Sunday, July 27, 2008

Surat Pilihan (II): Tiada Konsep Hakcipta dalam Islam

Asalamualaikum, Puan Sifu. 

Moga-moga Puan sentiasa dirahmati Allah. 

Di bawah ini saya salinkan sepucuk lagi surat emel yang saya terima dari seorang pembaca blog saya yang menulis berkenaan isu hakcipta. Moga-moga Puan Sifu dapat menjelaskan kedudukan isu hakcipta yang sebenar dalam Islam.

NR

................ 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kerana berupaya menulis dan menerbitkan artikel dalam blog saudari dengan baiknya, memaparkan pelbagai pengetahuan dan ilmu. Saya berkesempatan membacanya. Sebenarnya saya sedang membuat quick research di internet tentang sesuatu, dan terserempak dengan blog saudari. Baca punya baca, sehinggalah saya terbaca peringatan di bawah itu:

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan sesiapa menyalin semula ayat-ayat pada karya ini dengan apa cara dan untuk apa juga tujuan, melainkan dengan izin bertulis daripada pengarang.

Mohon maaf, dengan rasa rendah hati izinkan saya menegur. Saya tidak nampak ada sebab mengapa saudari perlu meletakkan syarat begitu ketat (ia ketat walaupun syarat itu begitu longgar dilihat dari mata manusia, tetapi ketat dari sudut pandangan agama, sunnah dan ilmu) untuk orang lain memanjangkan ILMU yang saudari sudah baca di mana-mana, dengar dari mana-mana dan faham, bahkan sudah mengamalkannya, syarat seumpama itu menyekat dan membantutkan perkembangan ilmu dalam umat, dan ini tidak menepati sunnah.

Maka adalah kurang wajar syarat begitu dikenakan. Sekiranya saudari meletakkan syarat berbunyi: Ambillah dan sebar luaskanlah ilmu yang ada dalam blog saya ini untuk manfaat umat secara percuma, dan janganlah berniaga dengannya kerana laba harta, atau seumpamanya, itu saya nampak lebih berhikmah dan sunnah. Guru saya pernah menggunakan ayat itu, dan saya panjangkan ayat itu kepada saudari. Kalau ada manfaatnya, gunakanlah.  Beliau mengatakan begitu kerana ilmu yang didapatinya dari memahami dan mengamalkan al-Quran, diberikan kepada seseorang, dan orang itu mengajar orang lain dengan ilmu itu dan mengenakan caj ribuan ringgit.

Saya berkata begitu juga kerana kita perlu mengikut sunnah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, saya amat takut jika saya tidak dapat solat dengan betul pada hari ini tanpa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam membawa solat itu turun dari langit pada malam Isra' Mi'raj untuk umatnya, kemudian para sahabat, taabi' dan taabi'iin seterusnya ulama dan ustaz ustazah membawa ilmu itu kepada kita sampai hari ini, maka saya dapat solat dengan betul insya Allah.

Saya tidak terjumpa di mana-mana Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkata dapatkan daripadanya izin bertulis untuk menyebarkannya, melainkan kata Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."

Nasihat guru saya kepada saya, dan saya terjemahkan dalam konteks ini, usahlah digusarkan tentang pengiktirafan sekiranya izin bertulis itu untuk memperoleh pengiktirafan, cukuplah Allah Subnahu Wa  Taala sebagai sebaik2 Pengiktiraf. Usahlah digusarkan kekhilafan yang akan dikaitkan dengan blog saudari sekiranya ada yang mendakwa  begitu begini terhadap saudari akibat maklumat di weblog saudari. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik penilai. Jika Allah sayangkan kita, tidak akan diizinkanNya kita diapa-apa, pesan guru saya.

Jika izin bertulis itu untuk membolehkan orang yang meminta izin bertulis 'mengangkat darjat' saudari, cukuplah Allah Taala sahaja sebagai Pengangkat darjat. Rujuk semula kisah teladan 4, surah al-Mujadilah tersebut.

Renungkanlah, jika sekiranya semua ilmu yang terdapat di weblog saudari ini (tentunya ia sampai dari seseorang kepada saudari sama ada melalui buku, atau cerita) dan setiap mereka memerlukan keizinan bertulis dari saudari untuk saudari 'menerbitkan' pelbagai maklumat ini semual ke dalam blog, maka sudah tentulah tidak banyak ilmu yang ada pada saudari untuk saudari tuliskan di sini.

Kita sendiri masing-masing bukan lahir dan terus berilmu, kita belajar dan mengutip ilmu dari mereka yang pernah bersama kita, sama ibu bapa, guru, sahabat handai dan seterusnya, bahkan kadang2 haiwan pun mengajar kita ilmu tanpa kita sedari. Hanya golongan ulul albab yang mengambil iktibar dari dunia sekelilingnya.

Maka atas sebab itu, jika kita belajar dari haiwan itu, alangkah malang nasib kita untuk menggunakan ilmu yang ditunjukkan haiwan itu jika haiwan itu mahukan kita membuat permohonan izin bertulis atau seumpamanya. Kisah haiwan yang mengajar ilmu antara lain dalam kisah pembunuhan Habil oleh Qabil, bagaimana burung 'mengajar' Qabil bagaimana mengkebumikan Habil yang telah mati.

Semoga iilmu yang dipaparkan akan membuka dna menerangi hati pembacanya, dan seterusnya mereka menyampaikan ilmu itu dengan amanah dan tanggungjawab. Allah sahajalah pemelihara ilmu itu kerana Dialah sebaik-baik Pemelihara.

Maka atas sebab itu saya menegur. Teguran ini juga saya kemukakan kepada diri sendiri.

Maka dengan itu saya memohon maaf kerana terbaca weblog saudari dan mohon halalkan apa yang saya baca itu. Mengambil kira kisah dalam blog saudari tentang wanita dan Imam Ahmad bin Hanbal {Hanbal = ha nun ba lam (bukan Hambal = ha mim ba lam) - sebutan Hambal kerana nun mati bertemu dengan ba, maka diiqlabkan (digantikan) bunyi nun kepada mim, menggunakan sebutan yang diajar dalam tajwid. Sebutan tidak membenarkan ejaan diubah} maka wanita itu bertanyakan halal atau tidak hasil jahitannya yang dijahit menggunakan cahaya lampu kabilah peniaga yang singgah berhampiran rumahnya. Begitu juga yang saya terbaca tanpa mendapat keizinan.

Saya panjangkan kata-kata Imam Syafi'i untuk renungan bersama: Aku amat mengharapkan orang ramai dapat mengambil manfaat dari ilmuku tanpa mengaitkan ianya kepadaku – Muhammad bin Idris al-Syafi'i (Imam Syafi'i).

Belajarlah kerana tidak ada seorang pun yang dilahirkan dalam keadaan berilmu, dan tidaklah orang yang berilmu seperti orang yang bodoh. Sesungguhnya suatu kaum yang besar tetapi tidak memiliki ilmu maka sebenarnya kaum itu adalah kecil apabila terluput darinya keagungan (ilmu). Dan sesungguhnya kaum yang kecil jika memiliki ilmu maka pada hakikatnya mereka adalah kaum yang besar apabila perkumpulan mereka selalu dengan ilmu – Muhammad bin Idris al-Syafi'i (Imam Syafi'i).

Jika pertemuan saya dengan weblog saudari, dan menghasilkan email ini, maka ia dapat memanfaatkan saudari, maka gunakanlah dan sebarkanlah. Jika tidak, maka hindarilah darinya. Wallahu a'lam. Wassalam.

Dari,

Hamba Allah yang hina.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(9) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Dari Tuan Zaharin Zain: Laporan Terbaru Trend Jualan Buku-buku PTS Previous entry: Surat Pilihan: Menulis untuk Jurnal
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/28  at  02:38 AM

Kebiasaan yang difahami adalah setelah membaca dan memahami sesuatu ilmu dari mana-mana medan ilmu (buku/akhbar/radas eletronik-televisyen dan radio/ dan seumpamanya)apabila ditemui kemanafataan dan upaya diamalkan maka menjadi kebiasaan menghadiahkan al-fatihah kepada penulis atau pengkarya itu sekurang-kurannya sebulan sekali dengan doa agar mereka yang masih hidup dianugerahkan kesihatan yang baik ditambahkan ilmu dan kekayaan yang dapat dikongsikan dengan mereka yang berhak dan andainya penulis telah meninggal dunia, didoakan agar rohnya mendapat tempat yang baik di sisi Allah.

Isu yang wajar dimajukan adalah bagaimanakah tindakan kita andai penulis yang pengkaryaan mereka memberi manafaat tetapi bukan muslim,roh mereka tidak upaya dihadiahkan dengan fatihah melainkan memberikan sangka baik agar mereka menemui kebaikan di dalam kehidupan.
Ini adalah pandangan saya menerusi wasiat iman dari Al-Quran dan Hadis dan ajaran ulamak yang termasuk di dalamnya nasihat Ustaz dan Ustazah di dalam majlis ilmu mereka yang pernah diikuti.

Wajar juga diakui kita menghadapi kebimbangan seandainya tanpa pertanyaan atau izin penulis wujud hasrat dan niat untuk dilakukan fitnah terhadap maksud baik penulis lantaran media alam maya misalnya, kebebasan tidak sempurna untuk memelihara kesahihan asal penulis kerana bukan semua ingin dikenali diri sebenar mereka.
Mengambil kesempatan untuk memburukkan individu yang muslim tidak menjadi isu tetapi memburukkan Islam sebagai agama yang adil dan benar menuntut rasa kebertanggungjawaban meski pun dari kalangan muslim sendiri.

Sekadar berkongsi pandangan.

Sudah Nampak  on  07/28  at  05:36 AM

Nampaknya ada agenda tertentu untuk memperalatkan Islam supaya cetak rompak dapat dan ciplak daapt berleluasa.
Taktik ini mirip taktik Yahudi untuk memusnahkan bangsa manusia.

Mula-mula cetak rompak dibenarkan. Kemudian, ramai golongan cerdik pandai pun enggan menulis. Ramai pengkarya pun enggan menulis. Karya-karya dan kitab-kitab makin kurang.

Kemudian sampai zaman jatuh. Manusia pun jadi jahil. Ini agenda awal ini. Agenda untuk melihat kemerosotan dalam kemajuan manusia menerusi pemansuhan hakcipta.

Amiene Rev  on  07/28  at  05:57 AM

Beginilah agaknya konsep hakcipta dalam penerangan di atas:

Kita semua ambil logik sebegini. Kita melihat satu objek, katakan buah epal.

Imej dan bayangan buah epal itu sudah ada di dalam kepala kita tetapi kita tidak mengambil buah epal itu.

Sekiranya kita mengambil buah epal itu, kita sudah mencuri, tetapi sekiranya kita melihatnya sahaja, itu belum dikira mencuri.

Begitu juga dengan penghasilan karya. Ia mengambil masa, tenaga dan idea untuk dihasilkan.

Karya dan ilmu memiliki persamaan. Tetapi karya bersifat intelektual, manakala ilmu bersifat global, milik semua.

Ilmu itu sudah sedia ada, tetapi karya itu sesuatu yang dijahit, sesuatu yang ditenun. Kita membuat baju atau kain dan menjualnya. Kita membuat kerusi, meja daripada kayu dan membinanya.

Kita juga boleh menyewa baju itu. Kita juga boleh menyewa kerusi meja itu. Atau kita boleh menjualnya sahaja tetapi kalau kita menjualnya, kita tidak akan dapat mengutip sewa lagi.

Dalam erti kata lain, ilmu pengetahuan itu percuma, boleh digunakan tetapi tidak boleh dicuri atau diciplak.

Maafkan saya sekiranya penerangan saya ini ada salah dan silapnya, saya berharap agar Puan Nisah Haron akan turun padang memberi penjelasan lanjutan.

Lebai Digital  on  07/28  at  09:01 AM

Lebai dan ustaz ini masih berada di alam mana? Apakah sama ilmu syariat dengan ilmu ilmu dunia? Ustaz dan lebai yang berceramah di mesjid/surau pun diberikan upah/honorarium dan sebagainya. Apa tidak jumpakah perkataan upah di dalam Islam? Apakah Islam itu tidak syumul sehingga tiada nampak akan dia konsep keadilan?

Saya perah menulis bab ini di dalam blog saya, entah tersembunyi di dalam himpunan arkib. Bab copyrights ini bukan seketul bab yang tiada pecahan. Sedangkan di dalam Islam ada pecahan dan rukun rukun tertentu.

Akal para ustaz yang simplistik beginilah yang merosakkan syiar kesyumulan Islam. Wallahua’lam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/28  at  12:10 PM

Wow… sesi ‘ustaz bashing’?
Menarik!!

Pada saya kita tidak perlu terlalu emosi dalam membincang isu ini. Pada saya silapnya pada kita yang kadang-kadang letak pendapat seorang ustaz bagaikan mewakili pendapat semua ustaz. Seekor kerbau bawa lumpur sekandang tercalit. Tapi saya rasa tak adil kita hukum sekandang kerbau. Malah kadang2 kerbau yang bawa lumpur pun tidak sedar lumpur yang dia bawa.

Regardless… pengiktirafan langit memang diberi buat mereka yang mempertahankan dan mendokong ilmu agama. Jangan didengar hasutan syaitan yang mengadu domba suruh kita mengeji tersilap cakap satu dua ustaz.

Dalam masalah kejuruteraan saya guna nasihat encik enjiniur. Namun pendapat ketua kampung tetap saya hormati tapi saya tapis tidak guna semua. Tapi saya takkan kata atau umpamakan ketua kampung bodoh atau katak bawah tempurung. ‘Just take it with a pinch of salt.’

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/28  at  01:50 PM

Subhanallah…

Aha ha ha…kadang kala ana terasa lucu dengan aneka kekeliruan manusia hari ini.

Akira  on  07/28  at  02:52 PM

Ustaz? Hanya kerana penulis komen menyertakan sedikit hadis dan ayat sudah kamu semua anggap dia sebagai ustaz? Bangkitlah kawan, seorang ustaz, ataupun kita kira di sini sebagai penyampai ilmu agama takkan ambil kira sangat soal-soal remeh seperti yang ditaip oleh ‘ustaz’ itu. Cuba baca dan fahami benar, seolah-olah dia cuba mematahkan semangat NR untuk menyampaikan ilmu dengan dalil-dalil dangkalnya itu.

Memang orang seperti ini suka pergi ke blog-blog tema keagamaan dan menyerang orang itu dengan harapan perhatian diberikan padanya. Saya berani jamin, lepas ini NR akan menerima email yang lebih panjaaaang lagi dan penuh dengan dalil-dalil yang diambil separuh supaya memenangkan ‘point’nya.

Akhir kata, sudahlah ‘ustaz wannabe’. Jangan setakat usrah YM dan masuk forum sudah mendabik dada sebagai orang berilmu dan menyoal keilmuan orang lain. Sambung pelajaran kamu dan jangan bazirkan duit JPA kerajaan. Belajar di Jepun bukannya murah ya?

Saya yang biasa-biasa.

p/s: nama samaran ‘Hamba Allah yang hina’ cuma meminta simpati kepada pembaca, setelah mendabik dada dengan ilmu-ilmu singkat yang ditulisnya. Ala psiko macam ‘Joker’ lah lebih kurangnya…

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/28  at  08:55 PM

salam

Ingin mencelah,

Sebenarnya dalam Islam hak cipta intelek tidak dibincangkan dalam kitab2 lama kerana pada waktu itu belum timbul isu tersebut. tapi dalam fiqh kontemperori, ulamak mutakhir membahaskan isu ini dengan panjang lebar, dari upah mengajar al-Quran yang dahulunya diharamkan, sehinggalah hak intelek atau disebut dalam bahasa Arab sebagai Hak al-Ibtikar.

Untuk maklumat lanjut tentang isu ini sila dapatkan buku-buku fiqh moden dan cari bab hak ibtikar ini..

wallahuallam
http://www.al-zuhaily.blogspot.com

Nisah Haron  on  07/28  at  10:28 PM

Salam buat semua,

Nampaknya, komen ini datang daripada dua pihak yang berbeza pemahaman tentang konsep hak cipta. Ungkapan “sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat” itu tidak bermakna, kita boleh sewenang-wenangnya mengambil bentuk dan ekspresi penyampaian orang yang pertama lalu diberikan kepada orang yang berikutnya.

Inilah yang membezakan antara ekspresi idea dan idea. Hak cipta hanya memelihara ekspresi idea dan bukannya idea itu sendiri.

Saya bimbang jika orang yang mengaku mempunyai latar belakang agama membuat kenyataan-kenyataan kabur dan bercakap di luar konteks akan tambah mengelirukan orang ramai. (Seperti yang pernah berlaku ketika seorang ‘mufti dari utara’ yang berkata ‘tidak baik mengintip orang sedang berada dalam rumah, walaupun mereka bukan muhrim’.)

Untuk maklumat lanjut tentang maksud ekspresi idea yang dilindungi hak cipta dan juga konsep idea tidak dilindungi hak cipta, sila dapatkan buku saya “Karya Kita Hak Kita” terbitan Al-Ameen Serve Holdings dari http://www.ujanailmu.com.my/pd-karya-kita-hak-kita.cfm

Terima kasih.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.