Saturday, April 28, 2007

Penulis dan LHDN

Para penulis di negara ini mendapat layanan istimewa sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Disebabkan beliau seorang yang kuat membaca buku dan suka sastera, beliau telah menerima beberapa cadangan dalam memorandum yang dihantar oleh persatuan-persatuan penulis.

Salah satu syor yang beliau terima dan laksanakan adalah skim galakan penulisan dalam Bahasa Melayu. Beliau telah memberi peruntukan di mana cukai pendapatan tidak dikenakan ke atas RM20 ribu pertama royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis, dan RM12 ribu pertama oleh penterjemah buku-buku ilmu.

Layanan yang diberikan kepada kaum penulis ini amat istimewa. Bayangkan seorang jutawan menulis buku, RM20 ribu pertama royaltinya adalah bebas cukai! Seniman bidang-bidang lain tidak menerima layanan istimewa ini.

Pada zaman Anwar Ibrahim juga, persatuan-persatuan yang memperjuangkan perkembangan Bahasa Melayu mendapat dukungan kuat daripada beliau.

Bagi saudara-saudara yang belum pernah menerima royalti ataupun honorarium daripada hasil karya saudara yang diterbitkan, barangkali saudara tidak ambil pusing urusan membayar cukai pendapatan daripada royalti itu.

Walaupun RM20 ribu pertama itu bebas cukai tetapi saudara mesti mengisytiharkan pendapatan itu apabila saudara mengisi borang cukai.

Ada penulis menyangka LHDN tidak akan tahu jika dia tidak mengisytiharkan pendapatan royalti dan honorariumnya. Sangkaan ini salah. Setiap ringgit yang saudara terima itu LHDN tahu! Jadi jangan sorokkan maklumat berkenaan royalti yang saudara terima.

Bagaimanakah LHDN dapat mengetahui pendapatan saudara? Begini, undang-undang negara ini mewajibkan semua syarikat penerbit buku, akhbar dan majalah melaporkan kepada LHDN jumlah wang yang mereka bayar kepada penulis. Jadi, setiap tahun, penerbit saudara menghantar maklumat kepada LHDN berapa banyak royalti dan honorarium yang dibayar kepada saudara!

Jika saudara menerbitkan karya-karya saudara dengan banyak penerbit, tiap-tiap penerbit itu melaporkan jumlah royalti dan honorarium yang mereka bayar kepada saudara.

Kumpulkan dan simpan dalam fail semua dokumen pembayaran royalti. Kepilkan dokumen-dokumen itu apabila saudara mengisi borang cukai pendapatan.

Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.

Jika saudara sudah beberapa tahun menerima royalti melebihi RM20 ribu setahun, tetapi belum pernah mengisytiharkannya, tahun ini saudara isytiharkan.

Saudara tidak dapat lari daripada berdepan dengan pegawai-pegawai LHDN, lambat laun mereka akan dapat cari saudara. Waktu itu denda yang saudara kena bayar mungkin lebih banyak daripada jumlah cukai.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Royalti
(13) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Taklimat Projek Buku Cerita Hantu-Mantu Previous entry: Contoh Tulisan Travelouge
Eyman Hykal  on  01/24  at  12:16 PM

Lebih afdhal jika dizakatkan sahaja. Ikut congakan 2.5 % atau RM25 bagi setiap RM1,000. Walaupun terima kurang RM20,000 pun dan bebas cukai, zakat itu wajib. Kadar zakat jauh lebih tinggi dari cukai LHDN. Kalau dah bayar zakat ikut nisabnya, LHDN dah lepas. Dengan ALLAH pun lepas.
——-

Ainon Mohd.  on  01/24  at  10:13 PM

Sdr Eyman,

Betul kata saudara, saya setuju sangat. Dengan membayar zakat, dapat banyak berkat, dapat sedikit pun berkat. Yang penting berkat.

Panaharjuna  on  01/25  at  05:59 PM

info ini penting dan sangat bagus buat saya. Terima kasih saudara Eyman Hykal dan Pn Ainon kerana membuka fikiran agama saya semula, saya pun pernah mendengar tentang bayaran cukai yang di potong atau di tolak dari zakat itu tapi tidak menyangka pula bahawa 1/40 itu lebih tinggi dari nilaiannya dari cukai LHDN itu .Terima kasih .

el-maaniq  on  01/27  at  02:14 PM

eyman hykal ni bukan ke en nordin, GM alaf21?

basridugongayu  on  02/10  at  02:37 AM

Wahhh!! Tn. Eyman Hykal pun ada di sini :D

-Basri

Fadzli Yusof  on  04/29  at  08:26 AM

Bicara wang yang menyentuh rasa ruhaniyah. Terima kasih Puan Ainon dan En Eyman Hykal! smile

http://www.fadzliyusof.com

Fadzli Yusof  on  04/29  at  11:12 AM

Puan kata: “Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.”

Puan, bagaimana untuk melakukannya? Semasa isi borang, kos semua itu perlu tulis di segmen mana? Kita boleh rujuk perkiraan ringkas di:
http://www.hasil.org.my/melayu/bm_NO2_1_1L.asp

Kerana dalam senarai tersebut, belian buku hanya maksima RM500 (RM700?) sahaja. Jika belian buku lebih daripada itu? Bagaimana pula dengan kos-kos penulisan yang lain?

Encik Eyman, bolehkah kalau bayar zakat sendiri-sendiri (wah! istilah baru!); iaitu bukan kepada Majlis Agama, tetapi kepada madrasah tertentu. Adakah resit itu diterima?

Terima kasih
smile

Puan Ainon Mohd.  on  04/29  at  11:30 AM

Sdr Fadzli,

Jika saudara ada syarikat, claim dibuat atas nama syarikat.

Kalau syarikat enterprise, kumpulkan semua resit, serahkan kepada pegawai LHDN bersama borang. Mana-mana resit yang sdr tidak boleh claim, pegawai itu yang akan buang! Jadi, pegawai itu memang besar kuasanya! Buat baik sahajalah dengan dia. Jangan pergi LHDN tunjuk kita banyak duit! Gunakan strategi mirrorring….

Kalau syarikat sdr itu taraf sdn bhd, syarikat akauntan sdr yang akan sediakan laporan kewangan syarikat sdr. Serahkan semua resit kepada akauntan sdr itu. Termasuk resit beli PDA dll alat komunikasi. Sekarang semua sdn bhd kena buat taksiran sendiri berapa cukai yang ia mesti bayar!

Sebagai penceramah, sdr boleh claim macam-macam kos lain, seperti kos membeli pakaian yang saudara gunakan untuk berceramah! Cermin mata. Kasut. Alat2 ceramah sdr.

Sdr masih ingat siapa kawan2 sdr yang di universiti dulu buat accounting? Buat baik dengan mereka semula. Banyak nasihat percuma sdr boleh dapat. Yang bekerja dengan kerajaan, tak payahlah! Mereka tidak tahu hal-hal cukai orang bisnes nih! Jabatn kerajaan bukan bayar cukai…

Puan Ainon Mohd.  on  04/29  at  11:35 AM

sambung….

Tentang zakat yang ditolak dolar-to-dolar hanya zakat yang dibayar ke pejabat zakat kerajaan sahaja.

Zayat yang dibayar kepada institusi yang dapat pelepasan cukai, jumlah itu bukan dolar-to-dolar, cuma nilai cukainya sahaja yang ditolak, jadi jumlahnya sedikit sebenarnya.

Paling baik, bayar zakat kepada Tuhan. Serah duit itu kepada mana-mana pihak yang layak. Cukai pendapatan pun bayar 100% juga! Dua-dua bayar. Tetapi ganjaran Tuhan lebih besar dari seluruh jumlah cukai yang dapat diselamatkan, percayalah!

Kalau kita bayar zakat sebab hendak kurangkan cukai pendapatan, kita dapatlah selamatkan jumlah itu, berapa, RM10 ribu, RM20 ribu.

Apabila kita bayar zakat sebab zakat itu hak Tuhan, maka ganjarannya masyaAllah! Tidak habis kita makan! Berjuta-juta!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  04/30  at  03:26 AM

Amalan Pusat Zakat MAIDAM di Terengganu:

Ketika membayar zakat, mereka akan bertanya berapa yang kita hendak bayar? 

Katakan, kita bayar RM15,000.  Mereka akan kira mengikut pembahagian asnaf. 

Katakan satu asnaf dapat RM1,875.  Mereka akan bertanya sama ada kita ingin bayar sendiri kepada fakir miskin? 

Kalau kita jawab, ya, mereka akan berikan balik kepada kita RM1,875 daripada RM15,000 tersebut (kalau sediakan cek, kita hanya perlu tuliskan RM13,125 pada cek tersebut.  Resit yang diberikan oleh mereka adalah RM15,000.  Wang zakat RM1,875 yang ada lagi itu adalah untuk kita sendiri berikan kepada orang yang kita fikirkan berhak.)

Ini bagi mereka yang ingin bayar melalui Pusat Zakat.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  04/30  at  03:46 AM

“Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.”


“Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.”


“Sebagai penceramah, sdr boleh claim macam-macam kos lain, seperti kos membeli pakaian yang saudara gunakan untuk berceramah! Cermin mata. Kasut. Alat2 ceramah sdr.”


Resit-resit yang dimaksudkan dalam dua perkara di atas, adalah resit-resit yang berkaitan dengan belanja-belanja yang melibatkan pendapatan (derived income).  Oleh itu, maklumat-maklumat perbelanjaan ini dimasukkan ke bahagian N: Maklumat Kewangan Orang Perseorangan di bawah para Perbelanjaan. Iaitu kos-kos penulisan atau pembentangan, selain dari bahan bacaan, perkara-perkara lain yang terlibat adalah dakwat, fotostat, binding, kertas, bil penggunaan elektrik (buat kadar peratusan antara penggunaan peribadi dan kerja), pengeposan, belanja menghadiri kursus yang berkaitan termasuk kursus percuma PTS; tambang, penginapan dan yuran kursus (kalau ada).

 

“Kerana dalam senarai tersebut, belian buku hanya maksima RM500 (RM700?) sahaja. Jika belian buku lebih daripada itu? Bagaimana pula dengan kos-kos penulisan yang lain?”


Bagi bahagian pelepasan, Bahagian D: Pelepasan dan Pendapatan Bercukai, pembelian buku / majalah yang dimaksudkan adalah bahan bacaan untuk keluarga termasuk buku teks, novel dan majalah yang ‘separa ilmiah’.  Nilai hadnya adalah RM700 bagi tahun taksiran 2006.


Oleh yang demikian, bagi penulis, ada dua kategori buku yang dibeli, satu untuk bacaan tambahan (ditolak di Bahagian D) dan satu lagi untuk rujukan/kajian penulisan bagi menghasilkan produk baru dan pendapatan baru (Bahagian N).

 

Wallahu’alam

Fadzli Yusof  on  04/30  at  04:30 AM

Wah…Terima kasih Puan Ainon dan Puan Norjihan!
Nanti nak belajar lagi tip-tip cukai.. Terima kasih smile

Zamri Mohamad  on  04/30  at  07:44 AM

Tuan Fadzli, Tuan Zahir antara orang yang expert tentang cukai http://www.zahiramli.wordpress.com/

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.