Saturday, September 13, 2008

Sifu Terlibat dalam Majlis Persidangan Akhbar Ini: Pejuang Bahasa Cabar Kerajaan Berdebat

Dipetik dari Malaysia Kini:

BI: 48 NGO gesa kementerian hentikan meja bulat
Muda Mohd Noor | Sep 12, 08 6:46pm

Sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) meminta kementerian pelajaran menghentikan dua lagi persidangan meja bulat mengenai pelaksanaan pengajaran sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia dilaksanakan secara tidak adil dan laporan akhbar mengenainya juga mengelirukan.

Sebelum ini, kementerian berkenaan telah mengadakan dua meja bulat untuk mendapatkan pandangan mengenaai PPSMI.

NGO terbabit termasuklah Persatuan Lingustik Malaysia (PLM),  Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),  Majlis Profesor Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Penulis Nasional (Pena), Institut Alam Tamadum UKM,  Persatuan Seniman Malaysia, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena),  Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, "Tiga dari lima pembentang kertas kerja, bukannya berbicara mengenai perkara tersebut sebaliknya kepentingan menguasai bahasa Inggeris."

"Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu, tiada meja bulat pun dan tidak juga ditimbulkan kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu."

"Apakah persidangan meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Kamal Shukri juga mempersoalkan bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar akta 'secara sembunyi-sembunyi.'

Sehubungan itu, beliau mencabar pemimpin UMNO untuk menyatakan pendirian mengenai pengajaran sains, matematik dan teknologi dalam bahasa Inggeris.

"Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi, kononnya hanya membabitkan dua mata pelajaran tetapi sebenarnya lebih 80 peratus subjek di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, diajar dalam bahasa Inggeris. Apabila ini berlaku, maka akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu.

"Kami sedia berdebat mengenai kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan ini," katanya.

Kamal Shukri berkata, kajian yang lebih jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak, termasuk Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin, menunjukkan mereka yang tinggal di bandar dan berpendapatan tinggi, mendapat manfaat dari PPSMI.

Katanya, PPSMI menyebabkan jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar dan yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu.

"Tujuan dilakukan semua ini ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa  Inggeris tetapi telah dilakukan dengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi.

Perkecilkan bahasa rasmi

"Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat," katanya.

Kamal Shukri berkata, semua 48 NGO menggesa pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama.

Katanya, kembalikanlah bahasa Malaysia sebagai pengajar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, kesan negatif PPSMI ialah keghairan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi dalam semua aspek kehidupan.

"Seolah-olah," katanya, "Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mati dan tidak berwibawa lagi."

Kamal Shukri berkata, rancangan untuk menjadikan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai salah satu penentu sama ada PPSMI diteruskan atau tidak juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu pendidikan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(5) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Penahanan Blogger YM Raja Petra di bawah ISA: UNIKAPTS Kutuk Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya Previous entry: Khutbah Jumaat PTS: Penerbit Buku-buku Agama dan Pencurian Hakcipta Buku Agama
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/13  at  06:35 AM

Ia ibarat anjing menyalak bukit kerana tiga sebab.

1. Memanda menteri yang beristeri dengan jin itu lemah dan tidak akan berani membuat perubahan untuk menukar semula Bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik.

2. Menteri yang bergincu itu pula lebih megah kalau bercakap dalam BI walau di depannya yang mendengar orang Melayu. Dia tak boleh diharap.

3. Menteri yang pernah mengucup keris pusaka itu pula walaupun kononnya hendak membela bangsanya tetapi ternyata menghianati bangsanya.

Jadi kepada siapa lagi kita hendak mengharap?.

Jika pakatan rakyat memerintah apakah mereka boleh mendaulatkan semula Bahasa Melayu?. Bukan saja   mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu tetapi juga memastikan IPTA dan IPTS juga mendaulatkan Bahasa Melayu?. 

Jika PK boleh mengubahkan maka kita sokong mereka memerintah. Kalau tidak berjaya pada 16 September kita tunggu pemilihan agung UMNO bulan Disember. Kalau mereka masih juga berkuasa kita tunggu pilihanraya ke 13. 

Ini bukan hasutan tapi luahan dari seorang rakyat yang cintakan bangsa dan bahasanya.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/13  at  09:30 AM

Seorang yang ingin mempertahankan bahasa, tidak semestinya membawa hujah bahasa. “Kita kena mempertahankan bahasa ini kerana nilai BAHASA ini…....”.

Ini bergantung kepada apa yang lebih ada harga buat orang yang kita lawan berhujah dengannya. Kalau dia yang kita lawan berhujah itu tidak melihat bahasa itu sebagai berharga maka sia-sialah kita membawa hujah menyelamatkan bahasa untuk bahasa, kerana bahasa itu tidak seberapa nilainya kepada mereka.

Menyelamatkan bahasa juga boleh jadi mengkayakan ekonomi bangsa, mempertahankan bahasa juga boleh jadi bermakna menyelamatkan kepintaran bangsa. Membantutkan bahasa sendiri boleh jadi membantutkan bangsa. Mengekang bahasa bolehjadi melemahkan bangsa sendiri berbanding bangsa-bangsa lain.

Bila kita ingin mengekalkan suatu bangunan lama, janganlah berhujahkan nilai seni kepada orang yang tak faham erti seni dan mahu menjana wang. Hujahkanlah yang bangunan lama barangkali punya nilai komersil. Hujahkanlah kepadanya bahawa seni atau sejarah itu komersil.

Pemerintah Sepanyol tidak meruntuhkan semua masjid-masjid tinggalan orang Islam dulu, biarpun mereka ada ketikanya mereka berasa sempit dada bila melihat kubah -kubah masjid. Bukanlah kerana mereka sukakan kubah-kubah masjid itu, tetapi hanyalah kerana kubah masjid yang mereka benci itu boleh menjadi alat yang memberi sesuatu yang mereka suka.

Bahasa juga adalah suatu alat kepada suatu tujuan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/13  at  09:42 AM

Bila kita berhujah dengan seseorang, janganlah kita hujahkan apa yang berbekas dalam hati kita, tetapi hujahkanlah apa yang memberi bekas kepada orang yang kita lawan berhujah.

Jangan kita mementingkan hati kita, tetapi lihatlah, selidikilah dan utamakanlah hati dan akal orang yang kita lawan berhujah.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/13  at  10:51 AM

Adakah jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah, senario boleh berubah?

Asalnya memang harapan ada diberikan kepada PR. Namun apa yang berlaku kebelakangan ini, kelantangan Teresa Kok dan konco-konconya yang ingin menyama tarafkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil dengan penggunaan BM pada papan tanda amat merisaukan. Tiada pula kedengaran bantahan dari mana-mana ahli PR melayu tentang hal ini.

Memang sudah menjadi agenda politik mereka untuk memperjuangkan hak sama rata kepada semua kaum. Jika ini berlaku tidak mustahil selepas ini bahasa Mandarin pula diangkat menggantikan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar untuk subjek-subjek tertentu di sekolah dengan alasan orang Cina pandai matematik, orang Cina pandai meniaga, orang Cina mengusasi ekonomi dan bahasa Mandarin adalah antara bahasa penting dunia perdagangan antarabangsa kini.

Nasib Bahasa Melayu bakal ditakuk lama malah mungkin semakin teruk kerana alasan tiada nilai ekonomi. Orang politik Melayu pula sanggup menggadai maruah bahasa sendiri demi untuk survival politik mereka.

Dalam senario semasa, saya tidak nampak sama ada pihak pemerintah sekarang atau pihak yang diwar-warkan akan memerintah tidak lama lagi menunjukkan iltizam untuk memperjuangkan dan mengangkat semula martabat Bahasa Melayu dengan sepenuh hati.

Risau jika nasib Bahasa Melayu kita sama seperti di Singapura, Bahasa Melayu hanya tinggal pada lagu kebangsaan mereka MAJULAH SINGAPURA semata.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/13  at  12:12 PM

Sebagai orang kampung kami meluat bila tengok artis yang menyanyi lagu Melayu atau belakun drama Melayu kelihatan lebih megah bercakap BI dari BM. malah ada artis Melayu kata rasa bodoh apabila bercakap bahasa Melayu.

Kami juga meluat bila tengok pemimpin yang mendapat sokongan orang Melayu tetapi lebih suka bercakap BI.

Kalau pemimpin Jepun, Jerman, Perancis contohnya kelihatan megah kalau berucap gunakan bahasa mereka sendiri. Tetapi lihat pemimpin kita lebih megah bercakap BI.   

Jika pakatan rakyat pun tidak boleh kita harapkan maka kita berdoa moga-moga pemilihan UMNO bulan Disember nanti tiga menteri itu dikalahkan dengan diganti oleh mereka yang boleh kita harapkan membawa perubahan bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada bangsa Melayu.

Kita perlukan pemimpin yang ada jati Melayu. Sanggup memperjuangkan nasib bangsa termasuk bahasa dan budaya bangsanya. Bukan pemimpin yang kononnya nak majukan bangsa Melayu tetapi mengkhianati bangsanya.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: