Thursday, July 19, 2007

Penulis Bertaraf Selebriti Mahu Saman Blogger

Seorang blogger dengan nama samaran "Razzman", di dalam blognya, mengata-ngata seorang penulis terkenal dengan mendakwa penulis itu penipu, menyebabkan penulis itu mahu menyaman malu blogger tersebut.

Penulis itu pun mengupah seorang penyiasat persendirian bagi mendapatkan maklumat di mana alamat rumah kediaman blogger tersebut. Hmm... belum apa-apa RM sudah terbang....

Jika saudara pun pernah mengalami nasib yang serupa, sebelum menghabiskan duit saudara bagi membayar (a) yuran perkhidmatan penyiasat persendirian dan (b) membuka fail dengan peguam (minimum, yuran membuka fail bagi peguam libel yang bagus adalah RM20 ribu), fikirkan perkara-perkara berikut:

(1) Kes mengenal pasti identiti blogger.
Bagaimanakah saudara dapat membuktikan siapa sebenarnya identiti blogger yang menggunakan nama samaran "Razzman" itu.

Sesiapa sahaja boleh membuka blog menggunakan nama orang lain. Klik di sini untuk melihat blog palsu Steve Jobs. Kes blog palsu Steve Jobs ini amat terkenal di US.

(2) Kes mengenal pasti siapa yang menulis entri.
Bagaimanakah saudara dapat membuktikan entri yang mengutuk saudara itu memang ditulis oleh si polan itu? (Betulkah semua entri dalam UNIKA ini ditulis oleh 1 orang Sifu? hahaha...) Saudara yang menuduh, saudara yang mesti membuktikan tuduhan saudara.

(3) Kes mengenal pasti provider.
Kalau si blogger menggunakan server provider di Malaysia, mungkin saudara boleh bawa provider itu ke mahkamah, itu pun belum tentu provider itu akan dengan mudah mendedahkan identiti para pelanggannya, sebab dia pun hendak menjaga kepentingan bisnesnya. Kalau provider itu di luar negara?

(4) Kes blog sudah ditutup.
Kalau blogger itu tutup blognya, bagaimana saudara hendak membuktikan kes saudara. Printout? Bagaimana saudara hendak membuktikan printout itu berasal dari blognya? Lainlah di Amerika. Di sana sudah diadakan undang-undang semua server provider mesti menyimpan semua data selama 5 tahun.

(5) Kes blogger miskin.
Katakanlah, entah bagaimana, nasib menyebelahi saudara - mungkin disebabkan saudara mempunyai kabel kuat dengan orang-orang yang berupaya mempengaruhi keputusan mahkamah - di mana mahkamah mungkin membuat keputusan saudara layak menerima ganti rugi RM2 juta, maklumlah saudara penulis terkenal, adakah si blogger itu mampu membayar pampasan itu?

Mari kita dengar pendapat dan nasihat mentee-mentee yang lulus undang-undang. Kita mulakan dengan ulasan Cik Aini Murni. Mana Cik Aini Murni?....

Apa? Ponteng kuliah?

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(8) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Risiko Sosial Menjadi Penulis Previous entry: Pembaca Sai-fai
Emio  on  07/19  at  05:18 PM

Salam.

Saya suka dengan ”..(Betulkah semua entri dalam UNIKA ini ditulis oleh Sifu? hahaha…)..”

Terdapat unsur-unsur saspen di sini.

X-D
——-

rastom  on  07/19  at  05:33 PM

(Betulkah semua entri dalam UNIKA ini ditulis oleh Sifu? hahaha…) Hahaha.. Joe Harry saja yang kenal Manickam grin

afyan  on  07/19  at  05:47 PM

Waranya macam tu je blog tu. Cuma penulis tu yang tak berapa pasti

smile

Gunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Kang  on  07/19  at  06:13 PM

Kalau begitu, Sang Kelembai ( http://www.sangkelembai2006.blogspot.com ) sudah lama kena saman, dipenjara sedangkan begitu dahsyat menghentam Paklah sekeluarga.

Sila lihat Direktori yang banyak menghentam terang-terang menuliskan nama yang dihentam: http://www.sopo-sentral.blogspot.com/

Itu lagi terang-terang menyebut nama dan menghentam habis-habisan.

Lainlah kalau bercetak di surat khabar, majalah, buku. Maklum saja web—hari ini ada, esok sudah tiada. Esok tiada, lusa ada balik. Bagaimana hendak membuktikannya?

Bolehkah kita mempercayai “Whois” sedangkan siapa saja boleh meletakkan apa saja nama di “Whois”.

MBA  on  07/19  at  07:55 PM

Mari kita dengar pendapat dan nasihat mentee-mentee yang lulus undang-undang. Kita mulakan dengan ulasan Cik Aini Murni. Mana Cik Aini Murni?….

Apa? Ponteng kuliah?

Sifu jangan lupa, MatJan juga seorang loyar…

Ya tak ya juga!

MBA  on  07/19  at  07:58 PM

Sifu;

Katakanlah, entah bagaimana, nasib menyebelahi saudara - mungkin disebabkan saudara mempunyai kabel kuat dengan orang-orang yang berupaya mempengaruhi keputusan mahkamah - di mana mahkamah mungkin membuat keputusan saudara layak menerima ganti rugi RM2 juta, maklumlah saudara penulis terkenal, adakah si blogger itu mampu membayar pampasan itu?

Dari perspektif loyar buruk, ayat-ayat di atas mungkin boleh ditafsirkan sebagai menghina mahkamah. Seolah-olah mahkamah kita tidak bebas dan terpaksa tunduk kepada tekanan politik :-(

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/19  at  08:23 PM

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Untuk saudara yang bernama “Razzman” itu, jangan bimbang. Saya juga blogger dan ikatan blogger akan sentiasa membantu. Hubungi “Bloggers United” jika perlukan bantuan.

Rocky’s Bru disaman juta-juta oleh NSTP akhirnya jadi bahan gelak ketawa menunjukkan kedangkalan NSTP. Tulisan Rocky’s Bru tepat menyebut nama-nama di dalam NSTP.

Sehingga kini lebih dari 500 ribu kes sivil tertangguh di mahkamah, jadi apalah ada dengan kes yang kabur seperti laman web.

Kepada saudara, jangan tandatangani dan terima apa-apa surat dari peguam atau writ dari mahkamah. Jika mereka berkasar, buat laporan polis. Tidak ada sesiapa pun boleh memaksa saudara menerima writ atau surat.

Saya juga mengesyorkan supaya saudara membuat saman balas.

Sifu ada pengalaman seperti ini, 2 bulan lalu, di mana sifu menjadi defendan. Hakim Mahkamah Tinggi itu paksa plaintif tarik balik samannya sebab Yang Arif itu tidak mahu melayan kes titik bengik…

Aini Murni  on  07/20  at  04:15 PM

Assalamualaikum Puan Sifu…

Terlebih dahulu saya minta maaf kerana kini sudah jarang ‘menghadiri kuliah unika’. Semester baru sudah bermula. Kuliah nyata pun bermula. Namun kuliah maya, unika ini tetap di hati ...

Kes libel lagi….

Puan Sifu yang budiman.

Kes libel ini boleh dibawa tindakan di bawah undang-undang kesalahan sivil (Law Of Tort) atau pun undang-undang jenayah. Kanun keseksaan (akta 574) ada memperuntukkan kesalahan libel sebagai jenayah.

Terpulang kepada si plaintif (Si pemula/pembuka kes) itu mahu kesnya dibicarakan di bawah undang-undang jenayah atau kesalahan sivil. Bezanya, sekiranya si plaintif membuka fail di bawah undang-undang sivil, dan menang, maka si plaintif mendapat gantirugi tanpa perlu membuktikan kerugian asalkan elemen-elemen ‘defamation’ dapat dibuktikan.

Sebaliknya, jika plaintif membuat laporan polis atau aduan di attorney general di bawah undang-undang jenayah, kesnya akan dibawa oleh pendakwa raya.

Sekiranya terbukti defendan (pihak pembuat libel) bersalah, defendan akan didenda mengikut budi bicara mahkamah tetapi si pembuat laporan (plaintif) tidak akan mendapat apa-apa. Hal ini kerana, matlamat undang-undang tort ialah meletakkan plaintif seperti keadaan asalnya atau memberikan remedi. Manakala matlamat undang-undang jenayah ialah menghukum pesalahnya.

Puan Sifu yang bijaksana,

Berdasarkan entri dari point nombor (1) sampai (5), saya mendapati bahawa kes ini sukar dibuktikan di mahkamah. Dalam undang-undang jenayah, pihak pendakwa perlu membuktikan ‘beyond reasonable doubt’ bahawa defendan bersalah. Bagaimana mahu membuktikan defendan bersalah sekiranya empunya blogger pun sukar untuk dibuktikan?

Untuk pengetahuan Puan Sifu dan semua warga unika, berdasarkan pengalaman saya menjalani ‘law attachment programme’ yang lalu, tarikh hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi Selangor sudah penuh sehingga 2010. Maka, kes-kes kecil begini, saya syorkan kepada pihak yang pernah terlibat, selesaikan sahaja di belakang tabir mahkamah.

Puan Sifu yang budiman,

Saya memetik semula entri peguam tua.

Katanya: Kepada saudara, jangan tandatangani dan terima apa-apa surat dari peguam atau writ dari mahkamah. Jika mereka berkasar, buat laporan polis. Tidak ada sesiapa pun boleh memaksa saudara menerima writ atau surat.

Sekiranya saudara menerima sepina, saudara mesti hadir ke mahkamah. Sepina ialah surat perintah mahkamah untuk hadir memberikan keterangan. Sekiranya saudara tidak hadir, saudara boleh dikenakan ‘charge’ menghina mahkamah. Menghadiri perbicaraan mahkamah adalah mandatori wajib hadir.

Puan Sifu yang budiman,

Tapi entri yang ini lain pula kesnya Puan Sifu

Entri Puan Sifu : Bagaimanakah saudara dapat membuktikan entri yang mengutuk saudara itu memang ditulis oleh si polan itu? (Betulkah semua entri dalam UNIKA ini ditulis oleh 1 orang Sifu? hahaha…) Saudara yang menuduh, saudara yang mesti membuktikan tuduhan saudara.

Dalam hal ini, mereka yang boleh menulis dalam unika ini mestilah pekerja Puan Sifu., mereka yang mendapat keizinan daripada Puan Sifu. Dalam undang-undang, pekerja dikatakan mewakilkan kuasanya (delegated power) daripada masternya. 

Sekiranya si kena kutuk itu dapat membuktikan bahawa si penulis yang mengutuknya itu ialah pekerja Puan Sifu, atau mereka yang diberi keizinan mengakses unika ini, Puan Sifu boleh turut sama bertanggungjawab sebagai defendan kedua (secondary liable).

Sebagai contoh, Ali ialah pemilik kilang buku. Ahmad ialah pemandu lori kilang buku itu. Ahmad memandu lori dengan cuai lalu mencedarakan Ah Chong. Dalam hal ini, Ah Chong perlu membuktikan bahawa Ahmad ialah pekerja Ali. Ahmad menerima tugas atau kuasa daripada Ali menjalankan sebahagian aktiviti bisnesnya. Sekiranya elemen pertama ini dapat dibuktikan, maka Ali bertanggungjawab sebagai secondary liable. Kes ini dibincangkan di bawah tajuk ‘Vicarious liability’.

Puan Sifu yang budiman,

Saya mohon jutaan maaf sekiranya menyinggung hati Puan Sifu dengan menjadikan Puan sebagai subjek dalam entri saya ini. Saya terpaksa berbuat demikian untuk membuat ilustrasi yang jelas. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya orang muda yang mahu belajar menghaluskan bahasa dan mencantikkan budi. Semoga dengan kemuliaan hati Puan Sifu, entri ini dimaafkan.

Saya mengesyorkan setiap entri dalam unika ini mestilah tidak memenuhi elemen-elemen ‘defamation’ supaya tidak dikecam orang. Kalau mahu buat juga, perlu difikirkan defences-defencesnya. (seperti yang pernah saya respon sebelum ini)

Puan Sifu yang dihormati,

Setakat ini sahaja entri saya. Sekali lagi saya minta maaf. Saya lambat memberikan respon pada entri Puan ini.

Puan, saya orang muda, masih perlu banyak belajar. Saya perlu menghaluskan bahasa dan mencantikkan budi. Segala silap dan salah saya, saya mohon jutaan maaf dan pohon tunjuk ajar daripada Puan Sifu yang bijaksana. Semoga tunjuk ajar dan teguran Puan Sifu dapat memberikan kebaikan pada diri saya.

Sekian, terima kasih.


Puan Sifu senyum-senyum! Sambil memberi markah A untuk Bahasa Melayu Tinggi…

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: