PTS Selesai Membayar Royalti Penulis, Penterjemah, Pelukis dan Pekomik Sebelum Hari Raya
Puan Nur Hasnah Ibrahim (foto), pengurus jabatan kewangan PTS, memberitahu pada minggu ini cek-cek terakhir royalti akan dihantarkan kepada kumpulan terakhir penulis PTS.
Dengan itu selesailah urusan penghantaran cek-cek royalti bagi jualan tahun 2009 kepada semua penulis, pekomik, penterjemah dan ilustrator PTS, baik di dalam negara mahupun di luar negara.
Setiap tahun cek-cek royalti mula dihantar kepada karyawan PTS pada bulan Jun.
Bersama-sama dengan cek yang dihantar kepada karyawan, jabatan kewangan juga mengepilkan laporan terperinci laporan jualan setiap judul buku kepada penulis. Dalam laporan itu, maklumat yang diberikan termasuklah (a) setiap judul buku oleh penulis, (b) harga jualan (c) setiap edisi, (d) jumlah cetakan, (e) jumlah terjual, (f) jumlah naskhah rosak, (g) jumlah naskhah percuma bagi tujuan promosi, (i) jumlah baki dalam gudang.
Dengan memberikan maklumat terperinci itu maka penulis PTS dapat melakukan analisis prestasi buku mereka, dengan demikian mereka dapat membuat perancangan yang lebih baik sebelum menulis buku-buku baru mereka.
Sebagai contoh, Tn. Imran Yusuf adalah penulis dan juga penterjemah PTS. Beliau memberitahu, buku-buku terjemahan beliau menghasilkan royalti yang lebih tinggi daripada buku-buku karya asli beliau. Justeru, bagi meningkatkan lagi pendapatan royalti beliau, pada masa hadapan beliau akan menghasilkan lebih banyak buku terjemahan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment