Monday, November 26, 2007

Sidang Parlimen: MP Grik Tuduh DBP “Mandul Minda” dan Kamus DBP “Kamus Bahasa Rojak”

Yang Berhormat Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh, ahli parlimen dari Grik membuat kenyataan yang sepatutnya membuat warga DBP amat malu. Baca di sini dan baca juga di sini.

Tuduhan wakil rakyat itu ada betulnya. Sebagai contoh perkataan Inggeris "I" dan "you" dimasukkan dalam entri "Kamus Dewan".

Memang betul dalam Bahasa Melayu percakapan dialek pasar, dalam Bahasa Melayu ragam cakap mulut, perkataan pinjaman banyak digunakan seperti "best", "terror", "boring", "frust", "slow", "sure", "kondem", "cute" "glamour", "blur", "slim", "so", "stupid", "u-turn",  dan banyak lagi, bukan sahaja daripada bahasa Inggeris, malah daripada bahasa Cina, Tamil, Arab, Bahasa Indonesia pun banyak.

Kalau mahu, DBP boleh menerbitkan "Kamus Bahasa Melayu Basahan". Di situlah perkataan "I", "you", "lu", "gua", "ana", "ente", "ane", "aya", "ah so",  "ah kong", "kamceng", "kowtim", "cow", "cun", "soru", "yilek" dan banyak lagi layak dimasukkan sebagai entri, tetapi bukan dalam "Kamus Dewan" yang selayaknya menjadi kamus rujukan Bahasa Melayu Standard.

Disebabkan perkataan "I" dan "you" itu bertaraf bahasa pasar, yakni bahasa cakap mulut, itulah sebabnya dua perkataan itu tidak digunakan dalam fungsi-fungsi sosial rasmi, seperti dalam surat menyurat rasmi, dalam teks ucapan rasmi, dalam doa, dalam puisi, dalam parlimen, dalam majlis istana, dalam lafaz akad nikah dan yang seumpamanya.

Nota: Diharap Sifu tidak pula disaman oleh kepimpinan bahagian perkamusan DBP akibat menulis entri ini. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Bahasa
(9) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Projek GameBook PTS-METADOME Previous entry: Beli Kamus Dapat CD Perisian Percuma
Siti Hajar  on  11/26  at  10:09 PM

Salam Puan,

Sebagai pengguna harian Kamus Dewan Edisi Keempat, saya sangat setuju dengan apa yang Puan paparkan di sini.

Kami, para penterjemah, sudah lama menghadapi masalah pelanggan yang bertegas mahu menggunakan perkataan bahasa basahan dalam teks kerana kata mereka perkataan itu ada dalam Kamus Dewan jadi perkataan itu ‘halal’ dalam apa jua teks.

Kerana itulah suatu hari saya terkejut, apabila ternampak perkataan ‘sial’ tergantung di hadapan KFC.

Siti Hajar

mka  on  11/27  at  08:24 AM

Sebelum mahu memandu kereta, perlu mengetahui sistem kereta itu dengan membaca buku cara penggunaannya. Begitu juga sekiranya mahu merujuk sebarang perkataan di dalam Kamus Dewan (KD). Di dalam KD ada singkatan kata “bp” yang bermaksud bahasa percakapan. Contohnya perkataan “bajet”. Perkataan “belanjawan” digunakan dalam surat atau rencana yang dihasilkan daripada DBP bagi menggantikan perkataan “bajet”. Siapa yang cipta “bajet”? Sudah tentu “individu” yang lebih bijak daripada pakar bahasa. Alasan umum suka menggunakan perkataan ceduk kerana ia mudah difahami dan agak komersial. Samalah situasinya dengan “bisnes” (tiada dalam KD). Perkataan yang sebenar dalam BM ialah “perniagaan”.

Secara peribadi, perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Gerik itu memang bagus. Seolah-olah buah mangga yang ranum biasanya akan dijolok-jolok orang. Tidak langsung memalukan mana-mana karyawan DBP. Ini kerana banyak istilah wujud telah dicipta sendiri oleh ahli politik dan masyarakat sebelum sempat karyawan DBP mencipta istilah tepat dalam BM. Soal lembab kerja tidak wujud kerana setiap hari ada sahaja wujudnya istilah baharu. Kaedah Maqasid Syariah juga memerlukan mesyuarat ulamak.

Sekurang-kurangnya ahli parlimen itu memberikan isyarat kepada rakan-rakannya di Parlimen dan partinya supaya menggunakan BM dengan betul dan tidak dirojakkan bersama bahasa lain. Pemandulan minda dilemparkan kepada DBP atas alasan selalu menceduk bahasa lain adalah tidak wajar kerana semua orang tahu perkataan asal BM ada empat sahaja. Jangan jadi seperti Bahasa Sanskrit yang terkubur disebabkan dasar “tutup pintu” tidak menerima atau menceduk bahasa lain.

zalisa  on  11/27  at  08:51 AM

Saya menonton berita ini malam tadi di tv. Tersenyum-senyum sendiri.

SifuPTS  on  11/27  at  08:53 AM

Tuan MKA,

(1) Pakar Bahasa Melayu manakah yang Tuan gunakan sebagai rujukan bagi mengatakan bahawa perkataan asal Bahasa Melayu hanya 4 sahaja? Profesor Asmah Hj. Omar?

(2) Dalam buku ataupun jurnal linguistik historis manakah Tuan membaca maklumat itu?

Hati-hati apabila Tuan mengemukakan hujah dengan mengambil mitos-mitos linguistik sebagai asas hujah.

Bak kata Tuan sendiri, mesti faham sistem (sains leksikografi dan leksikologi) barulah layak ikut sama bercakap tentang metodologi perkamusan.

Norziati  on  11/27  at  08:59 AM

Perkataan ‘kemandulan minda’ patut dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Kelima

 on  11/27  at  09:10 AM

Saya rasa hanya orang yang mandul mindanya yang
akan membawa perkara ini ke parlimen.
Perkataan basahan atau perkataan apa sekalipun,
apabila sudah dimasukkan kedalam kamus dewan,
tak semestinya menjadikan perkataaan itu rasmi.
Jadi pernyataan :

[kerana kata mereka perkataan itu ada dalam Kamus Dewan jadi perkataan itu ‘halal’ dalam apa jua teks.]

tak relevan.

kita lihat kamus oxford sekalipun, banyak perkataan
basahan yang digunakan, adakah bermakna perkataan
itu ‘halal’ dan boleh digunakan dalam urusan rasmi?
kita lihat adanya perkataan ‘fu*k’ ‘ya’al’ ‘ditto’
bahkan ada perkataan yang diambil dalam siri kartun
simpsons dan dimasukkan kedalam kamus oxford dek
kerana perkataan itu terlalu menjadi ikutan.
Pernah guna perkataan ‘duh’? atau ‘do-op’?

Maafkan saya jika contoh yang diberi tak sesuai,
tapi janganlah kita disni bertengkar kerana
beberapa ahli parlimen yang ‘kering idea’
dan tak tahu apa lagi dah yang nak dibentangkan
memandangkan rakyat kita semuanya sudah maju,
kaya-raya, bersatu-padu antara kaum dan rakyat
melayunya amat teguh sekali ekonominya.

Jadi dia bentangkanlah episod mandul-memandul ini.

Katarsis  on  11/27  at  09:48 AM

Kamus Dewan; kalau ingin sesuatu yang berwibawa telesuri sahaja Kamus Dewan.  Itu anggapan masyarakat terbanyak.  Maka dalam minda masyarakat ialah apa-apa yang terdapat dalam Kamus Dewan itulah yang “betul” dan “benar” belaka.  Sekiranya anda bermasalah dengan sesuatu perkataan, baik dari aspek terminologi dan semantiknya, rujuklah Kamus Dewan.  Tapi kadang-kadang, ramai antara kita tidak memahami adab-adab pembinaan sesebuah kamus (saya salah seorang daripadanya).  Maka tidak hairanlah masing-masing dengan fahaman dan mazhab tersendiri melihat dab menilai kamus.  Dan sudah semestinya cendekiawan kita turut mempunyai pandangan yang berbeza tentang erti kamus.
Dan itu juga yang mungkin berlaku antara Tuan MKA dengan Puan Sifu; yang mempunyai latar pendidikan linguistik yang berbeza lantaran menerima ilmu dari mazhab dan mahaguru yang berbeza. 

Salam untuk Puan Sifu dan Tuan MKA.

 on  11/27  at  12:35 PM

Puan Sifu,

Ada yang merapu pasal mandul ni kat sini.

Gurindam Jiwa  on  01/01  at  03:44 AM

Ini ialah satu pandangan seorang Mat Salleh yang mengajar Bahasa Inggeris di Malaysia mengenai penggunaan “I” dan “you” di dalam Bahasa Melayu oleh orang-orang Malaysia.

Pada saya ia amat menarik.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: