Monday, September 24, 2007

Penulis Menjadi Penerbit

Banyak penulis tergoda dengan idea mahu menjadi penerbit, lalu mereka pun menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri. Majoritinya gagal dengan tangan terbakar. Maksudnya, sudahlah gagal, terpaksa pula menanggung kerugian.

Logik “kalau orang lain boleh buat, saya pun boleh buat” adalah logik yang amat tinggi risikonya. Logik itu mengandungi falasi serius. Kata-kata begitu adalah cakap-cakap yang tidak rasional, dan tidak empirikal.

Kata-kata seperti itu biasa diucapkan oleh individu yang mahu memberi semangat dan “perangsang kosong”. Ertinya, kata-kata individu itu tidak disertai dengan fakta-fakta yang sahih dan relevan dengan daya usaha yang diperlukan bagi berjaya.

Syarat-syarat kejayaan kita semestinya ada pada diri kita, BUKAN ada pada diri orang-orang lain. Kalau orang-orang lain boleh buat sama sekali bukan bukti bahawa kita pun boleh buat sebab kita mungkin tidak memiliki syarat-syarat kejayaan yang dimiliki oleh orang-orang lain itu.

Kita dapat melakukan apa yang orang-orang lain berjaya lakukan apabila kita memiliki semua faktor yang dimiliki oleh orang-orang itu. Jika orang lain tidak malu menagih hutang dari pintu-ke-pintu kedai, apakah kita juga memiliki muka tebal seperti orang itu.

Bagi menjadi penerbit yang berjaya, seseorang itu tidak perlu menjadi penulis yang berjaya. Realitinya, bakat menulis bukan salah satu prasyarat kejayaan sebagai penerbit. Ia serupa dengan membuka restoran. Bagi menjadi pengusaha restoran yang berjaya seseorang itu tidak wajib pandai memasak.

Syarat utama kejayaan dalam bisnes adalah pertama memiliki bakat bisnes (business accumen), kedua adalah memiliki ilmu-ilmu bisnes, dan ketiga adalah mahir dalam selok-belok bisnes. Tiga syarat ini jarang dimiliki oleh individu-individu yang berjiwa seni, seperti penulis.

Apabila seniman mahu menjadi penerbit, nanti yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong terpaksa diletakkan….

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Buku ini Seminggu Terbit Sudah Habis dalam Setor Previous entry: Skim Pinjaman Buku Teks 100%: Apa Agenda Tersembunyi yang Rakyat Perlu Tahu

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.