Saturday, July 25, 2009

PTS Mengamalkan Bisnes Bebas-Rasuah

Sejak hari pertama PTS beroperasi pada tahun 2000, ia sudah mengamalkan bisnes bebas-rasuah.

Banyak orang Melayu tidak percaya bahawa orang bisnes dapat bertahan begitu lama tanpa mahu terlibat dengan rasuah, walaupun RM1.00, apatah lagi jika bisnesman itu orang Melayu. Mereka percaya, jika bisnes itu bisnes kecil-kecilan macam kedai gunting rambut dan cuci kereta, ya, memang bisnes begitu dapat dijalankan secara bebas-rasuah, tetapi jika nilai bisnes itu berpuluh juta ringgit setahun, mereka tidak percaya itu dapat dilakukan.

Pada hari ini nilai pasaran buku-buku PTS sudah hampir RM30 juta setahun. Lebih 90% buku-buku PTS dijual dalam kedai-kedai buku di seluruh negara, termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura. Kurang 10% lagi dijual kepada kontraktor-kontraktor buku yang mendapat tender kerajaan. PTS sendiri tidak masuk sebarang tender kerajaan.

Ada 2 sebab PTS tidak masuk tender kerajaan meskipun PTS memiliki sijil Kementerian Kewangan:

(i) Pertama, PTS mahu memastikan perniagaannya kekal bebas-rasuah, baik rasuah yang terang dan nyata mahupun rasuah yang samar-samar.

(ii) Kedua, PTS tidak mahu menikam agen-agennya sendiri dari belakang. Ini disebabkan banyak syarikat pengedar buku dan kedai-kedai buku yang menjual buku-buku PTS adalah juga kontraktor buku yang masuk tender kerajaan.

PTS tidak mahu bersaing dengan agen-agennya sendiri. Biar mereka mendapat kontrak, PTS akan menjual buku-bukunya kepada mereka dengan diskaun biasa, sesuai dengan prinsip PTS: "Cari makan sama-sama, makan pun sama-sama. Biar dapat sedikit seorang, yang penting semua orang merasa."

Disebabkan PTS bebas-rasuah, banyak pihak suka berurusan dengan PTS, kerana semuanya telus. Baik kontraktor buku, pencetak, pengedar, pekedai buku, penulis, penterjemah, ilustrator dan lain-lain supplier, semuanya tahu tidak ada urusan-bawah-meja dengan PTS.

Tanpa rasuah, bisnes dengan PTS menjadi murah, tidak perlu hulur-sana-hulur-sini apabila berurusan dengan pegawai-pegawai PTS. Semua supplier PTS (pencetak, penulis, penterjemah, ilustrator) tahu bahawa kualiti kerja merekalah yang menentukan apakah mereka dapat terus menjadi pembekal PTS ataupun tidak. Inilah faktor yang menyebabkan buku-buku PTS terkenal cantik dan bagus isi kandungannya, makanya buku-buku PTS laris terjual di kedai-kedai buku.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Novel Dakwah yang Berlatar Belakang Cinta Remaja Kampung Previous entry: Panduan Hidup sebagai Penterjemah Sepenuh Masa

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.