Friday, October 20, 2006

Risiko Self-publish


Minggu lalu, macam tahun-tahun sebelum ini, MPH mengadakan pertemuan penulis-penulis Kuala Lumpur di MPH One Utama, sebagai membuktikan komitmen MPH dalam mendukung perkembangan kreativiti tempatan.


Macam tahun-tahun sebelumnya, daripada jumlah tidak sampai 20 orang yang datang, 99% adalah penulis yang menulis dalam Bahasa Inggeris.


Yang menariknya, setiap tahun, yang datang adalah muka-muka baru. Ke mana perginya penulis-penulis yang datang tahun-tahun sebelumnya, adakah mereka tidak menulis lagi?


Meskipun yang datang itu muka-muka baru, tetapi apa yang mereka katakan dalam majlis itu adalah cerita-cerita yang serupa setiap tahun.


Tahun ini PTS menghantar Presiden PTS sendiri, En. Arief Rahmad, sebagai menyatakan sokongan PTS kepada daya usaha MPH.


Berikut adalah tema-tema berulang yang dikemukakan oleh penulis-penulis dalam Bahasa Inggeris itu:


1. Mereka menulis dalam BI sebab mereka mahu menulis 'for the world to read'.


2. Mereka mengatakan semua orang boleh membaca dalam BI oleh itu pasaran buku mereka amat besar.


3. Mereka mengalami kesukaran mencari penerbit yang profesional dan jujur. Cawangan penerbit-penerbit antarabangsa yang mempunyai cawangan di KL pun tidak berminat menerbitkan karya mereka. Akhirnya mereka terpaksa menerbitkan sendiri buku mereka. Akibatnya buku mereka berlonggok dalam rumah.


4. Mereka ditipu oleh penerbit tempatan yang menjanjikan macam-macam janji manis bahawa buku mereka akan laku, tetapi terbukti buku mereka tidak laku sebagaimana yang dijanjikan. (Malah salah seorang daripada mereka mengalami nasib, penerbitnya memulangkan kepadanya stok tak laku sebanyak seribu lebih naskhah!)


5. Tidak seorang pun yang berpuas hati dengan hasil jualan buku mereka, dan mereka menyalahkan semua pihak, melainkan diri mereka sendiri.


Tahun-tahun lalu, itulah juga keluhan golongan penulis Bahasa Inggeris di Malaysia.


Apabila wakil PTS akhirnya membuka mulut dan memberitahu mereka bahawa novel-novel popular Melayu dijual sehingga 150 ribu naskhah, mereka tidak percaya.


"Very cheap novel, maybe?" kata seorang.


"No! RM49.90," kata wakil PTS.


Senyap.



Nota: Font ini berbeza sebab teks ini disalin dari blog lama. Entri bertajuk "Menjadi Motivator: Apa Hendak Dipercakapkan" telah 'hilang' dan saya pula lupa hendak re-publish entri itu pada blog sebagai back-up.

.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Motivasi Penulis
(7) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mengapa Penulis Perlu Menggunakan Bahasa Melayu Futuristik Previous entry: Di Manakah UNIKA PTS?
alang bidara  on  10/21  at  12:09 AM

Assalamu’alaikum Sifu,

Saya dah send post saya ke dalam Diskusi Kuliah pagi tadi, tetapi terkejut bila hilang bila saya tenguk sebelah petang…Ini saya cuba tulis semula apa yg saya send tadi.

(1) Mungkin penulis2 ini menganggap begitu senang untuk diterima penerbit2 buku yang menggunakan BI. Walaupun audience mungkin meluas (global) namun bukan senang untuk diterima buku-buku karya BI yang penulisnya di kalangan bukan orang Eropah (baca bukan kulit putih!).

(2) Rangkaian penerbit buku yang menggunakan BI terdiri dari kalangan orang bukan Islam dan bermatlamat memanjangkan penjajahan pemikiran terhadap warga-warga dari bekas-bekas tanah jajahan orang putih. Jangan kita tidak tahu, menggalakkan warga2 bekas tanah jajahan berbahasa Inggeris juga salah satu bentuk penjajahan Inggeris, jadi tidak mungkin mereka akan memberi laluan mudah untuk buku-buku tulisan kita yang menggunakan BI, kerana diberi laluan kuranglah sudah ruang untuk mereka pergunakan untuk penjajahan tersebut; dan juga kurangkan ‘fulus’ yang masuk ke kocek mereka.

(3) Kalau ada penulis-penulis dari bekas tanah jajahan Inggeris yang berjaya ‘menembusi’ pasaran dunia itu pun ialah penulis-penulis seperti Salman Rusdie(dari India) dan Talsima Nasreen (dari Bangladesh). Karya mereka berdua mereka ini pun masih boleh dipersoal akan nilai komersil dan nilai kesusasteraannya, kerana penuh kontroversi. Salman pernah difatwakan murtad dan halal darahnya oleh Allahyarham Khomeini (Iran) kerana menulis buku mencaci Nabi Muhammad, isteri-isteri serta sahabt-sahabat Nabi. Taslima pula terusir dari Bangladesh kerana tulisan menghina Islam dan hukum nikah kahwin Islam. Salman mendapat perlindungan keselamatan di Britain oleh Scotland Yard manakala Taslima mendapat suaka politik di Sweden. Mereka dianugerahkan Booker Prize dan ada satu ‘anugerah’ lagi saya da lupa.

(4) Jikalau ada lagi penulis yang sanggup menulis buku-buku ‘sampah’ dan penghinaan terhadap Islam, maka saya percaya buku-buku tidak perlu sangat ditulis dengan bahasa kesusasteraan yang elok, tetapi jika menghina Islam sahaja, akan dapat publisiti meluas dan akan dihadiahkan macam-macam ‘anugerah’
——-

Kang  on  10/21  at  12:26 AM

Assalamualaikum Mbakyu. Minta contoh Mbakyu, novel popular yang boleh dijual sampai 150,000 naskhah itu. Adakah novel yang merosak, meracun anak remaja atau yang membina masyarakat sebagaimana selayaknya membina “modal insan” seperti yang dihebohkan sekarang ini. Saya percaya, ia novel yang lagha, bukan yang membina.

Bagaimana ‘laporan’ novel jibunsyi yang baru diperkenalkan—mampukah ia mengatasi novel-novel yang merosak. Maaf bertanya kerana jibunsyi masih terlalu muda. Bagaimanapun, kesan awal mesti sudah nampak.

# Nota: Teringat perbincangan panjang lebar dengan Arief (boss) tentang perlunya PTS menerbitkan novel untuk mengatasi novel-novel yang meracun anak remaja.

# Nota lagi: Dapat naskhah contoh novel jibunsyi “Cerita SATU Impian” untuk saya belajar.

alang bidara  on  10/21  at  01:05 AM

Di dalam internet juga bukan sedikit iklan yang menawarkan ‘pekej menarik’ bagi seorang penulis yang terlalu ingin melihat nama di dalam atau pada kulit buku, pekej yang menjanjikan yang seorang penulis kemasyhuran, cuma saya tidak pernah mencubanya…sebeb rasa tidak selesa pula…

Puan Ainon Mohd.  on  10/21  at  05:35 AM

Tan Sri Kang,

Lazimnya kita percaya novel2 popular yang diterbitkan di negara ini adalah novel-novel yang merosakkan remaja. Apabila sesebuah novel itu laku keras, semakin kita percaya isi novel itu buruk untuk remaja. Memang ada novel-novel seperti itu yang buruk isinya, tetapi ada juga novel-novel popular yang isinya mengandung mesej positif.

Tidak kurang juga adanya novel-novel karya nama-nama besar dalam sastera kita yang isinya tidak baik, tetapi kita jarang bercakap tentang isu ini. Kalau kita semak novel-novel Melayu yang terbit pada tahun 70-an, baca judulnya sahaja sudah dapat diagak apa isinya.

Malah dalam tahun 80-an dan 90-an pun masih ada novel oleh nama besar yang di dalamnya terdapat ayat-ayat yang ‘panas’. Tetapi, barangkali disebabkan penerbit yang menerbitkan novel-novel itu dulu tidak berjaya menjualnya sehingga mencapai angka puluhan ribu, jadi ia tidak mencetuskan gosip-gosip royalti besar, maka kritikan (baca kutukan) terhadap novel-novel tersebut tidak sekeras sebagaimana yang berlaku sekarang terhadap novel-novel cinta-popular.

Kita tidak mempunyai data keras tentang jualan setiap judul novel di negara ini, tetapi daripada maklumat yang diperoleh daripada dokumen di ROC, sebuah penerbit novel merekodkan perolehan RM15 juta setahun daripada aktiviti menerbitkan 2 judul baru sebulan. Manakala daripada gosip-gosip pasaran pula, sebuah novel yang dijual pada harga RM49.90 berjaya dijual lebih 100 ribu naskhah, dengan belanja promosi RM1 juta.

Tentang novel jibunsyi PTS, objektif kita adalah menerbitkan novel-novel yang ditulis dengan mematuhi syariah (syariah-compliant), bukan mengalahkan mana-mana genre yang ada dalam pasaran. Objektif sampingan kita adalah memberi alternatif kepada pembeli yang mahukan kelainan daripada produk-produk sedia ada. Sehingga saat saya menulis ini di sini, PTS baru menerbitkan 5 judul (bandingkan dengan 2 ribu judul novel popular yang ada dalam rekod MPH). Ini betul-betul David lawan Goliath! Hanya bantuan Allah sahaja yang dapat menolong kita berjuang mengalihkan citarasa sebahagian pembaca yang sudah 20 tahun terbiasa membaca novel popular konvensional. Kita akan mulakan awal, yakni memperkenalkan genre ini kepada minda muda remaja, dengan memasukkan jibunsyi ke dalam perpustakaan sekolah2 sebab buku-buku PTS sudah kuat di sekolah. Cukuplah Tuhan sebagai pembantu.

alang bidara  on  10/21  at  06:18 AM

Assalamu’alaikum Sifu, Tan Sri Kang,

(1) Minta pendapat tentang laman-laman web yang ‘menjanjikan’ beberapa pekej menarik bagi penulis-penulis membuat ‘self-publishing’;

(2) Apakah PTS boleh mengambil inisiatif memberi pilihan self-publish kepada penulis-penulis yang ingin mencuba self-publsh seperti yang terdapat di dalam URL-URL yang saya sebutkan di dalam no (3) di bawah? (Dengan syarat-syarat PTS ialah semua judul yang akan diterbitkan mesti syariah-compliant).

(3) Contoh-contoh URL tersebut alah:
http://www.iuniverse.com/
http://www.lulu.com/
http://www.selfpublishing.com/
http://www.go-publish-yourself.com/
http://www.beckhamhouse.com/

Terima kasih.

Kang  on  10/21  at  02:38 PM

Sangat setuju Mbakyu. Allah SWT akan membantu. Optimis. Teringat satu episod dalam drama TV di bulan puasa seperti ini, “Siti Hajar” yang lokasii penggambarannya kebetulan di Jenjarom (dekat-dekar rumah Wak Wasis, agaknya). Kata Siti Hajar, “Kalau Allah SWT sudah membukakan jalan, pasti Allah SWT akan menjayakannya.”

Sudah lama tak bersenam bersama Haji Fikri. Bila bersama, pasti akan saya tanya tentang novel Alaf 21. Menurut beliau, novel cinta adalah penyumbang besar pendapatan Karangkraf. Kuasanya besar—hanya 4 pengedar saja diberi peluang mengedar dengan “no return”. Bila kesempatan ke MPH akan saya belek dengan bergumam, “Hmmmm…” Patutlah.

Sekali lagi teringat kepada nama penerbit besar era awal 80’an—Knight Publisher. Novel dan non-fiksyen yang diterbitkan 99% panas. Kini Helmy Halim, pemiliknya, terpaksa dirantai kerana masalah mental. Satu nama lagi yang sinonim dengan cerita panas, Sabar Bohari. Apa khabar sekarang?

Pada pendapat saya Mbakyu, untuk menginsafkan, menyedarkan supaya tidak ‘tertulis’ yang panas, semi-panas, subahat, kena beringat akan kehidupan kedua iaitu hidup sesudah mati. Ini yang perlu diingat sepanjang jari mengetuk keyboard.

InsyaAllah PTS selamat sebagaimana kata Arief kepada saya, “Emak aku sangat pentingkan perkara ini. InsyaAllah tidak akan ada yang berlawanan dengan syariat.”

Puan Ainon Mohd.  on  10/23  at  01:52 PM

Tuan Rastom,

Mereka yang kempen supaya saudara self-publish buku saudara adalah golongan yang akan buat duit dengan cara mengenakan pelbagai bayaran kepada pengarang seperti upah mengedit, membuat layout, menyediakan ilustrasi, membuat cover, mencarikan pencetak dll yuran.

Saya kenal seorang Dato’, bekas orang besar Petronas yang self-publish bukunya. Dia bayar RM30 ribu! Bukunya hard-cover tetapi buku itu CIP pun tak ada!!! Kena rompak siang-siang bolong si Dato’ itu….

Kalau hendak self-publish, gunakan teknologi POD sahaja. Ini paling murah dan tidak ada risiko buku tidak laku. Raja Ahmad Aminollah dan Puan Nisah Haron melakukan cara ini untuk buku puisi mereka. Sdr Si-Naga-Naga dan Mat Jan Jongkang-Jongket pun menggunakan teknologi POD bagi buku-buku mereka.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: