang mencipta sesuatu (termasuk epik) dari sehelai kertas kosong? Tenan Bakyu?

Ainon Mohd.  on  09/27  at  03:50 AM

Tan Sri Kang,

Waras! Tenan!

Kita di PTS banyak pengalaman berjumpa dengan mereka yang hadir kursus PTS di IPT2. Mana-mana lecturer yang membangkitkan isu bagaimana PTS bayar royalti, terbukti, mereka tidak menulis. Habuk pun taraak!

Rekod royalti PTS pun menunjukkan, penulis yang tidak pernah ambil pusing tentang isu royalti terbukti menerima cek-cek royalti yang handsome!

Mengapakah dorongan duit tidak menghasilkan duit? Senang sahaja logiknya. Orang yang didorong oleh duit mempunyai minda short-term thinking! Itu sebab dia tidak ada minda investor dalam kualiti. Short-term thinking memang berseteru dengan kualiti. Tanpa kualiti, mana mungkin kita menghasilkan karya-karya evergreen….

Nota kaki: Ejaan yang betul adalah “Mbakyu”.

ICe  on  09/27  at  04:23 AM

tulisan sifu ambil sebagai cabaran dan motivasi di kala lemah semangat atau ‘idea block’ (saya bukan penulis lagi, jadi tidak boleh guna writer’s block). terima kasih sifu!

Ainon Mohd.  on  09/28  at  12:45 AM

Sdr ICE,

Saya petik kata-kata sdr “(saya bukan penulis lagi, jadi tidak boleh guna writer’s block)”

Ayat ini bagus, di dalamnya terkandung komitmen sdr akan menulis juga akhirnya!

Bagi yang belum kenal Sdr ICE, beliau ini jurutera, baru balik daripada bertugs di Doha.

Beliau juga cover designer dan ilustrator buku hit Sahabat Kole Kacang karya Sdr Zafran.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.