Memilih Judul Buku: Perkataan Lelaki, Perkataan Perempuan
Apabila saudara mencipta judul buku, banyak faktor perlu diambil kira. Salah satu daripada faktor-faktor itu adalah "perkataan lelaki" dan "perkataan perempuan".
Apabila buku saudara itu ditargetkan kepada pembeli perempuan, gunakan perkataan-perkataan yang disukai oleh perempuan. Perempuan suka perkataan-perkataan emotif, seperti "bahagia", "cinta", "rindu", "sayu", "pilu", "sedih", "duka" dan banyak lagi yang serupa itu.
Buku agama yang paling ngetop jualannya baru-baru ini adalah "Jangan Bersedih" karya al-Qarni. Judul Inggerisnya "Don't Be Sad". Pembeli buku itu 99% perempuan.
Jadi, jangan gunakan perkataan yang disukai oleh lelaki pada buku-buku yang akan dipromosikan kepada pasaran perempuan! Demikianlah pula sebaliknya. Perkataan-perkataan emotif tidak digemari oleh lelaki.
Seorang pakar perkataan perempuan adalah En. Norden Mohammed, Pengurus Besar ALAF21. Kita boleh lihat kepakarannya memilih judul dan menulis copy pada kulit novel-novel cinta terbitan Alaf21. Memang terlentoklah perempuan membacanya!
Sesetengah buku itu pula sengaja ditargetkan baik kepada pembeli lelaki mahupun perempuan. Bagi buku-buku kategori ini, gunakan perkataan-perkataan yang neutral, yakni ia disukai oleh lelaki mahupun oleh perempuan. Contoh perkataan yang neutral adalah "berjaya", "kaya" "kejayaan", "maju", "sukses" dan banyak lagi.
Gunakan prinsip ini bagi semua jenis buku, bukan hanya bagi novel - Buku agama, buku kanak-kanak, buku motivasi. Apabila saudara menulis buku agama, tetapkan apakah buku itu akan ditargetkan kepada perempuan ataupun lelaki, ataupun kedua-duanya. Begitu juga apabila saudara menulis buku kanak-kanak dan remaja, apakah buku itu untuk kanak-kanak perempuan ataupun kanak-kanak lelaki.
Sesetengah perkataan yang dijadikan judul adalah teramat asing bunyinya. Sebagai contoh, novel Azizi Hj. Abdullah yang terbaru diterbitkan oleh DBP yang menggunakan perkataan "Sangeetha".
Ikon yang digunakan untuk cover novel ini menunjukkan gambar perempuan, justeru ia semacam ditargetkan kepada pembaca perempuan.
Namun perkataan "sangeetha" itu bukan perkataan yang termasuk dalam senarai perbendaharaan "bahasa feminin".
Barangkali perkataan "sangeetha", yang bermakna "muzik" adalah leksikon terbaru yang dipinjam oleh Bahasa Melayu daripada bahasa Sansekerta.
Barangkali Jabatan Perkamusan DBP belum memasukkan perkataan ini dalam pangkalan data perkamusannya. Ejaannya juga masih menyalahi panduan yang terdapat dalam dokumen DBP: "Pedoman Ejaan Kata Pinjaman".
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Bagaimana buku tentang keusahawanan dan perniagaan yang memfokuskan kepada kedua-dua golongan? Cukupkah dengan sekadar keseimbangan contoh yang melibatkan kedua-dua golongan?
sangeetha adalah watak utama dalam novel ini.. harap maklum.. watak utama menjadi judul novel..
Post a comment