Penggunaan Bahasa Melayu Rendah (BMR) Punca Lawak Senario Basi Meskipun Baru 10 Tahun.
Filem-filem lawak karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee masih digemari ramai meskipun usia filem-filem itu sudah hampir 50 tahun. Ini berbeza dengan siri lawak "Senario" yang dikatakan sudah basi dalam sebuah artikel. Baca artikel itu di sini.
Beberapa ciri yang berbeza antara filem-filem lawak P Ramlee dan siri drama lawak TV "Senario".
1. Filem-filem lawak P. Ramlee menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT), manakala "Senario" menggunakan Bahasa Melayu Rendah (BMR).
2. Penggunaan BMT dalam filem-filem lawak P. Ramlee menyebabkan gaya lakonan yang dibawakan oleh bintang-bintang dalam filem itu bermutu 'seni lakon', manakala gaya lakonan dalam "Senario" tidak mencapai mutu 'seni'.
Pakar-pakar psikologi mengatakan bahawa bahasa mengawal tingkah laku. Sebagai contoh, dalam suatu kajian ke atas seorang individu yang bilingual (individu itu perempuan Cina yang lahir di Hong Kong kemudian berhijrah dan tinggal di Amerika, oleh itu beliau fasih bahasa Cina dan bahasa Inggeris), didapati tingkah laku dan sikap wanita itu berbeza apabila beliau bercakap dalam bahasa Cina dan apabila beliau bercakap dalam bahasa Inggeris. Kajian-kajian lain juga pernah dilakukan ke atas individu-individu bilingual yang berasal dari Mexico tetapi sudah menetap di California. Dapatan yang serupa juga diperoleh.
Apabila seseorang itu bercakap menggunakan BMT, dengan sendirinya sikap dan tingkah lakunya menjadi sopan, beradab, dan halus. Ini yang berlaku kepada pelakon-pelakon yang membintangi filem-filem lawak P. Ramle di mana mereka menghasilkan lakonan yang "berseni". Di sisi yang lain, penggunaan BMR dalam "Senario" menyebabkan pelakon-pelakonnya berlakon dengan tingkah laku yang sebaliknya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan Ainon yang dihormati.
Semoga Puan sekeluarga sentiasa dikurniakan rahmat oleh Allah.
Sejak kebelakangan ini, kakitangan-kakitangan lelaki di pejabat saya mengalami kejutan. Berpunca dari sapaan ‘Tuan’ yang saya tujukan kepada mereka seperti yang pernah Puan sarankan.
Tanpa saya sedari, bila permulaan bicara sudah menggunakan bahasa yang halus, tidak ada lagi ganti nama ‘kau’ dan ‘aku’ yang digunakan dalam interaksi bersama kakitangan lain.
Kelihatan terlalu formallah jadinya namun ianya baik sebagai cara untuk menunjukkan bahawa kita menghormati kakitangan bawahan.
Cara yang sama juga dicuba kepada kawan-kawan rapat, keadaan serupa terjadi.
Sekadar untuk berkongsi cerita. tidak ada kaitan dengan entry di atas.
Saya amat bersetuju dengan pendapat Pn. Ainon mengenai penggunaan BMT. Saya sering menggunakan BMT dalam perniagaan dan aktiviti harian. Terus terang, impaknya lebih tinggi kerana pelanggan akan percaya yang kita sangat serius dalam menjalankan perniagaan. Manakala, saya sering mendapat perhatian atau layanan istemewa bila saya menggunakan BMT dalam urusan jual beli atau harian. Walaupun begitu, penggunakan BMT tanpa keikhlasan dari hati akan menampakkan kepura-puraan. Pendek kata, kita mesti tahu dan pandai menggunakan BMT dalam apa jua keadaan agar nampak lebih mesra dan sopan.
Post a comment