Penulis DBP Mencetak Rompak Bukunya Sendiri
Ini bukan gosip. Ini kisah benar.
Seorang penulis fiksyen remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang terkenal dan mempunyai banyak peminat, telah menerbitkan buku-bukunya sendiri tanpa pengetahuan DBP.
Buku-bukunya dapat dibeli daripada penjual secara senyap-senyap dan bisik-bisik, ala-ala jual beli dadah pula! Maklumat di mana buku-buku dijual hanya diketahui di kalangan peminat-peminatnya sahaja.
Faktor yang mendorong penulis itu mencetak rompak buku-bukunya sendiri adalah disebabkan sikap pengurusan DBP yang dianggapnya sebagai menzalimi dirinya.
Buku-buku beliau sudah lama tidak diulangcetak oleh DBP. Beliau sudah menulis surat kepada DBP supaya memulangkan hak penerbitan buku-bukunya kepadanya, tetapi DBP tidak mahu memulangkannya.
Kes yang serupa juga berlaku pada beberapa buah karya terpenting Sasterawan Negara Dato' A Samad Said di DBP. Novel SALINA sudah lama tidak diulangcetak oleh DBP. Tetapi DBP tidak mahu memulangkan hak penerbitannya kepada A Samad Said.
A Samad Said mempunyai syarikat penerbitannya sendiri iaitu Wira Bukit Sdn. Bhd. Permintaan untuk SALINA masih ada dalam pasaran. Orang masih mahu membeli buku itu.
Sikap DBP itu tidak ubahnya ibarat kata pepatah Melayu: "Bak kerengga menjaga rambutan." Si kerengga tidak dapat memakan rambutan yang masak ranum itu. Tetapi, apabila tuan punya pokok rambutan itu mahu memetiknya, tidak dibenarkan, maka digigitnya! Maka pendeklah rezeki tuan punya pokok.
Risikan yang kita lakukan mendapati, pegawai yang menguruskan hal-ehwal harta intelek di DBP bersetuju memulangkan hak penerbitan buku-buku yang tidak diulangcetak lagi. Yang tidak setuju adalah pegawai eksekutif No.1 DBP.
Nota: Foto disalin dari blog Tuan Helmy Samad.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya teringat karya-karya Ahmad Patria Abdullah. Mengalami nasib yang hampir sama. Terpaksa membeli melalui tempahan internet. Cuma janganlah Sifu kata macam beli dadah pula. Teruk sangat perumpamaan tersebut. Jika ala “pasaran gelap” rasa lebih sedap didengar.
puan,
bagi saya kisah tersebut masih tahap ringan berbanding kisah yang dihadapi oleh sahabat saya. Pihak DBP telah menerbitkan buku hasil karangan arwah bapa kepada kawan saya tanpa memmaklumi terlebih dahulu kepada keluarga beliau. Masalahnya buku tersebut diterbitkan beberapa bulan setelah pemergian bapanya..dan pihak tersebut tidak memaklumi apa-apa langsung kepada waris buku tersebut..sedangkan perbincangan berkenaan buku tersebut telah lama iaitu hampir 10 tahun. Jadi, kenapa setelah beliau meninggal dunia, baru ianya diterbitkan..dan lebih teruk tanpa pengetahuan keluarga arwah..Tambahan pula, beliau juga ada syarikat penerbitan sendiri, tetapi mengapa DBP sanggup melakukan sedemikian?Adilkah?
- diharapkan sekiranya puan ada cadangan, amatlah dialu-alukan:-)
Post a comment