Saturday, January 27, 2007

Pesan Penyair KS Ilmar kepada Peserta Bengkel Puisi Cinta Islami

1. Pertama-tama tentukan kiblat puisi cinta itu. Apa tujuan puisi itu - apakah bagi menerangkan emosi yang dirasai, apakah bagi menyampaikan emosi itu kepada yang menjadi objek, apakah bagi menyampaikan pesan, ataupun apa.

2. Sebaiknya satu puisi, satu cerita. Jangan banyak-banyak cerita dalam satu puisi sebab puisi cinta yang panjang-panjang tidak disukai oleh pembaca remaja.

3. Gunakan perkataan-perkataan konkrit kerana ia mudah dikembangkan.

4. Bagi mengembangkan puisi, gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagai tautan. Gunakan formula 4W 1H.

5. Apabila menulis puisi cinta, jangan tujukan puisi itu kepada SATU orang, sebaliknya bukakan puisi itu kepada banyak orang.

6. Pilih perkataan-perkataan yang mempunyai pelbagai makna.

7. Cipta frasa-frasa baru yang belum pernah digunakan sebelumnya. Simpan dan bawa ke mana-mana buku kecil tempat mencatat frasa-frasa baru yang melintas dalam kepala.

8. Pastikan ada ketiga-tiga unsur keindahan dalam puisi itu (a) keindahan bahasa (b) keindahan makna dan (c) keindahan moral.

9. Logik idea dalam puisi tidak boleh menyalahi logik alam sebenar. Apabila ini berlaku puisi itu menjadi 'karya tak matang' dan menyebabkan pembaca mendapat kesan 'penyairnya belum matang'.

10. Jangan terlalu banyak 'hiasan' sehingga puisi menjadi 'mabuk bahasa'.

11. Elok tuliskan judul puisi sebelum menuliskan puisi, kerana judul itu membantu saudara memfokuskan fikiran saudara sepanjang proses menghasilkan puisi itu.

Pesanan Penyair KS Ilmar pada hujung bengkel: Biarpun saudara cuma mahu menjadi penyair selama 3 jam, dalam tempoh singkat itu, tulislah puisi yang kekal indah sepanjang zaman.

Nota Sifu: Peserta pulang dengan saku yang penuh. Terima kasih tidak terhingga kepada Sang Pencinta Agung!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sains Penulisan
(15) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Ode buat Penyair KS Ilmar Previous entry: Ejaan Nabi
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/27  at  10:56 PM

Rasa beruntung sangat dapat pergi bengkel tadi sebab dapat banyak tips baru. Tapi ada rasa sedikit rugi sebab tak tahu yang KS Ilmar itu Marsli NO. Kalau tidak, boleh saya minta tandatangan untuk buku kumpulan cerpen(DEMI) dan puisi(Hanya Kata) dia.
——-

amiene rev  on  01/27  at  11:05 PM

...dan hatiku
terus berduka
malam ini baru tamat kuliahku

dan aku terus merindui
untuk hadir serta
dalam majlis ilmu

yang Satu itu.

Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Siti Hajar  on  01/27  at  11:42 PM

Assalamualaikum,

Banyak yang mahal harganya dalam kelas ini. Yang paling mahal kami berpeluang mencipta puisi di sesi petang setelah belajar teknik di sesi pagi. Saudara KSI telah menunjukkan kepada kami satu persatu apa yang boleh diperbaiki dalam setiap puisi yang kami cipta. Baru terang kenapa puisi sebelum ini terasa ada yang kurang.

Terima kasih banyak kepada Puan kerana menganjurkan kelas-kelas seperti ini dan terima kasih kepada saudara KSI yang sudi berkongsi ilmu dengan kami.

Selepas ini yang hadir kursus akan menjadi perindu…

zaharah  on  01/28  at  01:41 AM

Salam.
Puan Sifu, alangkah ruginya saya kerana tak dapat hadir kelas-kelas anjuran PTS. Tak ada rezki. Tapi cemburu amat apabila dengar peserta pulang dengan saku yang penuh. Apakan daya, saya jauh.

Zaharah
Sitiawan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/28  at  02:23 AM

Sedikit pembetulan daripada sajak 3 jam semasa di bengkel.
“Saya masih belum ada rasa rindu yang cukup,” ujar seorang peserta.


Lautan Perkasihan

Seorang pemancing cinta
di atas kolek lompang
dalam mabuk kalbu
dan cinta beralun sederas ombak

Tapi kailnya tidak mengena
mana-mana hati
mungkin umpannya hanya budi
atau matanya kailnya
hanya hanya menanti rindu

Namun
yang pasti dia akan terus
sabar memancing cinta
biar datang seribu gelora.


Azree MH
Taman Ilmu dan Budi

KSI  on  01/29  at  02:08 AM

Saudara Azree MH: Lautan Perkasihan, Puisi Dikau

Tidakkah saudara seorang yang tamak? Cinta dan kasih yang saudara cari nun di luas lautan. Kenapa tidak hanya di sungai atau di tasik?

Bukan apa. Jika di lautan, daku takut nanti dikau lemas kecungapan.

Mampukah saudara dengan tenaga dan keupayaan seorang pemancing dan bekalnya sebuah kolek yang lompang mendapatkan kasih dan cinta di luas lautan?

Semangat dikau memang berkobar. Mendapatkan cinta dengan pancingan yang belum tentu mengena.

Ah, saudara. Rumah puisimu boleh dikau dekati dan masuk dari perlbagai pintu.

Barangkali deraf yang ini, saudara memilih untuk masuk dari pintu belakang. Kalau yang dikau mahu bicarakan tersimpan di ruamh cinta dan rindu, bukan lebih mudah jika dikau langsung masuk lewat pintu depan?

Ah, jangan tweragak-agak dan tersipu-sipu. katakan saja jia dikau mahukan sesuatu. Ah,  itukan.. apa dia? Ini bukan? I Luv U.

Kan mudah begitu?

Bertolak dari deraf itu, dikau garaplah puisi seterusnya. Hemati dan renung makna segala kata. Sehingga dikau benar-benar yakin tepat dan mampu mengirim maknanya.

Daku percaya, nanti akan ada yang lebih segar dan memukau dari tangan puisimu. meski dikau bertolak hanya sebagai pemancing dan sebuah perahu yang lompang?

Perahu yang lompang? (Hari itu sudah ingin kutanyakan, tetapi terlupa jua di tengah mabuk berkata-kata).

Jangan bergurau sauudara. Saudara mahu ke Lautan Perkasihan hanya dengan sebuah perahu yang lompang? Biar bener, deh.

Ah, berjalanlah kembali di galeri perbandingan kata dan lambang milikmu, tentu akan dikau temui sesuatu yang lebih kuat makna dan ertinya.

KSI
Januari 29, 2007
1.55 pagi

KSI  on  01/29  at  02:26 AM

KALAU TIDAK MAMPU BERPUITIS, BERPOLOS SAJA

Ah, sudah semalaman menatap layar PC ini. Namun kata yang puitis, belum juga muncul di benak. Lalu kupilih berpolos saja. Yang penting daku ingin berkata dan menzahirkan rasa yang menggelegak dari jiwa.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/29  at  08:13 AM

Saudara KSI,

Malang sungguh diriku kerana tidak dapat menghadirkan diri. Moga di lain kali, jika lain kali itu wujud lagi.

Antara puisi-puisi yang saya cipta, yang mana satukah paling berkualiti pada pandangan saudara KSI?

terima kasih.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/29  at  09:17 PM

Terimakasih Azree, kerana info yang sedikit yang sdr tulis (KS Ilmar = Marsli N.O) saya dapat info lain yg lebih banyak setelah pergi ke laman web beliau. Ada sebuah esei beliau di situ yang menarik perhatian - ‘Menulis dengan Niat dan Minat’.
p/s
Nampaknya saya akan teruskan minat saya menulis puisi polos sebab itu sajalah yang mampu diluahkan buat masa ini. Kali terakhir saya mendapat pendidikan Bahasa Melayu - 20 tahun dahulu. Mujur ada UNIKA PTS!

KSI  on  01/30  at  06:45 AM

Aduhai Sahabat Bernama Mal: Mari bersama kita berjalan di taman. Daku tidak ingin menjadi sang pawang kerana kudatang hanya sebagai teman. Mari kita sama berjalan, bergandingan. Jika daku tersesat, tolong tunjuki jalan yang benar. Namun, tidak berani daku menjadi pencari silap. Atau peletak nilai dan penentu hukuman. Jika daku sekali berkata. Bukan kerana mahu mempamer bijak. Tetapi hati sekali tergerak untuk membaca. Aduhai, sahabat. Percayalah kepada tulus hati. Kerana puisi. Jika dikau memberi, berilah kerana diri dan bukan kerana benci atau kesumat yang menabiri.

KSI  on  01/30  at  06:54 AM

YANG POLOS ITU APA?

Begitu itu yang dibaca, maka begitu jualah erti dan makna.

Misalkan ini: Saya seorang manusia/ saya tinggal di Kuala Lumpur/ Usia saya sudah 75 tahun.

Makna tersurat sudah dikau baca, makna kedua dan berikutnya apa? Kalau tidak ada, memang puismu POLOS.

Tetapi kalau begini:  daku adalah sebatang tubuh bernama manusia/ melata di tanah/ sambil menyeret berat usia/ ....

Tentu tidak polos, bukan?

Itu sekadar satu contoh dan dikau bisa mencipta contoh yang lain.

Lalu bertanyalah kepada hati. Kerana puisi yang menjadi dan bererti, bukan kerana istilah dan seribu helah.

KSI

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/30  at  08:42 AM

Saudara KSI,

Terima kasih, fahamlah saya. Setiap puisi yang tercipta sebenarnya mempunyai kekuatan yang tersendiri. Puisi saya tidak akan bersaing dengan puisi KSI atau sesiapa pun. Puisi saya hanya akan bersaing dengan karya-karya saya seterusnya, untuk menghasilkan yang terbaik.


Terima kasih.
Kamal
Cyberjaya

KSI  on  01/30  at  06:29 PM

Sahabat Daku Kamal:
Proses berkreatif, dalam hubungan ini puisi, merupakan suatu pergulatan di dalam dan dengan diri kita sendiri. Tiada gunanya kita ingin menyaingi sesiapa. Kerana, yang ingin kita tundukkan tidak lain adalah gelisah dan resah di dalam jiwa kita.  Kita bertanding merebut kata dengan jiwa dan rasa kita.

Apa yang dikau ucapkan dengan tulus jiwa, pasti nanti kesannya akan meresap jua ke hati pembaca. Dan keindahan, pasti akan datang jika dikau merinduinya setulus raga dan jiwa.

Asal saja, dikau menghormati Sang Tuan Kata.

KSI
Januari 30, 2007
6.30 pm

KSI  on  02/03  at  07:38 PM

APA YANG KITA CARI DARI PUISI?

Yang kita cari, hanyalah diri. Mengabsahkan resah dan rindunya ke kertas. Mendengar resah dan gelisah jiwa sendiri. Mendengar suara tulus dari jiwa. Meski tidak selalu berasa bahagia, namun bergulat dengan kata, mempertimbang serta memperbandingkannya, nada, dengung serta makna, mendatangkan resah yang nikmat.

Kita menjadi pemburu yang sentiasa rindu dan menuliskan puisi untuk sekejap meredamkan gelisah.

Berpuisi adalah resah yang nikmat. Katarsisnya adalah karya yang dizahirkan kerana resah jiwa.

Kerana, kita tidak mampu berbohong di depan kata.

KSI
Februari 3, 2007
7.31 pm

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/13  at  10:26 AM

Terima kasih buat saudara Marsli dan minta maaf kerana ketiadaan masa untuk mengakses internet agak lama.

Semasa saya cuba membetulkan puisi ini, saya teringat pesanan saudara supaya membayangkan ramai perempuan apabila menulis puisi cinta dan bukannya tertumpu kepada seorang sahaja. Jadi mungkin saya kemabukan apabila membayangkan wajah seribu perempuan yang hadir menerjah sehinggkan tersasar ke laut pula.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: