Pro dan Kontra Penerbit Buku Menerbitkan Karya Anggota Staf Sendiri
PTS adalah sebuah syarikat penerbitan yang amat menggalakkan stafnya sendiri supaya mengasah bakat masing-masing dan berkarya, dengan objektif karya mereka dapat diterbitkan oleh PTS sendiri. Dasar ini telah berjaya melahirkan banyak penulis di kalangan TimPTS.
Sebagai dorongan tambahan, mereka diberi layanan serupa dengan penulis luar. Meskipun mereka sudah dibayar gaji oleh PTS, apabila mereka berkarya di luar waktu pejabat mereka menikmati kadar royalti yang serupa dengan penulis bukan staf PTS.
(Namun PTS juga membenarkan mereka berkarya untuk penerbit lain, sekiranya karya mereka tidak sesuai untuk PTS.)
Dasar perniagaan PTS ini mempunyai kesan pro dan kontra.
Dari sudut bisnes, banyak kelebihannya apabila PTS menggalakkan stafnya sendiri menulis dan menerbitkan buku mereka.
(i) Kredibiliti PTS dapat dipertingkat kerana editor-editornya dapat membuktikan mereka mempunyai bakat, ilmu dan skill menghasilkan buku-buku yang laku dalam pasaran. Dengan demikian masyarakat lebih menghormati tahap profesionalisme stafnya.
(ii) Disebabkan mereka sendiri bertugas dalam PTS, maka buku-buku yang mereka hasilkan lebih menepati dasar-dasar editorial PTS, dan terbukti dengan hal yang demikian buku-buku mereka laris jualannya.
(iii) Mereka juga mempunyai banyak informasi tentang trend-trend pasaran buku, maka dengan demikian mereka dapat merancangkan jenis-jenis buku yang sesuai ditulis dan diterbitkan supaya buku-buku itu menepati kehendak pasaran.
(iv) Dengan mengamalkan dasar ini PTS dapat meningkatkan perasaan puas bekerja (job satisfaction) di kalangan para editornya, dengan demikian produktiviti mereka sentiasa tinggi.
(v) Disebabkan para editor itu dapat menjalankan tugas sambil berkarya dengan PTS sendiri, mereka lebih setia kepada PTS, hasilnya mereka tidak mudah meletakkan jawatan. Dengan itu PTS dapat menyimpan bakat dan pengalaman mereka bagi menjaga kepentingan bisnes PTS.
Memanglah dasar perniagaan PTS ini tidak dapat menyukakan hati semua orang.
Bagi PTS, kriteria yang paling utama adalah survival syarikat dengan cara menerbitkan buku-buku yang (a) memandaikan bangsa, (b) syariah-compliant, dan (c) laris. Selagi sesebuah buku itu sangat laku dijual, tidak ada istilah 'percanggahan kepentingan' antara kepentingan PTS dan kepentingan editor.
Sebagai sebuah penerbit swasta yang sangat komersial, PTS mendahulukan kepentingan bisnes daripada faktor-faktor bukan-bisnes, kerana setiap bulan PTS perlu membayar hutang-hutang bank, hutang pencetak, gaji, komisen, bonus, KWSP, SOCSO, insurance kesihatan, yang semuanya hanya faham 'bahasa RM'.
NOTA: Hutang-hutang semasa PTS kepada bank-bank dan pencetak bernilai lebih RM12 juta. Lembaga pengarah PTS menjadi penjamin kepada hutang-hutang itu. Jika PTS gagal membayar hutang-hutang tersebut, bank-bank akan menarik ahli-ahli lembaga pengarah PTS ke mahkamah bagi proses membangkrapkan mereka.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment