Monday, September 17, 2007

Penulis PTS Paling Setia

Inilah wajah penulis PTS yang paling setia. Beliau bersama PTS sejak tahun pertama PTS ditubuhkan.

Dalam saat belum ada pengedar dan kedai buku yang kenal nama "PTS", beliau adalah nama besar pertama yang tawakal menyerahkan karyanya kepada PTS.

Sebelum berkahwin dengan PTS beliau tidak bahagia dengan penerbit pertamanya. Pada awal perkahwinan dengan PTS, banyak isu-isu teknikal menimbulkan perbezaan pendapat dan cita rasa, tetapi akhirnya terbukti kesetiaan amat membantu mengatasi krisis rumahtangga antara penulis dan penerbit.

Berkat kesetiaan, buku-buku Tuan Dr. Danial Zainal Abidin sudah dilesen oleh Jakarta sejak 2005. Kini beliau dan Tuan Ahmad Fadli Yusof adalah 2 orang top-earners PTS.

Kesetiaan kaum penulis tidak datang menggolek kepada penerbit. Pertama-tama syarat mendapatkan kesetiaan penulis adalah modal karekter dan nilai-nilai peribadi pegawai-pegawai dalam syarikat penerbitan itu. Selagi penulis dapat menaruh kepercayaan kepada etika bisnes yang menjadi pegangan mereka, selagi itu mereka setia.

Bagi saudara yang baru menceburi bisnes penerbitan buku, penulis adalah modal utama sesebuah rumah penerbitan. Disebabkan penulis adalah modal utamanya, rumah-rumah penerbitan menyediakan pelbagai program setia atau loyalty programs, bagi mengurangkan risiko penulis lari kepada penerbit lain. Lebih banyak loyalty programs yang saudara sediakan, lebih baik.

Program setia untuk penulis di PTS termasuklah:

(1) Mengadakan pelbagai program promosi:

a. Promosi buku dengan menerbitkan kit pemasaran seperti katalog buku, poster dan bunting.

b. Promosi buku dalam media TV, radio, akhbar dan majalah.

c. Promosi buku dalam internet.

d. Promosi buku dalam pesta-pesta buku di luar negara bagi tujuan pelesenan, dan dalam negara pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

e. Promosi buku dengan mengadakan majlis pelancaran buku dan majlis diskusi buku.

f. Promosi pengarang dalam media Internet, TV, radio, akhbar dan majalah.

g. Promosi pengarang dalam majlis-majlis pengarang-bertemu-peminat.

(2) Memberikan diskaun istimewa kepada pengarang. Dalam kes PTS semua pengarang PTS boleh membeli semua judul terbitan PTS pada diskaun pengedar!

(3) Memberikan kursus penulisan percuma kepada pengarang dan bakal pengarang PTS.

(4) Menawarkan skim perkongsian keuntungan melalui kadar royalti progresif kepada pengarang. Dalam kes PTS, semakin banyak buku pengarang terjual, semakin tinggi kadar royalti yang diterima.

(5) Menawarkan potensi buku pengarang diterbitkan dalam lebih daripada 1 edisi, yakni sesebuah judul mungkin diterbitkan dalam bentuk kulit lembut, paperback, dan kulit keras.

(6) Meneroka pasaran ekspot pelesenan judul-judul PTS ke negara lain seperti sekarang ke Indonesia, pada masa hadapan ke Vietnam, Thailand, Filipina, seterusnya ke Cina, Iran, Timur Tengah, dan lain-lain.

(7) Merancang supaya karya yang ditulis pengarang dijamin terbit dengan meluluskan projek penulisan itu sebelum buku ditulis.

(8) Menggalakkan pengarang PTS supaya menulis dan menerbitkan banyak judul dengan PTS.

(9) Mengadakan sistem mentor-mentee antara editor PTS dengan calon penulis baru.

(10) Menggalakkan penulis menulis pelbagai genre untuk penerbitan PTS.

(11) Menggalakkan penulis menulis untuk penerbitan semua anak-anak syarikat PTS.

(12) Memupuk bakat-bakat yang dimiliki penulis, selain bakat mengarang, supaya para penulis PTS dapat mencipta lebih banyak harta intelek.

(13) Menggalakkan penulis-penulis PTS bergerak sebagai suatu komuniti dan tim supaya mereka saling berkenalan dan saling dorong-mendorong.

(14) Melesenkan karya penulis kepada syarikat-syarikat media alternatif supaya dapat dipasarkan melalui pelbagai saluran media seperti konten mobile, buku elektronik dan lain-lain, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(15) Melesenkan karya penulis supaya dapat diterbitkan sebagai filem, siri animasi dan drama TV, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(16) Mengadakan skim latihan percuma bagi memupuk bakat penulis menjadi penceramah dan trainer.

(17) Menjaga hak moral para penulis dengan memastikan mereka dapat membaca dan menyemak pruf terakhir buku mereka, dan diberi peluang melihat cover terakhir buku mereka sebelum dihantar ke pencetak.

(17) Mengadakan program "Penulis Masuk Studio". Saat ini PTS sedang melabur dan menggerakkan kerja-kerja tapak bagi menerbitkan WEB-TV PTS, di mana "wartawan-wartawan" PTS akan mempunyai studio yang membolehkan mereka menerbitkan program TV dengan para penulis PTS. Tiga orang kuat WEB-TV PTS adalah En. Hisham Salmin (Pengarah Kreatif PTS), Rn. Wan Zu dan En. Mat Jan.

Ada apa-apa lagi saudara mahu dari PTS?

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Di Mana Etika Penerbit Ini? Previous entry: Patutkah Penulis Menerbitkan Karyanya Sendiri: Surat Tuan Osman Affan
Amar Mahmood  on  09/17  at  11:34 PM

Asamualaikum…

Tak sangka terlalu banyak program setia untuk pengarang di PTS. Menambah semangat saya untuk menghasilkan lebih banyak buku di sana.
——-

Nor Haniza Hj. Taib  on  09/18  at  02:01 AM

Assalamualaikum Puan,

Sebagai seorang pembaca, pengumpul, pempromosi dan penjual buku saya amat berpuas-hati dengan buku-buku PTS. Baru-baru ini semasa Karnival Halal Kelantan 2007, saya telah mendapat bekalan buku-buku PTS untuk dijual kepada orang ramai. Alhamdulillah sambutan amat bagus sehinggakan buku tulisan Dr. Danial (spt dlm gambar tu) habis pada hari pertama lagi.

Sekarang ini sebahagian besar koleksi buku yang dijual di MariBaca ialah buku PTS. Terima kasih Puan, kerana berjaya menaikkan martabat buku-buku Bahasa Melayu dan terbitan di Malaysia (terutama di mata saya yang sebelum ini amat gemar membeli buku dari luar negara).

Syabas!

Tengku Asmadi  on  09/18  at  03:11 AM

Asssalamu’alaikum Puan Sifu dan semua,

Dr. Danial adalah sifu yang saya kagumi sejak dulu iaitu ketika masih bergelar seorang siswa di USM Pulau Pinang.  Masa itu saya sering mengikuti kuliah mingguan beliau di Tapian Gelanggang tetapi sekadar duduk di saf belakang.  Namun begitu idea dan pemikiran beliau banyak membentuk peribadi dan wawasan saya.

Syabas Sifu Dr. Danial semoga ilmu yang telah dicurahkan sekian lama membawa keberkatan dalam hidup dan mendapat rahmat Allah.

Selamat Berpuasa.

saiFz  on  09/18  at  03:59 PM

Benar. Ternyata buku-buku karya Dr. Danial adalah antara buku terlaris yang pernah terjual di kedai kami.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.