Tip Survival Penerbit: Risiko Menolak Manuksrip Orang Pandai Berceramah
Salah satu perkara yang amat ditakuti oleh penerbit adalah risiko rosaknya nama baik. Apabila nama baik rosak, para penulis hilang kepercayaan, dan mereka lari kepada penerbit lain. Rosaklah bisnes!
Nama baik boleh rosak apabila penerbit menolak manuskrip yang dihantar oleh orang yang pandai menulis blog ataupun mempunyai Yahoo-Group. Lebih ditakuti lagi apabila orang itu bukan hanya mempunyai blog, malah beliau seorang yang pandai berceramah.
Kita sudah mengalami risiko ini beberapa kali.
Blogger yang manuskripnya ditolak oleh editor PTS telah menulis dalam blognya entri yang tidak menyedapkan hati kita. Walaupun nama PTS tidak disebut, tetapi deskripsi yang dituliskan itu terkena benar dengan ciri-ciri PTS.
Begitu juga halnya dengan penulis yang menulis surat-surat yang memburuk-burukkan PTS dalam Yahoo-Group mereka.
Apabila blogger itu juga seorang penceramah, risikonya lebih berat, sebab rasa tidak puas hatinya bukan hanya diluahkan dalam blognya, malah dibawa-bawa ke dalam ceramahnya. Meskipun nama PTS tidak disebut, tetapi ciri-ciri yang disebutnya terkena benar dengan ciri-ciri PTS.
Disebabkan PTS mempunyai banyak kenalan, sudah pastilah ada kenalan kita yang memberitahu kita perihal alamat URL blogger yang menulis entri negatif itu, ataupun meng-forwardkan kepada kita surat-surat Yahoo-Group itu.
Demikian juga, antara hadirin ceramahnya ada kenalan kita, maka apa yang disebutkan dalam ceramah beliau disampaikan kepada kita sebab orang hendak tahu apakah benar perkara yang disebut dalam ceramah tersebut.
Sebagai contoh kita menerima emel seperti ini:
Assalamualaikum Sifu.
Moga-moga sifu dalam keadaan sihat sejahtera dan diteguhkan iman.
Entri khutbah Sifu menarik perhatian saya kerana dalam ceramah menulis oleh seorang professional ustaz semalam ada perbezaan pendapat dalam hal ini.
Kata ustaz itu, "Ada satu penerbit itu membuat buku agama yang sangat mudah hinggakan dibuang footnote dan teks arab. Katanya untuk bacaan mat rempit. Mat rempit mana baca buku! Saya bertanya kepada penyunting di penerbit itu yang kebetulan juga merupakan rakan saya. Saya bertanya mengapa buku agama kamu tiada footnote dan teks arab? Dijawab oleh rakan saya itu, itu rahsia bisnes. Tapi beginilah, agar tulisan lebih laku!"
Seperkara lagi, ada disebut oleh ustaz itu tentang kes penulis PTS. Dikatakan bahawa penulis PTS itu tidak diberitahu tentang pembuangan footnote-footnote itu.
Sifu, adakah benar perkara ini? Memandangkan penceramah semalam adalah seorang yang berpengaruh, saya khuatir berita yang tidak manis ini sudah tersebar luas. Ambil perhatian bahawa PTS tidak pernah disebut secara langsung dalam ceramahnya.
Wassalam.
MFAA
Apa yang dikatakan oleh ustaz penceramah itu tidak benar.
Pertama, buku-buku agama PTS tidak menyertakan footnote dan teks Arab bukan kerana kita menerbitkan buku agama khusus "untuk bacaan Mat Rempit" sahaja, ataupun "agar tulisan lebih laku" tetapi disebabkan PTS adalah sebuah penerbit buku-buku agama Fasa Mekah, yakni buku-buku agama PTS adalah ditargetkan kepada pembaca yang tiada langsung pengetahuan agama, umpamanya untuk orang yang hendak masuk Islam.
Kedua, adalah tidak benar bahawa ada penulis PTS yang tidak tahu perubahan editing yang dilakukan oleh editor PTS kerana semua penulis PTS dikehendaki membaca sendiri pruf akhir bukunya. Jadi tidak mungkin mereka tidak tahu jika ada perubahan editing. Cara kerja PTS itu adalah demi menjamin hak moral pengarang dihormati.
Bukan itu sahaja, penulis PTS dikehendaki membaca pruf dahulu, kemudian barulah mereka menandatangani perjanjian penerbitan. Ertinya, meskipun sudah di-layout, jika semasa membaca pruf penulis terjumpa unsur-unsur yang penulis tidak setuju, dia masih berhak menarik balik bukunya. Ini tentulah merugikan PTS yang sudah mengeluarkan kos mengedit dan me-layout buku itu. Namun risiko itu tetap diambil oleh PTS demi menjaga kepercayaan penulis.
Dalam semua kes di mana nama PTS diburuk-burukkan oleh penulis yang bukunya ditolak, tidak seorang pun daripada mereka itu pernah menghadiri kursus penulisan PTS.
Buku mereka elok, sangat sesuai diterbitkan oleh penerbit lain seperti DBP ataupun penerbit universiti. Buku mereka itu bagus, cuma PTS mahukan buku untuk target yang amat spesifik.
Manuskrip yang mereka hantar itu adalah jenis 'unsolicited' yakni tidak diminta oleh PTS. Mereka tulis sendiri dan hantar sendiri ke PTS. Itulah sebabnya apa yang mereka tulis tidak selaras dengan ciri-ciri buku yang PTS mahu.
Bagi saudara yang hendak menerbitkan buku-buku ilmu, tentulah saudara terpaksa bekerja dengan penulis-penulis yang pandai dan berkelulusan tinggi. Apabila saudara menolak manuskrip yang ditulis orang pandai, risikonya amat tinggi, sebab orang pandai tidak pandai mengendalikan perasaan kecewa yang mereka alami apabila buku mereka ditolak penerbit. Ego mereka amat luka. Mereka tidak percaya buku mereka ditolak. Mereka menunjukkan tanda-tanda apa yang disebut tingkah laku denial-syndrome.
Apabila risiko begini berlaku, banyakkan bersabar. Kita perlu bersimpati dengan penulis itu, jangan ambil hati, dan maafkannya. Jaga hubungan baik, jangan sampai putus silaturrahim, sebab apabila kita memutuskan tali silaturrahim, hukumannya adalah rezeki kita dikurangkan, dan umur kita dipendekkan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan Sifu,
Saya rasa saya dapat meneka individu yang dimaksudkan oleh penulis itu.
Saya pernah cuba menghubungi Tuan Faris - Islamika bagi mendapatkan penjelasan sama ada benar tentang ulasan ustaz berkenaan.
Saya berpendapat, setiap penulis harus diberitahu dengan jelas dan agar memahami misi PTS iaitu untuk memandaikan ummah.
Pendekatan PTS adalah dengan mengunakan bahasa yang mudah dan difahami.
Mengunakan cover, bahasa yang boleh diterima oleh semua peringkat manusia termasuk yang bukan Islam.
Menulis buku dengan footnote dan ayat Al-Quran itu bagus, tetapi ianya lebih sesuai kepada orang yang sudah pakar dalam sesuatu bidang. Bukannya bagi orang yang ingin baru belajar.
Footnote dan Al-Quran menjadi berat kepada orang yang baru hendak mendekati ilmu.
Itu sekadar pandangan peribadi saya.
Saya mencadangkan footnote boleh dibuat pada akhir buku sebagaimana buku John C Maxwell jika benar-benar penulis mahu mengekalkan footnote.
Puan SifuPTS,
Salam Sejahtera. Saya masih ingat peristiwa di Pesta Buku Antarabangsa. Saya membuat temujanji dengan Tuan Faris di sana.
Saya nampak puan di hujung ruang sedang berbual-bual. Kata saya: Minta maaf, Puan Ainon?, Saya ada manuskrip untuk dipertimbangkan oleh PTS.
Puan membaca laju, selaju bas cepat ekspres. Kata puan: Saya sukakan manuskrip ini. PTS mahu ia diterbitkan. Ada dua perkara yang perlu diperbetulkan:
1. penggunaan ganti nama saya [bla… bla]
2. Bab ni panjang. Kami ia ditukar kepada bab yang pendek-pendek [bla… bla…]
Saya ambil manuskrip dan pulang. Dalam perjalanan, saya katakan kepada Roza:
Puan Ainon tu banyak cakap… Cakap tak berhenti-henti. Ada ke patut disuruhnya saya rombak manuskrip yang dah bagus ni… Ini kerja besar. Saya kena rombak semua sekali.
Mulut jahat saya membebel. Di rumah saya tinggalkan emosi, menilai satu persatu komen-komen beliau. Dan jelas ada rasional dan logik saranan tersebut.
Kini ia menjadi sejarah. Kalau saya ‘degil’ dan berasa seorang ‘profesor’ tidak boleh ditegur, dan pastinya saya boleh mendapat layanan ‘red carpet’ penerbitan di tempat lain, dengan 20% royalti, saya tidak tahu sama ada niat sebenar yang mahu buku THMSI menemui seramai mungkin pembaca akan tercapai.
Saya fikir, jika kita enggan mengikut protokol penerbit tertentu, carilah penerbit lain dan usahlah menyatakan: Anggur Puan Ainon Masam.
Assalamualaikum..
(Kata ustaz itu, “Ada satu penerbit itu membuat buku agama yang sangat mudah hinggakan dibuang footnote dan teks arab. Katanya untuk bacaan mat rempit. Mat rempit mana baca buku!)
Puan,
Entah mengapa saya sangat suka topik entri ini. Andai ada masa ‘mengeteh’ bersama 3 Abdul ‘Geng Sewel’, dapatlah kita mengulasnya dengan lebih panjang.
Saya ada jugalah kenalan dari kalangan ustaz-uztazah ini. Apabila berbual dan berkawan bersama mereka, saya lihat masing-masing ada cara tersendiri dalam menyampaikan dakwah kepada kita.
Mereka ustaz, tetapi mat-mat rempit hadir berkawan, berbual, mengeteh semeja, mendengar ceramah mereka kerana cara penyampaian mereka itu membuatkan mat-mat rempit ini rasa didekati.
Mat-mat rempit ini rasa masih ada manusia di muka bumi ini mengambil berat tentang diri mereka dengan memberi mereka kata-kata yang boleh merangsang untuk berubah sedikit demi sedikit.
Andai sering kita punyai masa ke program ceramah yang diadakan di padang-padang, tepi jalan terutamanya seperti di Taman Dagang yang pernah saya terlihat, terdapat sekumpulan mat-mat rempit ini hadir berkumpul duduk di atas motor masing-masing yang diletakkan sebaris panjang turut mendengar ceramah itu yang disampaikan seorang ustaz yang tidak banyak menggunakan bahasa arab dalam ceramahnya ketika itu.
Namun isi ceramahnya tetap sampai kepada hadirin dengan mengajak kita kembali kepada jalan-jalan-Nya.
Sering dilihat pelbagai jenis buku-buku agama di pasaran. Terdapat buku yang bagus kandungannya, tidak kurang juga ada yang sukar difahami isi penyampaiannya.
Walau bagaimanapun semuanya baik dan apa jua bentuk penyampaian, yang penting adalah mesejnya sampai dan difahamai pembaca.
Semoga dirahmati Allah selalu.
Amin…
Nota kaki: “Preeengg..preeenng..preeeennggg…Ooo ekjos besi, patutlah pom! Pom! Pom! Kuat sangat..”
Quote “Dalam semua kes di mana nama PTS diburuk-burukkan oleh penulis yang bukunya ditolak, tidak seorang pun daripada mereka itu pernah menghadiri kursus penulisan PTS.”
Syukur… Ini membuktikan penyerang saya salah. Saya menegur berfakta, dan TIDAK pernah memburuk-burukkan PTS.
Ada masa ingin juga pergi kursus, untuk bertemu dengan kawan-kawan lama, tetapi buat masa sekarang masih sibuk lagi.
Quote “Anggur Puan Ainon Masam.”
He..he..he.. teringat asal usul Fable Fox
http://tinyurl.com/2g3y4p
Post a comment