Wednesday, December 21, 2005

Selepas Kontrak Nama, Kontrak Apa?

Apabila nama komersial pengarang novel-novel cinta dianggap amat berharga dan penting bagi bisnes penerbit, isu yang sebenar di sebalik langkah itu adalah masalah pengurusan bakat penulis dalam menghadapi persaingan daripada kemunculan pemain-pemain baru dalam industri novel cinta.


Langkah mana-mana penerbit menyekat para penulisnya daripada menggunakan nama komersial yang sama apabila menerbitkan karyanya dengan penerbit lain dapat dilihat sebagai usaha menghalang penulis daripada meninggalkan penerbit itu dan lari ke penerbit lain.


Klausa sekatan ke atas nama komersial tidak dapat menyekat penulis daripada menggunakan nama komersial yang sama apabila menerbitkan karya barunya dengan mana-mana penerbit lain. Hanya dengan menambah ataupun menukar SATU HURUF sahaja pada nama komersial itu penulis sudah dapat melepaskan dirinya daripada belenggu klausa tersebut.


Dalam industri muzik, kontrak yang menjadi amalan standard adalah kontrak tempoh, bukan kontrak nama. Dalam industri itu penyanyi dikenakan sekatan tidak boleh merakamkan lagu dengan mana-mana penerbit lain selama tempoh 2 ataupun 3 tahun ataupun lebih. Opsyen kontrak tempoh sudah difikir-fikirkan oleh kalangan penerbit novel-novel cinta.


Satu lagi opsyen adalah kontrak produk di mana penulis disekat daripada menerbitkan buku yang serupa, yang dapat menyaingi bukunya dengan penerbit itu. Kontrak ini memang amalan standard dalam industri buku, apa jenis buku sekalipun. Saudara semak sahaja klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan saudara sekarang, di mana sekatan itu dinyatakan dengan jelas sekali.


Kontrak produk yang digunakan pada masa ini perlu ditafsirkan dan diuji di sisi-sisi undang-undang. Apabila penulis novel cinta menulis novel “Panah Cintamu” untuk satu penerbit, kemudian dia menulis novel “Kolam Cintamu” untuk penerbit lain, apakah dia melakukan pelanggaran klausa kontrak produknya dengan penerbit pertama? Isu ini perlu dirujukkan kepada peguam yang pakar dalam bidang ini.


Jika klausa sekatan produk ini perlu diperketatkan, penerbit boleh menyatakan dalam dokumen perjanjian penerbitannya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang lebih spesifik, ciri-ciri novel cinta daripada pengarang yang sama yang disekat daripada diterbitkan oleh penerbit lain.


Dari satu sudut lain, langkah memperketatkan klausa-klausa sekatan dalam dokumen perjanjian penerbitan hanya mengancam objektif asal perjanjian itu, yakni menjaga kepentingan bisnes penerbit. Penulis yang pintar tidak akan mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas kreativitinya.


Kita balik kepada isu pengurusan bakat. Aset penerbit yang paling bernilai adalah bakat-bakat penulis yang karyanya diterbitkan. Sebarang tindakan yang dapat mendorong para penulis terus setia kepada penerbit adalah sebaik-baik strategi dalam pengurusan bakat penulis.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Penerbit Kecil Makanan Penerbit Besar Previous entry: Nama Siapa Lebih Besar: Nama Pengarang ataupun Nama Penerbit?

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.