Sunday, September 16, 2007

Sifu Mengarang Buku Apa Saat Ini?

Sifu sedang menulis buku "Prinsip dan Strategi Motivasi Perubahan Tingkah Laku Cara Nabi Muhammad"

Contoh isi dan struktur buku:

Tunjukkan kepada orang yang mahu diajari contoh perbuatan salah itu secara 'live' dan terangkan alasannya.

Pada suatu hari Nabi Muhammad masuk ke dalam masjid. Beliau ternampak ada seorang lelaki duduk di tengah-tengah masjid sambil menyilang-nyilangkan jari-jari tangan kiri dan kanannya. Nabi Muhammad memberi isyarat kepada lelaki itu tetapi dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh beliau. Kemudian Nabi Muhammad menoleh kepada Abu Said lalu berkata, “Apabila ada antara saudara yang melakukan sembahyang, jangan silangkan jari-jemari tangan kiri dengan jari-jemari tangan kanan, kerana itu adalah perbuatan syaitan. Seseorang itu dikira masih dalam sembahyangnya selagi dia berada di dalam masjid sehinggalah dia keluar darinya.”

Konteks teknik ini:
a. Kesalahan itu adalah pada tatacara melakukan sesuatu pekerjaan.
b. Yang melakukan kesalahan itu adalah orang lain.
c. Orang yang hendak diajar supaya jangan melakukan kesilapan seperti itu adalah orang lain.

Teknik Nabi Muhammad: Tunjukkan contoh perbuatan yang salah itu secara 'live' dan terangkan mengapa perbuatan itu salah.

Nota: Dalam zaman sekarang, contoh-contoh 'live' itu dapat digantikan dengan rakaman kejadian sebenar, dilakonkan, dianimasikan, dan dilukiskan.

Keterangan kes: Dalam kes ini, Abu Said tidak tahu bahawa perbuatan menyilangkan jari-jemari tangan kiri dan kanan semasa sedang bersembahyang adalah salah. Nabi Muhammad mahu menerangkan kepada Abu Said apa sebenarnya perbuatan itu. Lalu beliau menunjukkan kepada Abu Said kesalahan itu yang sedang dilakukan oleh orang lain.

Aplikasi: Di sini, apabila kita mahu mengajarkan jenis-jenis tingkah laku yang salah kepada seseorang, caranya adalah dengan menunjukkan contoh sebenar kepada orang itu, yakni pada waktu kesalahan itu sedang dilakukan oleh orang lain.

Sebagai contoh, apabila kita mahu menunjukkan cara duduk yang salah apabila berada dalam majlis, tunjukkan kesalahan itu apabila kita ternampak ada orang lain yang sedang duduk dengan cara-cara yang salah itu. Sambil itu kita mesti terangkan mengapa cara duduk begitu adalah cara yang salah.

Menunjukkan contoh tingkah laku yang salah dengan tidak memberitahu orang yang mahu diajari itu mengapa tingkah laku itu salah adalah tidak berkesan.

Sebagai contoh, seorang ibu menunjukkan kepada anak gadisnya perbuatan sekumpulan remaja perempuan yang tidak menutup aurat dengan berkata, “Tengoklah itu, banyak remaja sekarang tidak mahu memakai tudung!” Si ibu itu hanya menunjukkan tingkah laku yang salah tetapi tidak menerangkan mengapa perbuatan tidak menutup aurat itu salah.

Contoh-contoh lain adalah kata-kata di bawah yang menunjukkan contoh tingkah laku salah tetapi tidak diikuti oleh penerangan mengapa tingkah laku itu salah.

a. “Jangan terikut-ikut budaya remaja Amerika.” (Contoh tingkah laku buruknya disebut, tetapi penjelasannya tiada diberikan. Katakan, “Jangan terikut-ikut budaya remaja Amerika kerana itu adalah budaya orang bukan Islam.”)

b. “Jangan ikut perangai Si Polan, dia sudah besar, tetapi tidak mahu sembahyang.” (Contoh tingkah laku buruknya disebut, tetapi penjelasannya tiada diberikan. Katakan, “Jangan ikut perangai Si Polan, dia sudah besar, tetapi tidak mahu sembahyang kerana sembahyang adalah tiang agama.)

c. “Apa hendak jadi dengan budak-budak sekarang yang suka menghabiskan masa melepak di dalam shopping complex.” (Contoh tingkah laku buruknya disebut, tetapi penjelasannya tiada diberikan. Katakan, “Apa hendak jadi dengan budak-budak sekarang yang suka menghabiskan masa melepak di dalam shopping complex kerana orang yang membuang waktu adalah ibarat membuang emas.)

d. “Kamu jangan terikut-ikut perangai budak-budak jahat itu yang suka menghabiskan masa di cyber cafe.” (Contoh tingkah laku buruknya disebut, tetapi penjelasannya tiada diberikan. Katakan, “Kamu jangan terikut-ikut perangai budak-budak jahat itu yang suka menghabiskan masa main game di cyber cafe sampai lupa sembahyang kerana bermain game tidak mendatangkan pahala, malah boleh mendatangkan dosa.”)

Apabila kata-kata teguran itu tidak disertai dengan alasan yang kukuh, kata-kata itu dianggap sebagai leteran, rungutan, kritikan dan kongkongan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Patutkah Pengarang Menerbitkan Bukunya Sendiri Previous entry: Buku Panduan Pandai Membiakkan Duit
mki  on  09/16  at  03:18 AM

Salam sejahtera
Puan Ainon,

Di sebuah surau, saya mendengar dengan tekun syarahan agama yang disampaikan oleh seorang guru. Sayalah satu-satunya jemaah yang duduk di tengah-tengah surau. Mereka yang lain menyandar pada dinding surau.

Saya sukakan ilmu yang disampaikan.

Kemudian saya kepenatan. Lalu mengunjurkan [meluruskan] kaki ke arah guru tersebut untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh. Dia terus menunjukkan jari telunjuknya ke arah saya dengan muka yang tidak ‘berkasih-sayang’ sambil diperhatikan oleh seluruh jemaah yang lain.

Ia satu teguran di khalayak ramai! Pada ketika itu saya terasa malu. Malu - lebihnya - kerana berasa yang saya seorang yang berjawatan tinggi dan tidak sepatutnya dimalukan sebegitu rupa. Sudah lama saya tidak ditegur begitu!

Saya sentiasa ingat peristiwa ini.

.

Prof,

Kalau saya yang ditegur begitu, saya akan ingat sampai sampai mati. Saya akan ingat 2 perkara (a) perbuatan saya yang salah itu dan (2) muka ustaz itu (saya akan ingat mukanya dengan benci).

Saya sudah lama buat research bagi menuliskan buku ini. Bertahun-tahun. Mudah-mudahan banyak gunanya buku yang sedang saya tulis ini. Target saya adalah menyelesaikan penulisan buku ini sebelum Hari Raya.

Prof sedang tulis buku apa pula? Saya cadangkan buku “Bagaimana akhirnya saya kembali bersembahyang”. Dijamin ngetop, Prof!
——-

MBA  on  09/16  at  04:34 AM

Assalamualaikum;

Saya sekadar ingin tahu, adakah duduk bersila (khususnya dalam masjid, surau dll) adat Islam ataupun adat Melayu?. Sebabnya jika kita pergi ke masjid di negara lain, khususnya di UK atau US, jemaah tidak ramai yang boleh duduk bersila. Mereka duduk dengan gaya masing-masing yang nampaknya begitu janggal berbanding dengan keadaan di negara kita. Duduk berlunjur masaih dikira sopan dari perspektif saya.

Wallahualam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/16  at  05:17 AM

Semoga Allah memberikan kemudahan bagi Puan Sifu menyiapkan buku tersebut demi kebaikan umat Muhammad. Amin

panaharjuna  on  09/16  at  05:32 AM

Ini buku mengenai prinsip-prinsip dakwahkah?. Kenapa tidak guna enam prinsip sahabat yang unggul diajar oleh baginda nabi s.a.w. Saya fikir enam prinsip itu sangat bagus.

.

Tuan Panah,

Ini buku sains “Behavior Modification” - atau sains “Perubahan Tingkah Laku”. Saya sudah dapat pelbagai strategi dan teknik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad. Bab teorinya saya masih terkial-kial cuba membangunkannya.

Tengku Asmadi  on  09/16  at  05:45 AM

Assalamualaikum Puan Sifu,

Saya juga sudah lama fikirkan tentang baiknya kalau menulis tentang perkara seperti ini.  Namapaknya Puan Sifu sudah mendahului dan itu perkara yang baik sebab boleh saya jadikannya sebagai rujukan untuk buku saya kemudiannya nanti.  Tidak sabar menunggu buku puan yang ini.

Amiene Rev  on  09/16  at  07:25 AM

Inilah konsep yang sudah lama ditekankan dalam Islam. Jika menegur, perlulah disertai dengan contoh, Jika memberi kritikan, maka kritikan itu membina.

Saya harap apa yang sedang diusahakan oleh Sifu ini akan dapat digunakan oleh semua peringkat umur. Kawan menegur kawan, ibu bapa menegur anaknya, suami menegur isteri, guru menegur anak murid dan sebagainya.

Saifuddin  on  09/17  at  01:28 AM

Puan Ainon,

Bagaimana pula dengan hadis ini? Suatu hari, Nabi Muhammad mendengar Abu Zar al-Ghifari memanggil Bilal bin Rabah dengan panggilan menghina, beliau berkata, “Wahai anak hamba perempuan yang hitam!” Apabila Nabi Muhammad mendengar, Nabi menegur dengan suara yang agak keras dengan berkata, “Adakah kamu masih mengekalkan sikap jahiliyah?” Nabi Muhammad menyammbung dengan berkata, “Mencaci orang Islam itu fasiq, manakala membunuhnya adalah kafir”

Adakah hadis ini termasuk di dalam apa yang Puan bincangkan. Terima kasih.

.

Tuan Saifuddin,

Tolong tuliskan kepada saya apa-apa hadith berkenaan cara-cara bagaimana Rasulullah membetulkan kesalahan orang di sekeliling beliau. Mana tahu, saya tidak memasukkan hadith itu, lalu dapatlah saya masukkan!

Bekerja sendirian memang lambat mengeluarkan hasilya. Dan hasilnya pun kurang cantik.

Terima kasih atas bantuan Tuan.

Mohd Nadzrin Wahab  on  09/17  at  02:10 AM

Assalamualaikum Sifu,

Ada juga orang yang hanya memberi penjelasan tanpa memberitahu apa sebenarnya kelakuan yang tidak elok diamalkan. Sikap ini seringkali disifatkan sebagai ‘sindiran’.

“Ada orang tu, macam tak tahu majlis ni majlis keagamaan” (Teguran yang nak disampaikan, “pakailah elok-elok sikit”)

“Ini barang abah, atuk yang bagi!”
(Teguran yang nak disampaikan, “Jangan main dengan barang ni”)

“Ilmu tu tinggi nilainya. Tak nak jadi orang pandai ke?”
(Teguran yang nak disampaikan, “Belajarlah selagi mana masih boleh belajar”)

Pada saya, ada sahnya kaedah ini di zaman dahulu di mana orang Melayu terlalu sensitif (positif) dengan masyarakat sekeliling, dan disebabkan di dalam hatinya, sudah pernah diajar perkara yang ditegur. Maka yang ditegur memadankan ‘sindiran’ itu dengan ‘teguran’ daripada dalam hatinya, lalu malu.

Zaman sekarang, sudah banyak berubah. Jangankan disindir, ditegur pun tidak makan saman. Saya sokong sepenuhnya usaha Sifu untuk menulis buku ini. Jika diizinkan Allah, saya akan jadi antara yang terawal membelinya nanti. Amin.

Ramadan Mubarak!

Saifuddin  on  09/17  at  03:20 AM

Puan Ainon,

Insya Allah saya akan emelkan Puan sedikit demi sedikit. Mohon dipermudahkan Allah.

sab2  on  09/18  at  12:18 AM

Puan Sifu,

Assalamu’alaikum.

Semoga usaha Puan itu diberkati… sudah lama masyarakat kita hilang panduan serupa itu.

Mungkin Puan dapat masukkan juga elemen /kaitan ‘tingkah laku dunia korporat’ (seandainya skop buku itu juga mensasarkan kumpulan tersebut). Maksud saya diperjelaskan dengan contoh-contoh /dilema korporat berikut:

1. Dalam era di mana CEO yang “dilantik”, dari segi umurnya mungkin pangkat anak kepada sebahagian ahli pasukan pengurusan tertingginya - tatasusila hubungan sesama manusia yang semakin luntur.

2. Integriti hanya sebutan pemimpin, perlu diamalkan orang bawahan…

3. Kebenaran tidak lagi berpaksi kepada yang hak, tetapi di atas kuasa dan kedudukan;

...di antaranya.

Salam Ramadhan al-Mubarak.

.

Tuan Sab2 (disebut “sab-dua”)

Baiklah, saya akan kaitkan dengan perubahan tingkah laku warga korporat. Aduhai… macam-macam pula permintaan tuan ini! Makin stress saya….

Denai  on  09/18  at  03:55 PM

Sebahagian dari apa yang saya sedang tulis ialah kesan-kesan malu terhadap persahabatan.
Tetapi saya tidak cukup maklumat tentang malu. Ada sesiapa boleh bantu?

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.