Siri Komik ‘Dear Yayah’ dan ‘Aku Mahu….’ akan Masuk Pasaran

![]()
Ketua unit Komik-M, Tn. Wan Zuhairi, memberitahu bahawa PTS akan mula menerbitkan siri komik berdasarkan siri-siri novel PTS yang sudah popular dalam pasaran seperti siri Dear Yayah dan siri Aku Mahu.... oleh Ain Maisarah.
Kedua-dua siri itu dipilih kerana ia sudah terkenal dan mempunyai kumpulan peminat yang banyak.
Jumlah peminat adalah kriteria penting dalam pemilihan siri yang akan dikomikkan kerana ia dapat menjamin pasaran siri komik itu nanti cukup besar.
Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PABKL) bulan Mac nanti, judul pertama komik Dear Yayah akan dilancarkan. Cerita dalam siri komik itu nanti adalah cerita baru, yakni bukan cerita dalam siri novelnya.
Menurut Tn. Wan Zuhairi, pembahagian royalti antara pelukis komik dan pencipta cerita (story creator) adalah berdasarkan amalan lazim dalam industri antarabangsa. PTS memilih formula antarabangsa itu kerana ia adalah formula yang sudah terbukti diterima baik oleh semua pihak yang terlibat.
Menurut beliau lagi, dengan menggunakan formula antarabangsa, komuniti pekomik tempatan akan lebih yakin apabila menghasilkan karya untuk terbitan PTS.
Potensi penerbitan edisi komik seperti inilah yang menyebabkan PTS sangat menggalakkan para penulis novel kanak-kanak dan remaja supaya menghasilkan karya yang bersiri.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment