Langkah PTS Melesen Buku Kanak-Kanak Thailand: Apa Strategi di Sebaliknya?
Mulai tahun ini PTS One Sdn. Bhd. akan mula menerbitkan buku kanak-kanak yang diterjemahkan daripada bahasa Thai. Langkah ini bukanlah tanpa strategi.
Menurut Tn. Arief Rahmad (foto), pengarah urusan kumpulan syarikat-syarikat PTS, semenjak tahun 2005, setiap tahun PTS menghantar pegawai-pegawainya ke Bangkok, dengan satu objektif, yakni mencari jalan bagaimana PTS dapat mengeksport judul-judulnya ke negara itu.
Pada masa ini PTS sudah berjaya menembusi pasaran Indonesia. Langkah seterusnya adalah menembusi pasaran Thailand.
Bagi tujuan itu, mula-mula sekali adalah dengan menunjukkan muka pegawai-pegawai tinggi PTS pada acara Pesta Buku Bangkok dan mereka berkenalan dahulu dengan beberapa penerbit terbesar di negara itu, supaya mereka menaruh kepercayaan bahawa PTS adalah penerbit yang layak mereka jadikan kawan di Kuala Lumpur.
Langkah kedua adalah dengan cara setiap tahun, apabila diadakan Pesta Buku Bangkok, pegawai PTS pasti datang. Semakin kerap mereka nampak wajah pegawai PTS, semakin tinggi keyakinan mereka terhadap kredibiliti PTS sebagai sebuah penerbit yang sudah mapan (established) di Kuala Lumpur.
Buat pertama kalinya, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL 2010) yang lalu, beberapa penerbit dan agensi hakcipta dari Bangkok telah datang bagi membalas kunjungan pegawai-pegawai PTS ke Bangkok.
Langkah ketiga adalah dengan PTS yang mengambil inisiatif memulakan urusan bisnes dengan penerbit-penerbit besar di Bangkok. Justeru PTSlah yang mula membuka mulut mahu melesen hak menterjemahkan judul-judul penerbit Thai itu ke dalam Bahasa Melayu untuk pasaran Malaysia.
Dalam dunia bisnes, apabila kita membeli barang orang, lama-lama orang itu pun akan mahu membeli barang kita. Bak kata pepatah Melayu, mata berpandangan budi kedapatan. Inilah yang ditargetkan oleh PTS!
Tahun 2010 ini PTS melesen judul-judul Thai. Dalam masa terdekat, PTS mahu penerbit Thailand pula melesen judul-judul PTS!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya suka dengan perkongsian ilmu bisnes ini.
Terima kasih Sifu.
Post a comment