Monday, July 10, 2006

Realiti dalam Karya Sastera: Prinsip Surah Yusuf

Dalam teori sastera aliran realisme konvensional, karya sastera berfungsi menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dunia realiti. Berdasarkan prinsip ini, karya sastera boleh mendedahkan semua bentuk perkara yang baik dan yang tidak baik seadanya.


Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, segala maklmuat yang disampaikan dalam surah itu adalah kisah benar, yakni realiti. Jadi surah Yusuf menceritakan hanya yang benar sahaja, justeru peristiwa abang-abang yang sanggup membunuh adik sendiri disebabkan berebut kasih ayah semata-mata, dan perisitiwa perempuan-perempuan Mesir yang terpesona apabila memandang Nabi Yusuf sehingga mereka tidak sedar telah melukai jari mereka sendiri, adalah kejadian benar.


Surah Yusuf hanya menceritakan apa yang benar, maka di manakah perbezaan antara teori realisme konvensional dengan teori realisme dalam sastera Islami?


Dalam teori sastera konvensional, segala yang berlaku dalam realiti dibenarkan dipaparkan dalam karya, dan pengarang diberikan kebebasan mutlak memilih mana realiti yang mahu dipaparkan dan mana yang tidak. Pengarang juga diberikan kebebasan menuliskan realiti itu dengan apa jua teknik yang dipilihnya.


Dalam erti kata lain, dalam teori sastera konvensional pengarang diberikan kebebasan mutlak dalam 4 perkara:


a. Kebebasan Memilih Tema

Dalam teori sastera konvensional, pengarang mempunyai kebebasan mutlak memilih apa sahaja tema bagi karyanya. Pengarang Islami diberikan kebebasan memilih tema sama seperti pengarang konvensional dalam ertikata tema dalam sastera Islami adalah terbuka. Sebagai contoh, jika pengarang konvensional bebas memasukkan unsur-unsur maksiat dalam sastera, maka pengarang Islami juga bebas melakukannya. Ini berdasarkan dalam surah Yusuf terdapat banyak tema perbuatan mungkar seperti anak durhaka, godaan perempuan, isteri curang, suami dayus, dan pembunuhan.


b. Kebebasan Memilih Peristiwa

Pengarang konvensional diberi kebebasan memlilih apa sahaja peristiwa bagi dipaparkan dalam karyanya, tetapi pengarang sastera mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, berdasarkan surah Yusuf, bagi tema pembunuhan, tidak ada paparan teknikal bagaimana perbuatan abang-abang Nabi Yusuf cuba membunuh beliau. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan aksi pembunuhan secara terperinci.

Demikian pula, bagi tema jatuh cinta, dalam surah Yusuf tidak ada paparan teknikal tentang tingkah laku Zulaikha yang khayal-berahi dalam lamunan percintaan. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan secara teknikal babak-babak percintaan yang dapat mencetuskan perasaan berahi pada pembaca.


c. Kebebasan Memilih Objek

Pengarang konvensional diberi kebebasan memilih sebarang objek yang mahu digambarkan dengan terperinci, tetapi pengarang sastera Islami mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, pengarang konvensional dibenarkan menggambarkan dengan terperinci bentuk tubuh badan semua watak-wataknya, apa lagi bentuk tubuh badan perempuan yang cantik-cantik.

Dalam surah Yusuf tidak ada maklumat sama sekali tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf dan kejelitaan isteri al-Aziz. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menerangkan rupa bentuk tubuh badan dan pakaian yang dipakai oleh watak-watak yang terlibat dalam tema percintaan, sebagaimana dalam kes watak Nabi Yusuf dan isteri al-Aziz disebabkan mereka berdua terlibat dalam tema cinta.


d. Kebebasan Memilih Kosa Kata

Pengarang konvensional diberikan kebebasan mutlak memilih kosa kata tetapi tidak bagi pengarang Islami. Pengarang konvensional bebas menggunakan sebarang perkataan dan frasa sebagaimana yang digunakan dalam alam realiti. Kebebasan mutlak seperti itu tidak diberikan kepada pengarang Islami.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat perkataan-perkataan yang dianggap bahasa kotor, bahasa lucah, bahasa kasar dan bahasa nista. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menggunakan kosa kata jenis itu dalam berkarya.


Sebagai kesimpulan, manakala teori sastera konvensional memberikan kebebasan mutlak kepada pengarang menggambarkan dunia realiti, teori sastera Islami aliran surah Yusuf tidak memberikan kebebasan mutlak seperti itu. Ada realiti yang dibenarkan dipaparkan dengan terperinci dalam karya sastera manakala ada realiti yang hanya boleh 'diceritakan' tetapi tidak boleh 'digambarkan'.




.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Hakcipta: Teladan dari Han Su Yin Previous entry: Bagaimana Penerbit Menjaga Hak Moral Pengarang

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.