Memilih antara Diri yang Terkenal ataupun Buku yang Terkenal
Bagi penulis muda, lazimnya mereka menyimpan keinginan menjadi orang terkenal dan mempunyai banyak peminat. Dalam sesetengah bidang penulisan penulis dapat menjadikan terkenal, sebagai contoh dalam bidang novel ataupun puisi.
Penulis perlu memilih mahukan keterkenalan yang bagaimana:
(i) Diri penulis yang menjadi terkenal:
Dato' Dr. Mashitah Ibrahim terkenal daripada sudut ini. Beliau terkenal walaupun tidak mempunyai buku. Individu-individu seperti beliau terkenal disebabkan mereka memiliki wajah menarik dan banyak muncul di televisyen. Hasilnya, mereka menerima banyak undangan berceramah ke sana sini.
Kelebihan keterkenalan jenis ini adalah penulis mendapat undangan berceramah yang banyak. Semakin banyak berceramah, semakin penulis terkenal, semakin banyak sumber pendapatannya daripada yuran ceramah.
Kekurangannya adalah, disebabkan penulis mencari rezeki dengan bercakap, dia tidak boleh salah cakap walaupun hanya satu ayat.
(ii) Buku-buku penulis yang menjadi terkenal:
Ada penulis yang banyak menulis buku tetapi tidak muncul di televisyen dan amat memilih-milih majlis di mana dia ke depan dan bercakap. Hasilnya orang tidak kenal wajahnya, mereka hanya kenal tajuk-tajuk bukunya sahaja.
Kelebihannya cara ini adalah, penulis mempunyai banyak masa bagi menulis banyak buku. Walaupun dia tidak mendapat yuran berceramah, tetapi disebabkan bukunya banyak, pendapatan royaltinya tetap banyak.
Kelebihannya adalah, disebabkan penulis kurang bercakap di khalayak, kekerapan berlakunya masalah tersilap cakap juga kurang, dibandingkan dengan penulis yang banyak bercakap.
(iii) Diri dan buku-buku penulis sama-sama terkenal:
Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, Dr. Danial Zainal Abidin, Dr. Robiah K. Hamzah, dan YM Dr. Tengku Asmadi terkenal daripada sudut ini.
Orang kenal wajah-wajah mereka dan orang kenal buku-buku mereka. Peminat mereka ramai, dan mereka membeli buku dan juga hadir mendengar mereka berceramah. Tokoh-tokoh seperti mereka menerima pendapatan daripada royalti buku dan yuran ceramah.
Apabila penulis memilih mahu menjadi orang terkenal, sebaik-baiknya dia memiliki ijazah Ph.D. Para penganjur majlis ceramah di Malaysia mementingkan Ph.D.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment