Sunday, March 30, 2008

Akibat Bergantung kepada Kontrak Kementerian: Walaupun Besar Tetapi Kecil

April 2008, PTS berusia 8 tahun. Nilai jualan buku-buku PTS pada tahun 2007 adalah RM17 juta. Jumlah Tim PTS sudah lebih 60 orang. (Urmmm... kira-kiranya Sifu ini seorang jutawan jugalah.)

Sembilan puluh peratus (90%) perolehan PTS adalah daripada jualan di kedai-kedai buku, manakala 10% adalah daripada jualan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang menjadi supplier kepada pembelian jabatan-jabatan kerajaan.

Ada rakan-rakan dalam dunia bisnes bertanya mengapakah PTS tidak cuba masuk tender dan menjadi kontraktor kerajaan, terutama kontraktor Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sementelah PTS adalah penerbit buku-buku bidang pendidikan yang paling aktif saat ini.

Apabila diterangkan bahawa PTS tidak mahu terlibat dengan rasuah, mereka 'kagum' (baca 'hairan macam tidak percaya') dengan pendirian PTS itu. Bagi majoriti orang Melayu, mereka percaya kalau mahu untung berjuta-juta, cara yang mudah dan cepat dapat adalah dengan menjadi kontraktor kerajaan, dan itu bermakna tentu terlibat dengan rasuah.

Mereka juga akan bercerita dengan keluh-kesah bagaimana sukarnya hendak mendapat projek-projek kerajaan tanpa terbabit dengan faktor rasuah.

Dengan nada marah mereka menyebut pegawai-pegawai tinggi kementerian yang 'terpaksa' memberikan kerjasama kepada golongan politikus bagi membolehkan kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat yang menggunakan muka-muka depannya orang Melayu, tetapi di belakang mereka adalah individu-individu yang rapat dengan kuasa, ataupun kroni politikus, ataupun bisnesman bukan Melayu.

Mereka juga menyebut nama-nama individu yang rapat dengan pejabat menteri yang kononnya menjadi "tukang kutip toll" bagi pihak si menteri.

Semasa bercakap dengan rakan-rakan bisnes yang mendapat kontrak kerajaan itu, sangat jelas terbayang di muka mereka itu bahawa jiwa mereka amat timid. Mereka bercakap dengan muka orang dalam kebimbangan dan ketakutan.

Walaupun mereka memandu kereta besar, sudah bergelar "Datuk-Datuk" tetapi rupa-rupanya hati mereka amat kecil - sekejap-sekejap, mereka meminta supaya kita jangan tulis apa yang disampaikannya.

Ada seorang Dato' yang teramatlah timidnya, sehingga apabila hendak menghubungi kita pun dia menggunakan telefon menantunya, katanya supaya rekod telefonnya tidak menunjukkan dia ada membuat panggilan kepada kita. Maha Suci Allah. Sampai macam itu tahap kebimbangan dan ketakutan mereka yang bergantung kepada bisnes kontrak kerajaan!

(Nasib baiklah PTS bukan setakat tidak masuk sebarang tender kontrak KPM, malah dengan mana-mana kementerian pun tidak. Justeru walaupun kita memandu kereta kecil namun jiwa kita tetap besar.)

Dua hari lalu Sifu kebetulan berkenalan dengan seorang usahawan Melayu yang pernah cuba menjadi pembekal kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Dia menyatakan kekecewaannya disebabkan KPM yang cenderung memilih peralatan impot berbanding peralatan yang dibuat dalam negeri, sedangkan peralatan impot itu berlipat ganda harganya.

Menurut seorang kontraktor lain pula, syarikatnya pernah membelanjakan hampir RM2 juta bagi mendapatkan kontrak kementerian. Sifu terkejut mendengar jumlah sebesar itu dibelanjakan sebagai modal bagi mendapatkan kontrak, sebab bagi kita yang tiada pengalaman menjadi kontraktor kerajaan, jumlah itu tidak masuk akal. 

Rupa-rupanya jumlah RM2 juta itu tidak mustahil terpaksa dikeluarkan, kerana antara cara mereka melobi adalah sampai sanggup menanggung 100% kos menghantar rombongan-rombongan ke luar negara yang terdiri daripada berpuluh-puluh individu yang ada kaitan dengan projek-cum-produk.

Apabila sudah balik, tentulah ahli-ahli rombongan itu menulis laporan yang muluk-muluk, yang memuji-muji produk itu, untuk dihantarkan ke pejabat menteri. (Urmm... Barulah kita faham.)

Yang sanggup menghantar rombongan itu bukan hanya satu syarikat, malah semua syarikat yang cuba menjadi supplier sanggup melakukan cara melobi yang serupa. Masing-masing kontraktor menghantar rombongan ke tempat-tempat ataupun pesta-pesta pertandingan yang ada kaitan dengan produk masing-masing. 

Nota 1: Baca komen-komen dalam UNIKA yang memuji-muji projek F1. Besar kemungkinan komen-komen itu ditulis oleh pegawai, ataupun guru-guru ataupun pelajar yang telah mengikuti rombongan percuma keluar negara atas tajaan syarikat pembekal.

Nota 2: Kepada tuan-tuan dan puan-puan pembaca blog ini, belilah buku-buku PTS. Sokonglah PTS yang berjuang membuktikan bisnes kita boleh maju dengan mengamalkan dasar perniagaan bebas-rasuah. 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Satu Lagi Gosip Previous entry: Surat Pilihan: Korupsi di KPM
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/31  at  01:47 PM

Saya rasa puan masih cuba serkap jarang lagi, tanpa kepastian fakta dan sumber maklumat. Jika kata “Cukuplah”, maka kotakanlah kata puan. Jangan orang mengata lagi puan cakap tak serupa bikin, cakap semberono tanpa maklumat sah yang akhirnya menjerumus puan dalam perangkap untuk menjadi buah catur politik.

Bak kata orang, “Never assume, because if you look at the the word ‘assume’, it will make an ‘A**’ out of ‘u’ and ‘me’”.

Kredibiliti seorang penulis bergantung kepada kepercayaan terhadap penulisannya, puan harus menulis dengan penuh bertanggungjawab berlandaskan maklumat yang sahih dari sudut sumber dan fakta, dan bukan berlandaskan rekaan serta andaian.

Nota kepada sifu: Bukan semua yang mengkritik puan berniat menghentam puan. Puan ada kredibiliti, jangan musnahkan kerana terlalu ikutkan perasaan. Ikut rasa boleh binasa.

................

NOTA SIFU:
Tuan Azlan yang mulia dan saya muliakan,
Yang saya maksudkan “cukuplah” adalah saya minta pembaca blog ini tidak menghantar lagi kepada saya emel-emel dan fotokopi dokumen dari fail-fail kementerian-kementerian lain yang ada kaitan dengan rasuah, dengan harapan supaya saya menulis tentang kes-kes itu. Cukuplah saya fokuskan pendedahan saya pada kes-kes yang berkaitan dengan kementerian pelajaran sahaja.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/31  at  03:10 PM

“NOTA SIFU:
Tuan Azlan yang mulia dan saya muliakan,
Yang saya maksudkan “cukuplah” adalah saya minta pembaca blog ini tidak menghantar lagi kepada saya emel-emel dan fotokopi dokumen dari fail-fail kementerian-kementerian lain yang ada kaitan dengan rasuah, dengan harapan supaya saya menulis tentang kes-kes itu. Cukuplah saya fokuskan pendedahan saya pada kes-kes yang berkaitan dengan kementerian pelajaran sahaja.”

Maka benarlah Pn Ainon berniat menjadikan Kementerian Pelajaran sebagai sasaran. Boleh saya tanya kenapa Kementerian Pelajaran?  Saya terbau percaturan politik di sini.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/31  at  03:38 PM

En. Azlan,

Bukankah lumrah manusia untuk bercakap berdasarkan persekitarannya?

Bisnes Sifu khusus dalam penerbitan buku-buku yang ada kaitan secara langsung dengan ilmu. So, kementerian yang paling relevan adalah KPM. Dan sudah bertahun beliau terlibat dengan kerenah KPM ini. Sudah tentulah banyak info yang beliau tahu.

Kalau Sifu mengkritik Kementerian Pertahanan, saya yakin tidak ramai yang akan percaya dengan kredibiliti beliau, termasuk saya.

Apakah kepakaran En. Azlan? F1inSchools?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/31  at  03:53 PM

Saudari suzana,

Saya hanyalah rakyat biasa yang khuatir Pn Ainon menjadi buah catur pemain politik yang berkepentingan. Beliau sudahpun menjadi mangsa maklumat palsu sebelum ini yang secara langsung menjejas kredibilitinya. Puan Ainon harus berhati-hati supaya tidak terjerumus menjadi alat politik, kerana seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini, kita harus berwaspada akan situasi politik yang menjurus kepada pemilihan perwakilan Umno akhir tahun ini.

Marilah kita sama-sama belajar dari pengalaman ini.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: