Sunday, March 18, 2007

Sajak-Sajak Cinta Kamal

DIKAULAH MUTIARA KASIHKU
Kamal


Kupilihmu kekasih,
dari ribuan tiram
sedikit berkilau dari yang lain.

Seringkali hatiku terluka
tertusuk karang,
saat kubuka cengkerang
yang tertanam di lumpur hitam.

Kubiarkan sahaja ombak membilas kesakitan
Penuh daya kuanyamkan harapan
Moga terjalinlah ikatan tulus suci
di rantai indah perkahwinan ini.

Dikaulah,
Mutiara kasih terindah
yang kunanti penuh erti
di sanggul setia seorang isteri.

SEBELUM BERTEMUMU
Kamal


Sebelum bertemumu
aku tidak tahu
apa yang aku tidak ada.

Sendirian aku berjalan
merenungi sepi
yang bersimpang-siur
dalam sunyi hati.

Lalu kauajari aku makna
sebuah kehidupan
dan perkongsian sekeping hati
bukan sekadar memiliki.

Sebelum bertemumu
aku tidak tahu
erti bahagia itu.

DIKAULAH YANG KUCARI
Kamal


Mungkin benar katamu
Yang indah belum menjelma lagi
Dan aku harus terus menanti
Kudup cinta itu mekar di taman hati.

Saat kutemui dirimu
Aku seakan pasti dikaulah yang kucari
Selama ini.

CINTA INI ANUGERAH TUHAN
Kamal


Begitu berat hati menafikan
Betapa kesunyian ini adalah
sebuah kerinduan, seorang Adam
tanpa Hawanya.

Juga sebuah pelayaran suci
mengisi sepi di ruangan hati
yang kontang tak terisi
cinta suci seorang isteri.

Engkau hadir dalam hidup ini
dengan segala kepasrahan hati
menyambut huluran salam
untuk bersamaku memikul nikmatnya
Berdua melebur duka
janji setia untuk bersama
menempuh segala gelora.

Tuhan telah menganugerahkan
kau kepadaku, untuk memberi harapan
Sejalur cinta yang kudambakan.

DI MANA-MANA DALAM DIAMMU
Kamal


Bicaramu tiba-tiba menghilang
Bagai telah kaurangkul
Seluruh sunyi menemani diri.

Malam berbintang
Lenyap daripada pandangan
Kau masih terdiam
Bagai enggan melepaskan keresahan itu
Daripada terus membaluti wajah sucimu
Lantas menikam-nikam sanubariku.

Di mana-mana dalam diammu, kekasih
yang terhukum adalah aku.

NOKTAH RINDU
Kamal

Di hujung ayat itu
ternoktah segala rindu
dan yang terhukum adalah aku
tanpa jemu menantimu.

Di penghujung ayat itu
engkau memberi segala restu
atau sengaja menghiris kalbuku.

BAGAIMANA HARUS AKU NYATAKAN
Kamal


Kelu lidahku
saat kau berada di depanku
terasa diri ini bukan diriku
dan dirimu hanyalah bayanganmu
yang melintas di depanku.

Bagaimana harus kunyatakan kepadamu
yang diri ini terlalu kasih
namun lidahku kelu bagi menyatakan
betapa sayang itu bukannya palsu.

Mungkinkah berdiam diri
lebih baik begitu, biar masa menentukan
jika berterus terang bisa membunuh perasaan
andai jawapan tidak semanis impian yang dikarang.

Bagaimana harus kunyatakan kepadamu?
jika lidah terus membisu
namun debar hatiku kian menggunungkan rindu.

CINTA DALAM SEPOTONG MIMPI
Kamal

Perjalanan panjang itu telah berakhir
Aku pernah menghadirkan diri
Dalam ruang kosong mengisi sunyi
Dan bersama berlari mengejar sepi.

Di sini bukan perhentian
Dan harapan sekeping hati
telah mati digenangi ratusan janji
Tiada apa yang tinggal kini
Mengunyah duka lara seorang diri.

Rupa-rupanya, segalanya hanya sementara
Cintamu hadir dalam sepotong mimpi
Yang enak untuk kunikmati
Namun bukan untuk kumiliki.

TEDUHAN
Kamal


Kuberikan ruang di hati
untukmu berteduh
daripada bahang kepuraan insani
dan kukenali makna sayang ini

namun,
rupa-rupanya kasihku hanyalah teduhan
untuk kautinggal-tinggalkan
setelah reda segala bimbang
dan langkahmu semakin panjang.

SAAT RINDUMU PERGI
Kamal


Di sebalik selendang biru
Hadiah buatmu itu
Engkau menyembunyikan segala pilu
Dan aku berdiri penuh keliru
Inikah sebenarnya yang kau mahu.

Kataku kepadamu di akhir pertemuan itu:
“Telah kuserahkan sekeping hati
untuk kauhargai tanpa sangsi
Andai rindumu telah lama mati
untuk apa lagi aku berada di sini.”

Saat rindumu pergi, aku mengerti
kau tidak akan kembali ke sisi.

(kr) RINDU YANG KAUKIRIM
Kamal

Rindu yang kaukirim
Menyelinap dalam diam
Tidak upaya aku menahannya.

Hanya padaMu
Kalimah cinta itu bergetaran
Memberi nafas dalam jiwa.

Kekasih
Dikaulah mimpi-mimpi sedih
yang kutinggalkan.

SEKUDUP MAWAR INGATAN
Kamal


Kitalah sepasang angan itu
yang telah mengepakkan sayap
bertebaran di serata alam
hingga kadang kita terlupa
kudup-kudup mimpi disirami janji
yang pernah kita tinggalkan
di taman permainan.

Seindah puisi cinta yang kulagukan
engkau tetap kuingati kekasih,
seharum mawar terselit di sanggulmu
aku mengenangmu saban waktu.

Sekudup mawar ingatan ini
kuutuskan buatmu di sana
agar nanti kau tetap mengenangku
moga harum baunya tetap seperti dulu
mewangi hingga ke hujung hidup.

(kn) IZINKAN AKU MERINDU
Kamal

Pergilah segala rindu
yang tersekat dalam kalbu
biar kukeringkan air mata
yang melimpah dalam jiwa

Terima kasih perempuan,
kerana menghadiahkan aku sengsara
Terima kasih, kerana memberiku derita.

Walau sedingin mana hatimu
Izinkan aku merindu
Kerana Desember ini
segalanya tidak lagi seperti dulu!

(kn) AKULAH RINDU YANG KAUMAHU
Kamal


Tinggallah segalanya
Sebuah rindu yang tertunda
Sebuah sayang yang menerpa.

Saat itu, detik terindah kita
Wangi baumu di pangkuanku
Sebuah ikatan maha suci
Dalam lafaz penuh erti.

Akulah, segala rindu yang
kau mahu!

SELAMAT TINGGAL
Kamal


Aku sentiasa mengenangmu
dalam doa dan sujudku
walau kau hanya mengenangku
umpama debu-debu yang singgah
di sepatumu.

Mata hati jiwa,
Lihatlah dia yang pergi
Usah diingatkan lagi
Jejak-jejakmu yang membekas
di hati.

TELAH KUBERIKAN SEGALANYA
Kamal


Telah kuberikan segalanya
Yang termampu kulakukan
Namun masih, dalam diam
Kaulontarkan sesalan
Memujukku untuk melepaskan.

Mungkinkah aku bukan yang terbaik
Untuk kauberikan sayang
Setelah dia datang
Menatang kembali cinta yang hilang.

Dirimu, kusayangi sepenuh hati
Namun kesabaranku kian merekah
Membilurkan luka, kembali membarah.

LAKONANMU TELAH BERAKHIR
Kamal


Airmata menitis membasahi kesabaran
yang semakin kontang kaurejami
seribu lakonan dan khayalan
sebuah ceritera kasih yang panjang.

Lakonanmu telah berakhir
Aku tidak mampu menyaksikan
Ini pembohongan, cintaku kau
Persendakan.

Saat membilur lukaku
Aku kembali menjadi diriku
Melihat kau berlalu meninggalkanku.

AKU ADALAH MASA LALUMU
Kamal

Aku tak upaya menyayangimu
kerana kau bukan lagi milikku.

Segunung rindu yang tersergam di depanku
adalah racun, bukan lagi madu.

Berikan sayang itu kepadanya, kekasihmu.
Usah kaukenang lagi aku.

Aku adalah masa lalumu
yang tercampak dari rasa bersalah itu.

Kekesalan melepaskanmu
bukan lagi palsu.

Andai Tuhan memberiku waktu
ingin sekali aku terus bersamamu

Kekasih
namamu sering tersekat di halkumku.

PINTU SEPI KUBUKA KEMBALI
Kamal


Luka-luka di hati telah lama kering
Walau seringkali mimpi-mimpiku
direjam pekikkan dari lorong sesal,
aku tidak pernah menyesali
kehadiranmu dulu.

Kini pintu sepi itu kubuka kembali
Aneh, kutemui pelbagai watak
yang dengan rela menggegar rasa
simpati dan kasihan bertaburan
di sepanjang pencarian.

Lalu kutemuimu kekasih
bersembunyi di sebalik jilbab ungu
tertunduk malu ketika matamu menikam
keresahanku yang tiba-tiba muncul,
setelah kehilangan.

MENJARING MATA HATI
Kamal


Lihatlah kekasih
aku hadir di depanmu
merawat tusukan karang yang
membisa di kalbumu.

Itulah aku kekasih
menghantar rindu di setiap
pelabuhan resahmu
ketika sang camar lelah menyisipkan
benci di setiap sayap waktu
buatku.

Itulah engkau kekasihku
yang dengan setia kujaring resahnya
dengan tabah kutadahkan doa
agar mimpi-mimpi kita menjadi seindah
karangan di lautan
bukan lagi luka yang membinasakan.

MENGERTILAH KEKASIHKU
Kamal


Andai aku terlelap di sini
Kejutkanlah aku dari mimpi-mimpi
yang menyelimuti diri
Sekeping hati seorang lelaki.

Lupakanlah aku sementara waktu
Moga esok kita akan bertemu
Dengan iltizam dan keyakinan baru
Dan rasa itu masih begitu.

Lupakanlah aku sementara waktu
Kerana diri tak upaya bersama selalu
Seribu godaan menggebu di setiap penjuru
Menuntut kewarasanku mengasihimu.

Lalu, lupakanlah aku buat sementara waktu
Untuk kupersiapkan mahligai ragaku
Dengan keimanan dan ilmu yang padu
Agar segalanya tidak dipersia begitu
dan cinta ini mampu menyatu.

SEINDAH AURORA BOREALIS
Kamal


(i)
Yang aku ingati adalah dikau
saat jaluran cahaya itu
menari-nari di dada langit,
menyinari dingin malam Alaska.

Malam di pergunungan sepi ini
tidak mampu membekukan hatiku
daripada terus merasakan wujudmu
di mana-mana dalam diriku.

(ii)
Bukan jaluran cahaya utara itu
yang kunanti penuh debar di sini.

Andai kautahu saat ini
segunung sepi membeku di jiwaku.

Sehari lagi tanpa cintamu
tak terdaya aku melangkah sendiri
merenung jaluran itu membenamkan
rinduku di hati.

(iii)
Dalam dingin beku itu
Cahaya hijau terliuk-liuk
Memancarkan sinar pada lanskap malam
Di tengah pancaran cahaya
serba ungu kemerahan
Tersedar aku tentang sesuatu
Hanya bersamamulah yang aku mahu.

(kr) RINDUKU TIADA LAGI
Kamal

(i)
Tanpa bicara aku memaklumi
Yang kurindu tiada lagi
Untuk kusayangi.

Tanpa bicara aku mengerti
Sebuah cinta telah lama mati.

(ii)
Perasaan,
menjadi sedingin malam diperbukitan
Kelam di segenap ruang
Gema suara melantun dalam diri
Kemesraan pudar,
mereput di dedaunan kering.

Cinta ini,
Terlalu sukar untukku pertahankan.

PERGILAH KAU, KENANGAN
Kamal


Kupilih suatu pagi
Berjalan dalam sunyi
Lalu aku ingin sekali menari-nari
Di sebuah lorong sepi
Dalam hati tak henti
Membilang hari

Pergilah kau, kenangan
jangan hampiri sunyi ini.

KAU DATANG BAGAI PELANGI
Kamal


Jalur warnamu yang indah
muncul tiba-tiba
selepas hujan menyimbahi hati.

Sesaat itu juga kau menghilang
belum sempat kuucapkan salam
walau hatiku telah kautawan.

TIDAK INGIN BERPALING
Kamal


Akulah,
sebutir cinta yang tercicir
daripada saku hatimu
dan kini, ingin kaukutip kembali
menjadi cahaya menemani hati.

Akulah,
sebutir cinta yang tercicir itu
tidak ingin ku berpaling lagi
kerana hati telah terisi
oleh cinta suci seorang isteri.

MAAFKAN AKU KEKASIH
Kama
l

Aku bangkit lagi
menggenggam sisa cinta
dalam diam kupendamkan
segala rasa.

Kekasih,
Masih kuingat saat kau berlalu
Kauhamburkan kata-kata itu
Bagai sejuta kaca menghiris hatiku
Daripadamu yang punya segalanya itu.

Namun,
Maafkan aku kekasih,
Jika nanti dendam itu pecah
melukai hatimu sendiri.

DI MANAKAH KAU, RINDU
Kamal


Sepantas itu kau berpaling
Saat mata bertentang
Melontar sesalan
Di wajah silam
Yang kelam.

Masa lalu
Terbias duka lara dan
kenangan merobek rasa

Di manakah kau, rindu
Yang hadir penuh restu, dulu.

KAU PASTI KUTEMUI
Kamal


Kepedihan hati ini pasti berlalu
dan waktu memberiku
segala kemaafan
untuk terus berdiri dan berlari
mengutip kembali keyakinan diri.

Perlukah aku menyatakan kepadamu
sepedih mana hatiku dahulu
aku tidak pernah melupakanmu
walau dalam lelahku,
hanya padamulah yang kurindu.

Di daerah ini
kau pasti kutemui lagi
untuk kumiliki sekeping hati
yang pernah menyayangi.

WAJAH YANG TAK MAMPU KULUPA
Kamal


Aku melihatmu
dari pintu kaca yang berdebu
saat kau berlalu, menjinjing sendu
di suatu waktu itu.

Segalanya seakan mengelirukan
Aku berdiri menghadap matahari
yang rakus membakar sesal
dan kilaunya menggilap
kelam perasaan.

Pasti kaunanti titis gerimis
membilas duka lara di sebalik manis rupa
pada wajah yang tak mampu kulupa.

KAULAH SURI YANG KUNANTI
Kamal


Warkah yang kuterima
Kubaca berulang kali
Mencari titik makna sebuah kata
Jawapan yang dinanti.

Selembut angin memujuk hati
Aku harus membalas warkahmu kekasih,
lalu kata-kata ini kutulis buatmu:
“Wanita ibarat matahari
yang tidak pernah terbenam.
Ia cantik bagaikan permata.
Jadilah wanita yang cantik dan budiman
disebut dikenang suami dan taulan.”

Mengertilah kekasih,
Kaulah suri yang kunanti
dan bersamalah kita menggapai rahmat Ilahi.

PAKUKAN HATIMU DI DINDING TAQWA
Kamal


Di sini,
Kudirikan mahligai indah
Bersamamu penuh tabah
Mengharungi panas dan
dingin kehidupan
merentasi segala godaan.

Kumohon padamu kekasih
Hiasilah hati sepimu dengan zikir
Meredakan kegelisahan di malam kelam.
Saat langkahmu kian goyang.

Aku di sisimu kekasih
Memimpin tanganmu
Di saat kita tersesat di rimba hidup
Kembalikan sekuntum senyumanmu
Penuh ikhlas, meniti takdir hidup
Bersamaku.

Pakukan hatimu kekasih
di dinding taqwa
pada rumah barumu
bernama perkahwinan.

HARI YANG INDAH UNTUK BERSENDIRIAN
Kamal


Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awam
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.

Seindah ini warna alam
telah kaulepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.

Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.

Hari ini amat indah untuk bersendirian
Kaubukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kauhilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.

Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Puisi
(23) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Arahan bagi Tim Projek Antologi Puisi Cinta Islami Previous entry: Lagi Catatan Perbualan dengan Datuk Yusof Haslam
Web Sutera  on  03/18  at  08:25 PM

Teruskan…
——-

alang kelana  on  03/18  at  10:00 PM

Assalamu’alaikum Puan Sifu,

Tahniah Sdr Kamal,..teruskan….

Mya Marja  on  03/19  at  04:26 AM

Tahniah Sahabatku Kamal!
Kunantikan puisi saujana sawah padi menguning, sesekali dihembus semilir bayu laut… di Tanjung Karang.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/19  at  08:05 AM

Assalammualaikum w.b.t,

Terima kasih sahabat, aku baru bertatih mencari makna sebuah kehidupan dalam bait-bait puisi.

Pastinya ucapan terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada Ibu Ainon yang telah membawa saya ke dunia puisi, dan begitu teliti mengedit puisi saya yang tidak sepertinya itu.

“Tunjukkan lagi aku ...”

Kamal

Nota Sifu: Gaya bahasa saudara lembut, halus, mulus…. gaya bahasa yang disukai oleh jiwa-jiwa gadis remaja yang sedang di ambang hidup berkasih sayang. Selepas ini tulis puisi-puisi yang subjeknya adalah ‘benda’ konkrit.

Fable Fox  on  03/19  at  01:38 PM

Sedikit sebanyak iri juga, hamba ini cuma mahir mengajar IT :-(

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/19  at  02:22 PM

PAKULAH HATIMU DI DINDING TAQWA

Di sini,
Kudirikan mahligai indah
Bersamamu penuh tabah
Mengharungi panas dan
dingin kehidupan
merentasi segala godaan.

Ku mohon padamu kekasih
Hiasilah hati sepimu dengan zikir
Meredakan kegelisahan di malam kelam.
Saat langkahmu kian goyang.

Aku di sisimu kekasih
Memimpin tanganmu
Di saat kita tersesat di rimba hidup
Kembalikan sekuntum senyumanmu
Penuh ikhlas, meniti takdir hidup
Bersamaku.

Pakulah hatimu kekasih
di dinding taqwa
pada rumah barumu
bernama perkahwinan.

Kamal
19.03.07

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/19  at  05:36 PM

MUTIARA KASIH TERINDAH

Kupilihmu kekasih,
dari ribuan tiram
sedikit berkilau dari yang lain.

Seringkali hatiku terluka
tertusuk karang,
saat kubuka cengkerang
yang tertanam di lumpur hitam.

Kubiarkan sahaja ombak membilas kesakitan
Penuh daya kuanyamkan harapan
Moga terjalinlah ikatan tulus suci
di rantai indah perkahwinan ini.

Dikaulah,
Mutiara kasih terindah
yang kunanti penuh erti
di sanggul setia seorang isteri.

Kamal
19.03.07

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/21  at  11:05 AM

Salam..

Teruskan perjuanganmu, Mal.

Yang paling kusukai “Kau Datang Bagai Pelangi”...

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/21  at  11:26 AM

KERONSANG DAN SEBUAH CATATAN

Perempuan itu telah meninggalkan
Kerongsang dan sebuah catatan
Di pangkin kenangan seorang lelaki.

“Aku tidak mampu lagi menanti dan kerongsang
ini begitu melukakan andai terus kusematkan
di dada harapan.”

Dan lelaki itu tersentak,
Membayangkan sebuah kebahagiaan
pecah digenggaman
Darah merah mengalir membasahi sesalan
Lantaran membiarkan bibir terus membisu
Enggan menyatakan kebenaran itu.

Kamal
21.03.07
Cyberjaya

Nzshima  on  03/21  at  07:18 PM

Saudara Kamal,

Saya amat menyukai KERONGSANG DAN SEBUAH CATATAN, paling saya sukai ayat-ayat berikut:

“Di pangkin kenangan”
“kerongsang ini begitu melukakan andai terus kusematkan di dada harapan”.

Begitu juga dengan MUTIARA KASIH TERINDAH,

“ombak membilas kesakitan”

Tahniah, teruskan!

P/S:Perlu jarakkan ‘di genggaman’ kerana ia bukan katakerja, betul tak Sifu?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/22  at  08:13 AM

Terima kasih Rohaniza,

“Kau datang bagai pelangi” antara sajak yang saya sukai secara peribadi. Ianya juga merupakan sajak yang tercipta secara spontan ketika saya sedang bermesyuarat ISO.

Sdr Nzshima,

“Kerongsang dan sebuah catatan” merupakan tindakan seorang lelaki menyembunyikan perasaan sebenarnya terhadap seorang wanita sehinggakan wanita itu terluka dan meninggalkannya.

Pada mulanya saya ingin meletakkan perkataan “Malu menyatakan kebenaran itu - kepada ‘enggan ...” supaya perkara yang menjadi kerunsingan wanita itu lebih global (mungkin sebab kecurangan, ketidakjujuran, masalah-masalah lain yang ada difikiran mereka berdua etc.).

Terima kasih di atas komen yang diberikan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/25  at  01:19 PM

HARI YANG INDAH (UNTUK BERSENDIRIAN)

Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awam
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.

Seindah ini warna alam
telah kau lepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.

Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.

Hari ini amat indah untuk bersendirian
Kau bukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kau hilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.

Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.

Kamal
25.03.07

ps : Buat adik perempuanku (Julie & Yana)

Mohd Fadzil Yusof  on  03/31  at  11:24 AM

33

Sajak dari sebuah bilik sederhana.
Tanpa secawan teh o panas bahasa akan menjadi beku
Menggeras dalam bibir dan tiada kehangatan ilham
yang bisa mencerminkan resah…
Tanpa kebisingan dari jalanraya dan suara jiran
ceria jadi kecil dalam bilik sederhana ini
Kini kau tahu dunia telah berbicara
Dengan nada memujukrayu seperti hujan turun merintik waktu senja
berbisik dan merintih ......
Dan manusia dunia di luar sana bercakap dengan marah dan nada berontak
Lalu manusia sini seolah kehilangan punca berita.
Atas meja yang menyediakan kerja yang lama tertangguh
Persediaan diri yang kehilangan peta hidup yang dicari-cari
Dengan watak yang berbeza di tiap keadaan
seperti dibayangi pelakon sedang berpura-pura menghayati drama
Dalam drama yang plotnya kalut
Arahnya selalu berubah mengikut angin luput.

meja ini mengambil keputusan meninggalkan sedikit
cebis kerisauan yang geloranya makin mengganas
yang membakar huruf-huruf akbar
yang disunting jutaan editor yang mengabaikannya
mudah-mudah…. sebelum
segalanya menjadi murah di atas tanah maruah manusia
sambil berkira-kira dan berangan-angan.

Mohd Fadzil Yusof

34

Menitip Doa Tulus

Kami hanya menatap sedih
dari atap kehidupan kecil
kerana tiada kertas dan pena
untuk menulis
hanya atas muka pepasir
mencoret ungkapan dari pengalaman sukar ini
menjadi lirik yang indah dan tabah
sudah lama mencari kunci
supaya lepas dari belenggu kemiskinan
walau sabar cekal mandiri
disemat unggul dalam sanubari.

tiada lagi keputusan yang terbaik
selain mencipta madah ini
terus mengungkap mimpi hari-hari
buat generasi ini dan yang datang nanti
di halaman penuh lalang atau pasir kering
menitip doa tulus
merindukan kedamaian yang abstrak
menrindui malam yang tenang.

Mohd Fadzil Yusof

Mohd Fadzil Yusof  on  03/31  at  11:36 AM

35

seperti hari ini dan hari esok

seperti hari ini dan hari esok
disekat jadual kosong
pada kulit buku dan isi dalam
ku terganggu siapa yang menunggu
dalam bayang malam
berkunjung serba menghairahkan

cinta bertolak dari pengalaman pertama
memandang, mendengar dan merasa
menggenggan, bermimpi dan menginginkan
sesuatu yang wujud

tiap malam bertambah rindu yang nyata
dalam catatan hari malah buku yang dibacanya
mendamba seribu pertemuan
dalam satu kemungkinan

supaya segala sakit diubati
kerana dialah penawar
sanubari mengganggap segalanya
cinta, rindu dan asyik

dia kembali dalam siang
mencari kerjanya, kertas yang berselerak
menulis laporan, rancangan dan pelan tindakan

tapi resah di malam hari
dia bermimpi sebuah pertemuan
menangis dan meratap dalam maya.

‘berikanku kesudahan yang baik..
yang bisa ku sentuh dan peluk
wahai Tuhan Yang Maha Kaya.’

Mohd Fadzil Yusof  on  03/31  at  11:40 AM

36

dinihari

tika menunggu dirimu
ku muhasabah diri
tangan membiarkan
kehilangan citra cinta

menitis khayal di pintu dinihari
tetesan embun lembut, menghimpun
desah dingin angin

terbeban arah lawan graviti
menusuk rumput dan tanah
bergelut ke liang dan urat yang dalam

angin menolak ke kesepian
embun mengumpul kedukaan
subur pula masa syahdu lalu, dan rindu…

hanya suara luput malam ini
terkadang mengelisahkan
bayang-bayang tiada
begitulah dinihari mengambil pentas cerita.

Mohd Fadzil Yusof  on  04/02  at  07:51 PM

Burung dukaku

Duduk sendiri
Hadapan cermin hias
Mengupas wajah dan kulit lesu
Dirundung tangis duka
Melerai memori
Mengering kata-kata pujukan
Seakan mendustakannya,
tidak mungkin akan berlaku
Dalam hari yang sama.

Lihat mukaku dan tubuh harapan
Yang mengecewakan
Di antara kekasih yang menerima
Takdir gagal
Burung di luar tingkap kamar
Utusan puisi awan yang kelam
Angin memujuk deru rintik hujan
Hiburkan jiwa yang lara
Lewat kicauan
Dan melodi rindu luka

Taburan waktu yang berlalu
Singgah satu persatu ingatan
Bagai lerai daun-daun kuning
Menyatu kepada bumi dingin.

Burung menyanyi: 
‘Kehilangan seorang kekasih
Bukan untuk kali ini
Dan segalanya belum
Berakhir’.

Belum terlambat memulihkan
Tunas kasih yang patah
Akan bisa tumbuh kembali
Sediakala mengikut gerak hari.

Di depan cermin pengakuan
Mengakulah diri ini
Punyai harga emas cinta
Yang mesti dipelihara
Hingga tiba saat
Melepaskannya kepada yang ingin benar menyintai
Kering air mata
Burung telah pergi membebaskan nafas duka
Renung wajah yang sedang sepi
Membungkam dan mengumam kalimah
Masih merah dengan sedar diri
Diri tidak berpunya, cinta
Dia mahu senyum
Di hadapan cermin hias sekali lagi
Seperti tiap pagi yang cerah mataharinya.

‘terbanglah burung
Diri ini mahu sendiri
Rindu padamu akan luput dibawa burung dukaku
Kini aku percaya pada
Cinta yang sebenarnya
Cinta yang esa
Kasih yang satu
Mengembalikan ceria dan yakin diri.’ 

 

Tiap

Tiap hari kumungkiri janji
Diuli dari malam semalam yang panjang
Menggerah mata tumpul pedang  
Mendapatkan satu kata, satu frasa dan sebuah ayat yang sesuai
Tapi berakhir dengan kecewa.

Tiap hari kumungkiri janji
Telah ditulis dalam buku catatan harian
Kumungkin lupa diriku yang bekerja
Kumungkin lupa diriku yang dulunya amat setia dan taat.

Tiap hari kumungkiri janji
Lupa cinta, rindu dan alam romantis
Dan janganlah lupakan daku dan melupakan cintaku
Pada dunia yang aman
Seperti yang diimpikan seorang anak Palestin.


Tentang kecewa

Alun puisi memadat
Tika kau sendiri di sudut sungul
Cerita yang tidak enak diucapkan
Cerita yang paling pahit didengari
Tercatat sana sini hukuman
Berupa kolam air mata .

Kekasih, kau datang ke sini sambil membelah cintanya
Mencari kesilapan dan menyiasat kemunasabahan
Apa erti cinta pada pangkal usia ini
Merimbun embun jantan kala dinihari
Di ubun rumput kesunyian.   

Dengan puisi kau kembali melihat matamu
Yang sedang mencipta ruang masa depan yang samar
Dari warna-warna pudar
Beralun lamban di udara

Dari udara tercipta keceriaan
Belon-belon awan melepaskan garis dan citra
Alif, ba, dan ta’
Seorang lelaki bernama bapa
Seorang wanita bernama ibu, lalu senyum
Bangga dengan dirimu.

Seorang anak yang taat melalui kehidupan ini
Antara sempadan masa peralihan dan perjuangan
Di sana dan di sini, kau harus menyediakan jawapannya sendirian
Setiap yang mengalir memaknakan natijah ranum
Dari pengalaman usia.

Kali ini kau menyedut dan merasai
Kemanisan dan kekelatan buah tindakan
Mewajari alam yang baharu
Mendidik diri sendiri
Agak menjadi seorang yang berani dan berdikari
Di atas nama kedewasaan.   

 

Teori perkataan cinta.

Aku masih belajar beberapa perkataan pada hari itu
c.i.n.ta
cikgu menulisnya di hadapanku
kuhafal dan kusebut selalu
lama-kelamaan ia menjadi ingatan
kukuh bagai tulisan pada batu bersurat

aku rasa, pelajaran itu belum mengcukupi
ke esokkan harinya cikgu mengajarku sepatah perkataan lain
r.i.n.d.u
tanpa menghurai makna dan contoh ayatnya
ia menjadi misteri dalam hidupku

kemudian hari yang berikutnya
ku diajar sepatah perkataan lain
k.a.s.i.h
yang terlalu sukar untuk cikgu memberikan maknanya
lalu cikgu mengatakan ia seperti
malam yang ada pada tika waktu siang.

Minggu yang baharu
Cikgu tetap mengajarkanku sesuatu yang unik
tentang cerita yang agak panjang
sampai kami jadi kebosanan
Disebutnya beberapa kali perkataan
b.e.n.c.i
dengan nada yang tinggi

kawan yang terlena tiba-tiba terjaga kerana
suara itu seakan ditujukan kepadanya
dia menjerit
k.e.c.e.w.a, disambut ketawa oleh satu kelas.

dan hari itu cikgu benar-benar bosan malas mengajar agaknya
ditulisnya di papan hitam
sebuah ungkapan yang penuh satu papan hitam
duka
duka
lara.

Di akhir kelas aku sering tertanya-tanya
Apakah makna semua perkataan itu?
Apakah penting bagiku untuk mengetahuinya.
Ku paksa diri fahami makna-maknanya lewat kamus dewan tapi belum benar nyata dalam pengertian

Lalu bila ku teringat
Kujadikan ia kata kunci dalam nota peperiksaan yang ringkas
Cinta+rindu+ kasih = dukalara.
Semacam teori baharu dalam ilmu hisab yang kupelajari. 
 

 
Bila cinta


Jika kamar itu boleh bersuara kepadamu
Nescaya akan dibisiknya tentang indahnya cinta.

Dan restoran itu bisa juga menceritakan tentang cinta pertemuan yang rutin
Masjid itu berbicara kepada kita betapa tenangnya cinta

Buku di rak itu akan membaca dirinya sendiri untuk kita mengenal kisah-kisah cinta
Yang melanda sengaja dan diduga tidak sengaja

Sofa empuk itu hanya menunggu masa untuk mengkhabarkan segalanya tentang kebetulan cinta

Muzium yang sedang dikunjungi itu pula menyimpan sejarah cinta
Tidak lokek mengundang khayal cinta baharu pada barang lama

Pada perpustakaan lenggang itu sedang kantuk dalam lesu seorang kekasih ghairah yang mencari-cari sesuatu

Rumah itu bukan hanya sebuah kediaman dan perlindungan
Tapi sebuah oknum menyulam cinta sulit dan privasinya

Tadika itu terlalu manis untuk diungkap tiap kenangannya
Mengundang ketawa, senyum dan hiba
Sekolah yang bertukar cat tapi tidak nostalgianya yang sarat
Dari bumbung ke koridornya.

Bagaimana pula dengan titi, kolam, padang permainan, kerusi dan market yang masin baunya
Tempat tunggu bas, almari, jam besar, radio, surau, sawah padi, parit dan ban, pokok pinang, pondok durian dan sebuah rumah flat sewa.

Bisakah kita bertemu dalam viarasi lokasi dan arah yang bersimpang
Tiap lorong jemu.

Siapa peduli tentang cinta, rindu dan asyik ini
Di kedai buku, klinik, kedai perabot, bas dan LRT.

Apa kata suratkhabar, DVD, parlimen, pejabat kerajaan,  laptopو  dan kalender.

Dan tidak sesuatu yang boleh dilupakan tentang apa yang berlaku kerana cinta yang marah, dendam, berahi dan derita
Ketika perang, demonstrasi, pertempuran, debat orang politik, forum intelektual, korupsi, perbicaraan mahkamah, bencana tsunami dan semua adik-beradiknya.

Sesuatu yang barangkali sunyi, berdebu, semu dan dingin bila cinta jadi angin.
Bila cinta jadi amuk badai yang mengulung mimpimu. Bila-bila cinta menjadi lagu yang sedap didengar dan bila-bila cinta menjadi lautan masin.

Oleh Mohd fadzil Yusof

Mohd Fadzil Yusof  on  04/06  at  05:56 PM

adat kedukaan

kau menyalin skrip dari drama
katamu ‘cinta itu membosankan’
kala nota riang dihilangkan dari pandangan.

kau menyalin dialog teater klasik
yang meminjam bahasa lembut berlagu
katamu ‘tenggelam deruku dalam satu peristiwa duka’

mungkin benar kedukaan adalah memanjangkan kata-kata
diperah dari lesu malam
sesungguhnya kau harus kembali
membaca tulisan yang membiarkanmu berfikir
tentang kehidupan lansung ini.

adatnya kedukaan ini satu anugerah
membina nadi kebenaran hidup seorang pencari cinta
yang hakiki
dan dia tidak tenggelam setelah melalui badai
pertama kali.


Mohd Fadzil Yusof

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  04/10  at  07:57 AM

SETELAH AKU KAU TINGGALKAN

Engkau datang saat aku
hampir lelah mencari arah
ku kira dirimu adalah
sutera kasih yang mampu
menghangatkan dingin hidupku
setelah ditinggalkannya dulu.

Namun, Tuhan maha mengetahui
segala sesuatu
Engkau juga meninggalkanku
di suatu pagi itu.

Yang kekal hanya kasih-Nya
yang kau tinggalkan
adalah makna sebuah harapan
setelah segalanya berkecai
dalam dakapan.

Setelah aku kau tinggalkan
Kau ajari aku makna berani
untuk terus tersenyum
pada segala sesuatu yang harus
aku tangiskan.

Kamal
10 April 2007
Cyberjaya - Melaka

Mohd Fadzil Yusof  on  04/16  at  06:47 PM

cinta juga satu keraguan

Cinta seperti sebuah perpustakaan agam
yang baru dikunjungi
bau buku, harum wangi dipasang, pesona busana pengarang besar
dari Timur dan Barat,
tersusun dengan penuh seni,
penuh realiti dan fantasi,
bersuara dan sunyi,
riang dan murung,
monolog dan dialog,
berdrama dan berteater
sejarah, sekarang dan akan datang.

Kau mudah terpikat kagum
melihat segala isi terpapar
tersimpan dan tertulis
pena semua yang percaya
tentang keagungan ilmu
pada daya cipta manusiawi.

di sini kau memilih makna dan puitika
yang besar dan yang kecil
mendewasakan atau yang menghairahkan
yang cemas dan tenang
kau berlari mencari makna yang dalam
dihantar melalui Cinta
mengalir tiap tubuh yang bercerita.

hari yang kau tidak kenali
siang atau malam
kau berdiri dan menari dalamnya
bercerita tentang cinta
yang dimengerti dan dilupakan.

seperti dirimu yang mengauli makna hidup
yang tajam dan terkupas
segala bestari kerinduan
di tiap rak-rak tersusun
kau mengenal benua yang tidak pernah kau kenali
kau bertanya
jawapan sering saja memuaskan
cinta kau di sini.

tetapi terkadang di sini ada persimpangan
wajar kau memilih apa yang mahu kau bicarakan
watak apa yang mahu kenali
dari buku itu
cinta mesti mengajarmu
satu daripada sejuta citranya
paling awal, mungkin
keraguannya
mulalah kau mengali maknanya
lebih dalam lagi.

Mohd Fadzil Yusof

16 April 07

intan k  on  05/20  at  03:10 PM

Tahniah saudara Kamal. Saya suka membaca sajak saudara kamal. Sajak-sajak saudara banyak memberi ilham kepada saya. Terima kasih. Saya pencinta sajak tetapi tidak pasti sama ada mampu untuk jadi sehebat saudara.  Berikut ialah sajak pendek daripada saya. Silalah berikan komen.

  MALAM INI
  Biarkan malam ini berlalu
  bersama ceria wajah sang rembulan
  tika pungguk menyapa berlagu rindu
  bertepuk riang angin sepoi bahasa
  menjadi saksi
  keindahan malam ini…

  MENCARI DIRI…
  Di gelanggang ini…
  aku bagai perantau
  dunia informasi tanpa sempadan
  mencari diri…

  Di gelanggang ini
  aku bagai seorang pelayar sepi
  hinggap dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan
  mencari diri…

  Di gelanggang ini…
  aku kan terus mencari diri.


intan k (.(JavaScript must be enabled to view this email address))
20 Mei 2007
yahoo!360-monolog

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  05/21  at  07:58 AM

Saudari Intan,
Terima kasih kerana menyukai tulisan saya. Saya masih terlalu mentah dalam dunia penulisan dan sentiasa belajar dan diajari oleh Sifu Ainon. Beliaulah yang membawa saya semula ke dunia sajak ini.

Sajak ialah pengucapan diri untuk sesuatu matlamat dalam aturan bahasa yang ketat. Saudari Intan juga berbakat. Asahlah bakat saudari dengan gigih, banyak mencipta perlambangan baru, terus menulis dan menulis.

Semoga terus menulis!

Kamal
CJ

Wan Azizi  on  04/04  at  08:38 PM

assalamualaikum sdr kamal

saya terpanggil utk menyatakan bahawa saya meminati penulisan sdr… mungkin ada sesuatu dapat saya belajar dari cetusan2 sajak-sajak sdr

jilbab muslim  on  08/14  at  01:02 AM

mantab ....

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: