Sifu Memikirkan Tentang DBP yang “mandul” dan Istilah “roadshow”
Barangkali pagi ini emosi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak enak apabila beliau membaca laporan akhbar bahawa Yang Berhormat Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh melabelkan organisasi yang dipimpinnya itu sebagai "mandul".
Semenjak Dato' Dr. Firdaus Abdullah memimpin DBP, baik beliau mahupun DBP, hampir tidak pernah menerima pujian daripada orang politik dan media - yang ada malah sebaliknya. Beliau banyak melakukan perkara-perkara yang baik, tetapi biasalah, media hanya berminat melaporkan isu-isu yang dapat menarik minat pembaca dan penonton.
Isu istilah Inggeris tidak jemu-jemu dibangkitkan orang, semenjak DBP mula mencipta istilah pada tahun 1950-an dahulu sehingga hari ini.
Dalam isu istilah, ada 2 sekolah bahasa:
(1) Sekolah purist
Penganut sekolah aliran ini mahukan seboleh-bolehnya digunakan perkataan Melayu bagi istilah-istilah yang bukan dalam bidang sains dan teknologi. Seperti kata Dr. Wan Hashim, jika sudah ada istilah "belanjawan" yang telah digunakan selama berpuluh-puluh tahun tanpa ada apa-apa masalah, mengapa dipinjam perkataan "bajet".
Istilah yang dicipta menggunakan perkataan Melayu belum tentu diterima oleh orang Melayu sendiri, sebagai contoh:
bicycle - kuda besi
radio - tetuang udara
zoo - taman binatang
muzeum - sekolah gambar
television - peti bergambar
pizza - lempeng berlauk
diskette - cakera liut
web - laman sesawang
calculator - mesin kira
(2) Sekolah pragmatist
Penganut sekolah ini bersikap amat terbuka kepada kata-kata pinjaman Inggeris. Bagi mereka, gunakan sahaja apa-apa perkataan Inggeris yang sudah sedia popular, kerana kerja dan kerenah birokrasi penciptaan istilah-istilah Melayu yang diamalkan di DBP memakan masa, mahal, leceh dan rumit.
Ambil contoh istilah "roadshow", suatu istilah yang amat diperlukan hari ini, baik oleh orang politik, orang bisnes, artis, dan wartawan. Apakah kita wajib menunggu sehingga jawatakuasa istilah DBP bermesyuarat dahulu baru kita dapat menyelesaikan masalah kita?
Sebagai penerbit, "masa adalah wang". Apabila buku lambat terbit, kita rugi. Sampai bila kita harus menunggu DBP menciptakan istilah bagi menggantikan "roadshow"?
Istilah yang dicipta oleh jawatankuasa DBP itu mungkin betul dari sudut teori bahasa dan teori peristilahannya, tetapi jika buku yang menggunakan istilah "betul" itu sebagai tajuknya tidak laku dijual, penerbit yang menanggung kerugian.
Istilah "roadshow" itu hanya satu contoh. Terdapat banyak lagi istilah seperti itu.
Inilah faktor yang menyebabkan penerbit seperti PTS menggubal garis panduan peristilahan kita sendiri bagi kegunaan jabatan editorial PTS sahaja.
Nota: Foto diambil dari blog Firdaus Ariff.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya masih ingat zaman belanjawan jadi bajet. Ketua Inspektor jadi Cif Inspektor. Walaupun saya suka kepada pragmatisme tetapi Cif Inspektor agak lucu. Lebih lucu lagi bila Underwriter jadi Pengunderait. Saya benci dengan istilah Rakan Cop. Cop apa? Tonik Cop Gajah?
Tuanku el-Rastomi,
Saya juga benci istilah-istilah yang tuan sebut itu. Sangat benci!
Saya suka istilah “sifu” untuk diri saya. (Tidak ada dalam entri Kamus Dewan edisi ke-4 yang saya gunakan.)
Puan Sifu,
Adakah kita mempunyai garis panduan bagi perkataan mana boleh diceduk dan mana yang tidak? Sedih bila cerdik pandai Melayu berbalah begini.
Puan Rihan yang dikasihi!
Di PTS, kita mempunyai garis panduan kita sendiri apabila hendak mengambil perkataan asing. Garis panduan itu kita terangkan kepada para editor PTS, termasuk editor freelance.
Puan janganlah bersedih apabila cerdik pandai kita bergaduh tentang isu bahasa. Itu bagus, setidak-tidaknya mereka prihatin tentang bahasa kita. Lebih banyak mereka bergaduh, lebih baik!
Apabila cerdik pandai kita tidak ambil hirau tentang Bahasa Melayu, itulah tragedi!
Khalid Jaafar pernah tulis dalam blognya bahawa DBP dipimpin oleh minda-minda yang tewas.
Majlis Jerayawara BBSN 2007 di Tanjung Karang pada 20 Oktober lalu tidak mendapat liputan media langsung walaupun dirasmikan oleh MB Selangor. Jerayawara=Roadshow (ada di dalam Kamus Dewan edisi keempat).
Post a comment