Peraturan Menggunakan Perkataan ‘sila’
Dalam Bahasa Melayu Tinggi, perkataan 'sila' adalah kata arahan.
Disebabkan arahan hanya dapat dibuat oleh orang-di-atas kepada orang-di-bawah, maka perkataan 'sila' pun hanya boleh digunakan oleh orang-yang-lebih-di-atas kepada orang-yang-lebih-rendah.
CONTOH SALAH:
(i) Seorang murid tidak boleh berkata kepada gurunya, "Cikgu, sila bercakap kuat sedikit, saya kurang dengar."
(ii) Seorang jururawat tidak boleh berkata akepada doktor, "Sila datang sekarang, doktor. Pesakit sudah lama menunggu."
(iii) Seorang anak tidak boleh berkata kepada ayahnya, "Sila hantar duit poket saya bulan ini."
(iv) Seorang setiausaha tidak boleh berkata kepada ketuanya, "Sila turunkan tandatangan di sini."
(v) Seorang penulis tidak boleh berkata kepada penerbitnya, "Sila beritahu saya jika novel saya diterima."
Kata arahan berbeza daripada kata permohonan.
Dalam surat-menyurat, termasuk surat-surat emel, dalam apa jua konteks, gunakan kata permohonan, bukan kata arahan. Itu adalah teknik yang betul bagi mencipta kesan postitif pada perasaan orang yang menerima surat itu.
Bagi juruacara majlis ataupun para penyambut tetamu, gunakan perkataan 'dipersilakan' ataupun 'persilakan' BUKAN 'sila'.
Penyambut tetamu di depan pintu masuk berkata: "Persilakan masuk, datin." BUKAN "Sila masuk, datin."
Juruacara dalam majlis berkata: "Tuan-tuan dan puan-puan dipersilakan menjamu selera di ruang legar dewan ini. Dipersilakan." BUKAN "Tuan-tuan dan puan-puan sila menjamu selera di ruang legar dewan ini. Silakan."
Kata permohonan dalam Bahasa Melayu Tinggi termasuklah:
(i) "Puan, mohon supaya saya diberitahu jika novel saya ditolak."
(ii) "Dapatlah kiranya saya dimaklumkan jika novel saya ditolak."
(iii) "Puan, bolehkah saya diberitahu jika novel saya ditolak."
(iv) "Puan, jika tidak menjadi keberatan, mohon apalah jua kiranya saya diberitahu jika novel saya ditolak."
BUKAN:
"Sila beritahu jika novel saya ditolak."
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

“Silalah bersila dengan ber’sila’ng kaki di atas lantai”
“Sila beritahu jika novel saya ditolak.” lain macam sahaja bunyi ini.
Nota: Terima kasih kepada pihak PTS atas kiriman kad yang saya terima pada hari ini.
ZAMRI MOHAMAD
http://www.zamrimohamad.com
Salam Sifu san.
Adapun mengikut Kamus Dewan, kata “sila” itu bermaksud “minta dengan hormat supaya ... “. Akan “silalah” itu setaraflah dengan kata-kata “jemputlah” dan “sudilah”.
Arakian maka kata “sila” itu amat elok sekali disekalikan menjadi “silalah”, “silakan” mahupun “silakanlah”.
Adapun “mohon” pula minta atau meminta. Mohon boleh digunakan secara bersendirian seperti “Patik mohon diri tuanku”., “Mohon patik tuanku”. Bermohon juga bermaksud meminta izin seperti dalam kata “bermohon diri”.
Mohon ampun Sifu-san.
Sifu,
Bagaimana dengan penggunaan `sila` dalam ayat berikut yang saya rasa amat janggal tapi saya tidak pasti ia kesalahan menggunakan perkataan itu:
`Sila jangan makan dahulu`, kata wanita itu.
Bagaimana pula dengan “sila-silakan”.
Selalu juga bila berganda (sama gandaan) makna sesuatu perkataan itu jadi kurang serius.
Contoh main bila main-main menjadi tidak berapa main.
Makan, bila makan-makan, bermakna makan yang sedikit santai bersama akitiviti lain.
Tidur, tidur-tidur (ayam).
Kahwin, menjadi (main) kahwin-kahwin.
Salam UNIKA,
Kenyataan 1: ‘Disebabkan arahan hanya dapat dibuat oleh orang-di-atas kepada orang-di-bawah, maka perkataan ‘sila’ pun hanya boleh digunakan oleh orang-yang-lebih-di-atas kepada orang-yang-lebih-rendah.’
Kenyataan 2: ‘(v) Seorang penulis tidak boleh berkata kepada penerbitnya, “Sila beritahu saya jika novel saya diterima.”’
Adakah ini bermaksud penulis tarafnya lebih rendah daripada penerbit? Bukankah penulis itu dianggap sebagai klien kepada penerbit?
Adakah arah aliran wang menjadi penentu tinggi-rendahnya satu pihak? Atau adakah kadar lebih-kurang harapan menjadi ukuran? Atau adakah hak penolakan khidmat menjadi ukuran?
Disebabkan pihak penerbit membayar kepada penulis sepertimana syarikat membayar kepada perunding, maka di sini, penerbit dan syarikat dianggap sebagai klien yang perlu dipandang tinggi.
Penerbit boleh mengharap kepada banyak pilihan dan mampu menolak mana-mana manuskrip dan syarikat mampu memilih dan menolak khidmat mana-mana perunding sekalipun.
Jika semua hipotesis di atas itu adalah benar, maka kemungkinan besar, sebuah penerbit yang baru memulakan operasi perlu merelakan perkataan ‘sila’ digunakan ke atasnya kerana terlalu mengharapkan manuskrip pertamanya.
Ramadan Mubarak, Eid Mubarak, Minal Aidin wal Faizin, Maafkan Zahir dan Batin, Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga UNIKA dan kakitangan PTS di mana sahaja anda berada!
Salam persilatan,
Tuan Mohd Nadzrin Wahab,
Salam Persilatan!
Analisis tuan berkenaan arah-komunikasi amat detail, seolah-olah tuan seorang sociolinguist.
Disebabkan perkataan ‘sila’ adalah kata arahan, justreu ‘sila’ tidak boleh digunakan antara 2 orang yang sama statusnya.
Sebagai contoh, seorang pengurus kanan tidak boleh menggunakan perkataan ‘sila’ kepada seorang pengurus kanan lain. Demikian pula seorang doktor tidak boleh menggunakan ‘sila’ kepada doktor lain.
Justeru penulis dan editor adalah setaraf, oleh itu tidak boleh mengarah-arahkan satu sama lain.
Salam UNIKA Puan,
Saya terima teguran Puan dengan ikhlas. Terima kasih atas didikan Puan melalui UNIKA dan Prof Dr. Abdullah Hasan melalui UIA dahulu.
Eid Mubarak!
Salam persilatan,
Post a comment