Perpustakaan Awam dan Sastera Kanak-kanak dan Remaja PTS
Seorang pembaca blog ini, Puan Mazlina Ali, menulis:
Di Perpustakaan Negara, anak saya pernah terjumpa beberapa buku PTS disorok di bawah rak buku. Dia jumpa apabila salah satu buku itu terjulur keluar. Hendak ambil kena seluk tangan ke bawah rak. Ini tentu kerja kanak-kanak yang tidak mahu buku PTS jatuh ke tangan orang lain. Maklumlah, sekali pinjam cuma dapat 3 buku sahaja.
Semua buku yang disorok itu adalah buku PTS!
Yang menjadi tanda tanya orang ramai adalah:
(i) Jika buku-buku PTS begitu digemari oleh kanak-kanak dan remaja, sampaikan mereka menyorok-nyorokkan buku-buku PTS, mengapakah sangat sedikit judul buku PTS yang terdapat di perpustakaan awam, terutama di perpustakaan desa, sedangkan PTS menerbitkan beratus-ratus judul setiap tahun.
(ii) Bagi judul-judul PTS yang dibeli oleh perpustakaan, mengapakah jumlah naskhahnya sangat kecil bagi setiap judul, sedangkan penggemarnya begitu banyak.
Saya pernah bertanya persoalan ini kepada beberapa kontraktor buku yang mempunyai banyak maklumat dan pengalaman berkenaan hal-ehwal bagaimana perpustakaan awam menilai dan memilih judul.
Kontraktor-kontraktor buku itu memberitahu saya maklumat berikut:
(i) Pertama-tama, tidak ada sesiapa yang tahu apa ciri-ciri yang dijadikan kriteria pemilihan judul oleh perpustakaan awam. Apabila pegawai perpustakaan ditanya, mereka pun tidak tahu dengan tepat, oleh sebab tidak ada panduan bertulis mengenai kriteria memilih judul.
(ii) Kedua, tidak ada pegawai perpustakaan awam yang tidak yakin bahawa buku-buku sastera kanak-kanak dan remaja terbitan PTS sangat tinggi mutunya dan digemari ramai. Menurut kata kontraktor itu, mereka belum pernah terjumpa pegawai perpustakaan yang mengatakan sastera remaja terbitan PTS tidak elok bagi bacaan kanak-kanak dan remaja.
Menurut salah seorang kontraktor yang saya tanya itu, cara kerja para pegawai perpustakaan awamlah yang menyebabkan judul-judul PTS tidak banyak dipilih. Sebagai contoh, jika judul PTS banyak dipilih, mereka takut penerbit-penerbit lain membantah dengan mengemukakan hujah bahawa pegawai kerajaan mengamalkan dasar pilih kasih kepada PTS, dan perkara itu tidak adil kepada penerbit-penerbit lain.
Jadi, kerana tidak mahu dituduh pilih kasih dan tidak adil kepada semua, maka pegawai perpustakaan pun memilih judul daripada semua penerbit, supaya semua penerbit puas hati, manakala pengguna perpustakaan tidak puas hati.
Nampaknya, dalam kes mahu bersikap adil yang begini, memuaskan hati penerbit sudah menjadi prinsip utama sewaktu pegawai perpustakaan memilih judul, bukannya memuaskan hati pembaca buku yang menggunakan perkhidmatan perpustakaan awam.
Yang menjadi isu, banyak penerbit sebenarnya dimiliki oleh seorang towkay sahaja. Ada towkay yang menerbitkan buku menggunakan 7 syarikat, jadi ketujuh-tujuh syarikat itu dipilih judulnya, tetapi semua syarikat itu adalah kepunyaan towkay itu seorang. Penerbit jenis ini memang tidak menerbitkan buku-buku yang tinggi mutunya, tetapi buku-buku mereka tetap dipilih oleh perpustakaan awam.
Bukan itu sahaja, jenis penerbit 'cap ayam' ini mempunyai cara menipu yang sudah tidak menjadi rahsia lagi. Ada penerbit yang menjual buku-buku yang sama berulang kali kepada perpustakaan awam dengan cara menukar kulit dan judul buku-buku itu sahaja, ataupun dengan membolak-balikkan susunan isi kandungan buku-buku itu.
(iii) Ketiga, ada pegawai perpustakaan yang takut dituduh mereka kowtim-kowtim dengan PTS jika banyak judul PTS dipilih. Kerana takut dituduh menerima rasuah dari PTS, maka buku-buku PTS tidak berani dipilih, tetapi pegawai itu berani pula memilih buku-buku terbitan syarikat-syarikat 'cap ayam' milik towkay itu, malah memilih buku-buku terbitan lama pun pegawai itu berani.
(iv) Keempat, salah seorang kontraktor buku memberitahu bahawa sebenarnya banyak judul sastera kanak-kanak dan remaja terbitan PTS dipilih oleh pegawai-pegawai yang melakukan proses penilaian, tetapi apabila senarai judul itu 'naik ke atas', senarai judul itu 'berubah'.
Begitulah maklumat yang disampaikan kepada saya oleh beberapa kontraktor buku yang saya tanya apakah faktor-faktor yang menyebabkan banyak buku-buku sastera kanak-kanak dan remaja dalam bahasa Melayu di perpustakaan awam adalah buku-buku yang tidak laku, terbitan lama, buku berset-set, dan buku-buku itu tidak terdapat di kedai-kedai buku.
NOTA: PTS adalah sebuah penerbit yang berpegang kepada dasar perniagaan bebas-rasuah (curruption-free), itulah sebabnya PTS tidak masuk tender kerajaan. Yang membekalkan buku-buku PTS kepada perpustakaan awam adalah ahli-ahli Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera (baca, UMNOputera). Mereka membeli buku-buku PTS dengan diskaun 35% dan membekalkannya kepada kerajaan. Banyak penerbit 'cap ayam' itu juga mempunyai lesen sebagai kontraktor buku. Mereka inilah yang bekerja kuat 'melobi' supaya buku-buku kualiti rendah yang mereka sendiri terbitkan dimasukkan ke dalam senarai judul yang dipilih oleh perpustakaan awam.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Masa kecil-kecil dulu, saya juga amalkan tabiat yang sama dengan anak Puan Mazlina, tapi masa tu belum ada buku PTS lagi, saya selalu menyorokkan buku-buku cerita Hardy Boys-Versi BM di celah-celah buku berbahasa Inggeris.
Perpustakaan Awam Perlis hanya membenarkan meminjam 2 buah buku untuk selama 2 minggu. Biasanya tempat yang saya sorok tu memang “selamat”.
Perpustakaan Awam seharusnya merubah cara pemilihan buku-buku. Pemilihan seharusnya lebih telus, bergantung kepada kualiti isi buku, serta berdasarkan senarai nilai dan kualiti yang telah ditetapkan, prestasi buku-buku ini di pasaran terbuka serta kualiti bahasa yang digunakan.
Saya dapati perpustakaan awam lebih cenderung membeli buku-buku cerita novel pop cinta yang tidak bermutu dan kabur nilai moralnya, terutamanya buku-buku fiksyen bahasa Melayu. Anda boleh melihat sendiri keadaan ini dengan hanya memerhati tajuk-tajuk buku yang terletak di atas rak-rak fiksyen buku bahasa Melayu.
Buku-buku bahasa Melayu yang berkualiti terbitan DBP, PTS dan lain-lain penerbit amat sedikit sekali kurang 1% berbanding jumlah judul keseluruhan buku-buku ini. Ramai anak-anak Melayu gemar ke perpustakaan dan ramai juga yang kecewa dengan kualiti buku-buku bahasa Melayu yang terdapat di sini.
Contohnya, semua judul buku karangan Pak Abdul Latip Talib patut dibeli oleh semua perpustakaan awam di Malaysia. Namun hanya beberapa judul sahaja yang terpilih dan hanya satu salinan sahaja yang dibeli bagi sesebuah perpustakaan itu.
Buku harus dipilih berdasarkan kualiti isi serta impak kandungannya kepada masyarakat.
Para pustakawan tidak harus dan tidak patut takut atau bimbang tentang periuk nasi para penerbit. Jika para penerbit tidak menerbitkan produk yang berkualiti maka itu bukan masalah pustakawan tetapi masalah penerbit. Dengan demikian para penerbit akan berlumba-lumba meningkatkan kualiti produk masing-masing. Penerbit yang mementingkan kualiti buku pasti akan kaya-raya, maka itu rezeki mereka (atas usaha bersusah payah menghasilkan kerja yang terbaik).
Begitu juga periuk nasi ahli politik bukannya di perpustakaan awam sebaliknya bergantung kepada kualiti kerja dan khidmat mereka kepada rakyat.
Perpustakaan awam di Malaysia harus mencontohi perpustakaan awam di Singapura, Australia, UK, Jepun dan Amerika contohnya. Mereka mementingkan karya para penulis tempatan yang berkualiti. Malah perpustakaan awam juga patut menyediakan anugerah-anugerah bagi karya fiksyen dan bukan fiksyen bagi mengalakkan perkembangan industri ini di Malaysia.
Salam kepada semua,
Ini merupakan kali kedua saya menulis komen di sini dan semuanya kerana kehendak hati ingin turut sama membincangkan perkara ini. Ada benarnya apa yang ditulis oleh penulis mengenai cara pemilihan koleksi-koleksi di perpustakaan awam. Tetapi saya di sini cuma ingin mengulas mengenai koleksi-koleksi buku yang diterbitkan oleh PTS. Pada pendapat saya dan melalui pemerhatian saya, ada juga buku-buku hasilan PTS masih belum mencapai tahap penerbitan sebenar dan belum sesuai dijadikan bahan rujukan. Saya tahu yang pihak PTS juga banyak menganjurkan kursus penulisan tetapi cara penulisan yang tidak dikemukakan bersama rujukan dan kriteria-kriteria yang lain belum cukup membantu program literasi maklumat di Malaysia sendiri.
Menarik isu yang dibincangkan ini, tetapi buku penerbitan bagi tujuan rujukan dan komersial ia memenuhi standard pembaca yang berbeza. Jadi bagi meletakkan maksud ‘penerbitan sebenar’ untuk dua padang yang berbeza memerlukan penelitian semula. TIdak adil meletakkan semua benda dalam satu acuan.
Kedua-duanya mencapai maksud berdasarkan golongan sasar. Literasi maklumat atau apa disebut oleh Paul Zurkowski ‘Keupayaan mendapat makna daripada maklumat’ tidak hanya wujud dalam bibliografi karya semata-mata, dalam bengkel penulisan PTS ia diajar memasukkan ke dalam teks itu sendiri.
Doyle C menekankan pada konsep literasi maklumat itu “Keupayaan untuk mengakses menilai dan mengguna maklumat dari pelbagai sumber” jika diukur daripada bahan penerbitan PTS, ia memenuhi meskipun tidak seperti standard yang kita diberitahu yang sebenarnya belum tentu orang awam dan pengguna perpustakaan tahu. Perkara ini harus jelas.
Keupayaan teks dalam buku itu sendiri cukup membantu dalam konteks buku popular.
Salam,
Seperti yang dibincangkan, sememangnya buku yang dijadikan bahan rujukan dan komersial adalah berbeza dari segi standardnya. Itu tidak dinafikan. Tetapi yang lebih merisaukan adalah buku rujukan itu sendiri. Buku yang diterbitkan sememangnya banyak tetapi kita cuma memikirkan ketepatan maklumat yang disalurkan. Ini kerana pada masa sekarang semua orang mampu menulis buku dan mampu menjadi penerbit sendiri. Ini yang dipanggil “ledakan maklumat”. Ini yang kita risaukan.
Saya membuka persoalan di sini. Sebagai contoh PTS sendiri. Saya ada terbaca artikel mengenai “Malaysia kurang menerbitkan buku” kalau tak salah saya dikeluarkan oleh PNM. Dan saya mendapati yang PTS sebenarnya banyak menghasilkan buku-buku. Pada pendapat anda kenapa terjadinya salah faham tentang jumlah terbitan buku ini? Adakah para penerbit tidak melalui PNM semasa menerbitkan buku-buku tersebut dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti PNM perlu menerima 5 salinan buku yang perlu diterbitkan? Tetapi walhal saya melihat buku-buku yang dihasilkan mempunyai ISBN dan ISBD serta CIP nya. Soalan seterusnya mengenai buku rujukan yang diterbitkan. Kenapa ada sesetengah buku yang menjadi rujukan kadang kala tidak mengikut piawai? Sebagai contoh buku ini dijadikan bahan rujukan tetapi tiada rujukan yang jelas daripada mana segala maklumat ini diambil sedangkan penulis-penulis buku sememangnya ada merujuk sumber lain. Adakah buku-buku ini tidak melalui atau disemak oleh PNM? Adakah PNM tidak menjalankan tugas mereka ATAU penerbit sendiri yang hanya mengenepikan prosedur ini. Wallahualam.
