Sunday, May 16, 2010

Penulis dan Penterjemah Mendahului Kamus

Penyusun kamus-kamus bahasa sentiasa bekerja di belakang penulis dan penterjemah. Maksudnya, mereka menyusun kamus dengan merekodkan perkataan-perkataan yang digunakan dalam akhbar, majalah, buku-buku, rancangan televisyen, radio dan ucapan-ucapan rasmi.

Realitinya, penyusun kamus berada di belakang penulis dan penterjemah. Kamus yang ikut buku. Bukan buku yang ikut kamus.

Sebagai contoh, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan "prihatin", "istiqamah" dan "gawat" buat perkama kalinya semasa beliau membentangkan kertas belanjawan negara di parlimen, barulah pegawai-pegawai perkamusan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencatatkan perkataan-perkataan itu, lalu kemudian dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan.

Justeru kerja-kerja penulis dan penterjemah sebagai agen perkembangan bahasa adalah sangat penting. Merekalah yang sebenarnya mengembangkan bahasa, bukan para penyusun kamus.

Kamus bahasa Inggeris oleh Oxford sentiasa diterbitkan edisi terkininya setiap 5 tahun disebabkan dalam tempoh itu sudah banyak perkataan-perkataan baru dicipta dan dipinjam oleh penulis-penulis Inggeris.

Maka adalah menjadi tugas para penulis dan penterjemah dalam Bahasa Melayu supaya rajin mencipta dan meminjam sebanyak-banyak perkataan baru ke dalam Bahasa Melayu, supaya jumlah kosa kata Melayu semakin hari semakin banyak, supaya kamus Bahasa Melayu semakin hari semakin tebal!

Adalah salah apabila orang bertanya, "Mengapakah ada penulis yang sering menggunakan perkataan 'tim' dan 'marketing' sedangkan dua perkataan itu tidak ada dalam kamus."

Tugas penyusun kamus adalah mencatatkan sahaja perkataan-perkataan yang baru digunakan itu dan memasukkannya ke dalam kamus yang mereka susun.

Justeru para penulis dan penterjemah jangan hanya berkarya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang ada dalam kamus-kamus sahaja, nanti kosa kata Bahasa Melayu menjadi beku dan statik.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: PTS Menubuhkan Tim R&D Membangunkan Manual Bagi Editing dan Penulisan Previous entry: Tip Penulis: Mengenalpasti Penerbit Berisiko Tinggi

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.