PPK , BTP dan BBT Elok Ikut Cara Pembelian PNM
Laporan Audit Negara yang disiarkan di akhbar baru-baru ini mendedahkan pelbagai skandal pembelian yang dilakukan oleh banyak jabatan dan kementerian.
Kementerian yang paling banyak membelanjakan wang bagi pembelian buku adalah Kementerian Pelajaran, melalui pembelian oleh Bahagian Buku Teks (BBT), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).
BBT menguruskan projek Skim Pinjaman Buku Teks. BTP menguruskan pembelian buku-buku bagi pusat sumber sekolah. PPK menguruskan pemilihan buku-buku teks untuk subjek komponen sastera (KOMSAS).
Di PNM, Akta Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mewajibkan semua penerbit menghantar buku-buku terbitan mereka kepada PNM. Kualiti buku-buku itu dinilai oleh pegawai-pegawai PNM dan dipastikan kesesuaiannya dengan perpustakaan di seluruh negara yang bakal menerima buku-buku itu.
Cara pembelian yang diamalkan oleh PNM adalah paling disukai oleh penerbit buku. Buku-buku yang dipilih oleh PNM adalah berdasarkan buku-buku yang dihantar oleh para penerbit - bukan yang dihantar oleh kontraktor seperti yang diamalkan oleh BTP dan PPK.
Cara kerja PNM ini membolehkan penerbit yang hanya mempunyai 1 judul pun berpeluang bukunya dipilih oleh PNM. Malah penulis self-published pun berpeluang bukunya dipilih!
Cara kerja PNM ini lebih baik daripada cara kerja BTP dan PPK, kerana di PNM judul buku tidak dihantar oleh kontraktor sebagaimana yang berlaku di BTP dan PPK.
Kontraktor adalah bisnesman, dan di kalangan kontraktor amalan rasuah sudah dianggap suatu 'budaya' bisnes yang normal. Justeru cara kerja BTP dan PPK adalah mesra-kontraktor dan dengan itu mesra-rasuah.
Cara kerja di PNM adalah mesra-buku dan mesra-penerbit. Pegawai-pegawai PNM memilih judul buku-buku yang berkualiti, selepas itu barulah PNM memilih kontraktor yang dilantik bagi membekalkan buku-buku yang sudah dipilih sendiri oleh PNM. Kemudian kontraktor membeli buku-buku itu dari penerbit lalu dibekalkan ke PNM.
Justeru, di PNM, kontraktor tidak ada sebab mahu merasuah pegawai PNM sebab kontraktor tidak diminta submit judul buku kepada PNM.
Di BTP dan PPK amat lain ceritanya. Para kontraktor pula yang diberikan tugas mencadangkan judul-judul buku kepada BTP dan PPK.
Kontraktor buku bukannya penerbit buku, jadi mereka tidak mempunyai buku. Sesiapa pun boleh membuka syarikat sendirian berhad dan menjadi kontraktor buku. Pengusaha kantin sekolah pun ada yang menjadi kontraktor buku. Inilah faktor yang menyebabkan budaya kowtim-kowtim amat besar peranannya dalam proses projek pembelian buku di BBT, BTP dan PPK.
Cara kerja BTP dan PPK sebenarnya adalah menyuruh kontraktor pergi sahaja ke kedai buku, pilih mana-mana buku yang dia suka, dan cadangkan buku itu kepada BTP dan PPK. Buku "Cap Ayam" pun cap ayamlah.
Ada di kalangan kontraktor yang lebih pandai buat duit. Mereka sendiri terbitkan buku-buku "Cap Ayam" khusus untuk mendapatkan projek BTP dan PPK. Mereka upah sesiapa yang pandai menulis buku cerita-cerita ayam, dan pelukis-pelukis ayam. Kemudian mereka cetak buku-buku itu, masukkan dalam borang submission ke BTP dan PPK. Apabila buku-buku cap ayam yang disubmit oleh kontraktor, maka buku cap ayamlah yang dipilih oleh BTP dan PPK. Itulah buku-buku yang dibekalkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah.
Golongan sasterawan sudah lama menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada kementerian pelajaran berkenaan kualiti buku-buku yang dipilih oleh PPK bagi dijadikan buku teks KOMSAS. Pegawai-pegawai DBP pun tidak puas hati kerana DBP tidak diajak ikut sama menilai kualiti buku-buku yang bakal dipilih itu, padahal idea KOMSAS itu adalah idea dan inisiatif DBP, manakala teks yang dipilih oleh PPK tidak mencapai kualiti sastera.
Sebuah penerbit yang entah bagaimana, dia pun tidak tahu, terkejut apabila baru-baru ini tiba-tiba bukunya termasuk dalam senarai buku yang dibeli oleh BTP. Bukunya itu dijual di kedai pada harga RM19.90 sen, tetapi dibekalkan oleh kontraktor kepada BTP dengan harga RM79.00! Khabarnya, demi menjaga nama baiknya, penerbit itu sudah menulis surat kepada Pak Menteri dan Ketua Pengarah Pelajaran memberitahu bahawa beliau sama sekali tidak terlibat dan tidak tahu menahu dengan penipuan harga buku terbitannya itu yang dilakukan oleh kontraktor terbabit.
Perkara seperti ini tidak akan berlaku jika BTP dan PPK mencontohi sistem kerja yang diamalkan oleh PNM.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan Sifu,
Patutlah ketika saya melihat buku-buku sekolah dan buku-buku kerja anak-anak saya, hati kecil ini berkata, “Macam inikah buku sekolah sekarang? Tidak seperti buku sekolah masa aku kecil-kecil dahulu.”
Saya setuju dengan pandangan En Zakir.
Sifu,
Bila kita ada cbox semula?Rindu dengan Sifu dan rakan-rakan.
memang itulah kehidupan dalam industri buku. Bila jabatan audit negara buat audit barulah kita tau banyak benda tak munasabah berlaku.
(1)patutlah…
(2)selama ini jabatan audit buat apa?
(3)apa langkah susulan untuk basmi perkara ini?
(4)apa tugas PTS(penerbit) dan apa yang kami (penulis) harus lakukan?
Sifu, tak perlu adakan Cbox. Nanti ada orang yang mahu sabotaj. Lebih selesa kalau wujudkan Cbox, semua ahli perlu berdaftar sebelum boleh menghantar mesej, supaya mudah mengesan penyamar-penyamar yang mau mensabotaj dan memburuk-burukkan pihak yang lain.
Dahulu semasa ada Cbox, saya berasa tidak enak ke mari kerana banyak pengacau. Sekarang lebih aman, Sifu.
Mencegah lebih baik dari merawat. Tak kira Cbox atau sistem kerja pengedaran buku, sama sahaja konsepnya.
Mahu sahaja dikirimkan rencana puan ini ke forum akhbar.
Assalamualaikum Puan Sifu,
Umum mengetahui sistem yang diamalkan oleh BBT, BTP dan PPK. Saya pernah menerima tugas mengendalikan projek BBT dan BTP. Biasanya para kontraktor gemar mengamalkan budaya kerja ‘last-minute’. Contohnya, tempoh menyiapkan buku teks adalah selama 8 bulan. Tempoh ini merangkumi penyelidikan, penulisan, gambar rajah, lay out, semakan dan pembetulan bagi buku setebal kira-kira 200 muka surat. Malangnya kontaktor buku lebih menumpukan projek-projek lain (buku hanya satu projek bahkan bermacam-macam projek). Projek-projek ini biasanya mengambil masa hanya dalam masa 2 bulan setengah! Akibatnya, (a) buku yang dihasilkan ‘hancur’ (b) tumpuan kakitangan yang terlibat hilang (c) produktiviti menurun.
Bagaimana kontraktor boleh menang tender walaupun buku yang dihasilkan hancur? hehe.. tidak mahu cakap, nanti kena serahkan tape video. hehe.
Assalamualaikum Puan,
Saya ingin menyambung sedikit komen saya terdahulu.
Ketika saya membelek buku anak-anak untuk memberikan masa berkualiti kepada mereka, selain hati saya berkata seperti pada komen yang lalu, saya juga secara spontan akan melihat buku tersebut kemudian menatap wajah anak kesayangan saya itu silih berganti.
Hairan melihat apa yang ada dalam buku itu sambil memandang sayu ke wajah anak saya. Mereka tersengeh sambil bertanya, “Mengapa ayah pandang ‘kita orang’ macam itu?”
Dalam hati kasihan pada anak-anak dapat bahan begitu. Namun tidak mahu diluahkan kepada mereka bimbang mereka akan ‘demoralize’ oleh ayahnya sendiri.
Terima kasih puan kerana mencelikkan mata saya dalam soal ini.
Post a comment