Terima Kasih
Jawapan kepada soalan ini sangat mudah,
Tuan Fazli gunakan saluran yang betul untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Ajukan secara rasmi kepada Perpustakaan Negara Malaysia.
Salam, segala persoalan yang saya ajukan bukan hanya berkaitan dengan PNM tetapi juga berkaitan dengan penerbitan buku. Kita tidak mahu melihat pihak penerbit ligat mengadakan kursus “menulis buku” tetapi hasilannya tidak ke mana. Mungkin kita dapat membincangkan sedikit tentang hal ini di sini.Tidakkah begitu? Kita memang sedia maklum yang PNM mempunyai masalah-masalahnya. Tetapi tidakkah sebagai penerbit juga menjalankan tanggungjawab yang sama selain menghasilkan untung yang lumayan dan menjadikan pendapatan penulis buku lebih daripada seorang penyanyi. Pada masa sekarang semua orang boleh menulis buku dan tidak perlu menghadiri kursus-kursus sedemikian rupa. Objektif kursus perlulah betul. Di sini pun kita telah menjumpai satu punca mengapa literaci maklumat kurang berjaya di Malaysia. Fikirkan tuan-tuan dan puan-puan.
Jawapan kepada soalan ini sangat mudah,
Tuan Fazli gunakan saluran yang betul untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Ajukan secara rasmi kepada Perpustakaan Negara Malaysia jika mereka bermasalah.
Respon tuan ini sama juga seperti respon saya dengar 10 tahun dulu. Orang sahaja berbeza. Biasanya orang itu lontarkan itu ini, selepas 10 tahun, saya pun lupa di mana dia dan hasil buku contoh jawapan persoalan orang itu.
Terima kasih kepada PTS kerana banyak buku dihasilkan dan menjadikan ruang kedai buku hidup dengan buku Melayu. Mudah anak saya nak membaca. Bila berfikir seperti kata tuan, “Bertindak lebih kuat hasilnya daripada bercakap.”
Moga tuan tidak jadi seperti orang sepuluh tahun lalu itu.
Salam, mungkin ada benarnya kata Puan Azizah. PTS banyak menghidupkan buku-buku melayu di kedai buku. Saya tak nafikan. Tapi kalaulah boleh dihiasi sedikit lagi dengan standardnya, pasti buku itu akan menghidupkan buku-buku melayu bukan hanya di kedai buku Malaysia, malah di antarabangsa. Saya hanya seorang Pustakawan yang bertindak selaku Pustakawan dan bukannya seorang penulis atau penerbit. Saya akan berusaha memastikan pengguna yang datang ke perpustakaan di mana saya bekerja mendapat maklumat yang betul dan bukan hanya “Periuk yang kosong”. Dan buku yang harus dibeli perlulah tepat isinya. Contoh buku yang mengikut standardnya terlalu banyak untuk dirujuk. Nak atau tidak sahaja. Bergantung pada usaha penulis sahaja. Jika standardnya tidak diketahui oleh orang awam atau umum, hebahkan dalam kursus yang dianjurkan seperti anjuran PTS itu. Universiti-universiti pun telah lama mewujudkan satu program literasi maklumat pada pelajarnya. Jika ingin jadi penulis buku perlulah mengetahui perkara sebegini. Insyallah hasilannya pasti bergaya.
Kepada Puan Azizah, mungkin di sini boleh kita mulakan walaupun tidak terlalu besar impaknya. Hanya memberi pendapat dan saya pasti ramai di sini yang lebih lagi berpengalaman daripada saya yang baru berusia 24 tahun ini. Maaf jika ada yang tersinggung. Mungkin jika ada ahli PNM yang membaca perbincangan ini dapatlah sesuatu daripada ini.
Terima Kasih
Post a comment