Penulis dan Peminat
Lazimnya orang menyangka hanya penulis-penulis kreatif, seperti novelis dan penyair, yang mempunyai peminat, manakala penulis buku-buku deskriptif tidak. Sebenarnya, semua penulis berpeluang mempunyai peminat. Peminat novel cinta ada, peminat novel sejarah pun ada. Peminat buku-buku motivasi ada, peminat buku-buku agama pun ada.
Peminat mempunyai peranan penting meningkatkan jualan buku. Peminat adalah pembeli setia buku penulis yang diminatinya.
Mereka adalah pasaran tersedia bagi buku terbaru penulis. Malah peminat akan membeli buku-buku yang sudah lama terbit, yang belum mereka miliki.
Peminat berpotensi menghadiri seminar-seminar komersial yang kendalikan oleh penulis. Pasaran seminar dan ceramah adalah sumber pendapatan penting bagi penulis buku-buku motivasi. Malah pendapatan daripada yuran seminar dan ceramah adalah lebih besar daripada royalti.
Mereka juga menjadi jurujual dan jurukempen bagi penulis. Mereka menceritakan kepada orang lain akan keistimewaan buku-buku itu.
Itulah sebabnya penulis perlu menulis banyak buku, kerana jika penulis cuma menerbitkan satu ataupun dua buah karya, dia tidak dapat mengumpulkan banyak peminat. Semakin banyak buku, semakin banyak peminat, maka semakin banyak jurujual dan jurukempen si penulis!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment