Statistik Sebenar Bisnes Novel Remaja
Pada masa ini PTS adalah penerbit paling aktif dalam pasaran kategori novel remaja antara 8 tahun - 16 tahun. Kejayaan PTS mendorong penerbit-penerbit lain menceburkan diri dalam sektor ini.
Jika saudara sedang memikir-mikirkan mahu masuk pasaran novel remaja ataupun tidak, barangkali ada baiknya saudara renungkan pengalaman PTS ini.
Daripada jumlah naskhah yang terjual, setiap bulan angka naskhah jualan novel-novel remaja PTS ONE adalah 2 kali lebih banyak daripada jualan buku-buku PTS MILLENIA ataupun PTS PROFESSIONAL. Maksudnya jika novel remaja dapat dijual 10 ribu naskhah sebulan, buku-buku dewasa hanya dapat dijual 5 ribu naskhah sebulan.
Tetapi dari sudut nilai RM, kutipan daripada jualan buku-buku PTS MILLENIA ataupun PTS PROFESSIONAL adalah 2 kali lebih banyak. Maksudnya, jika jualan 10 ribu naskhah novel remaja bernilai RM200 ribu sebulan, jualan buku profesional yang cuma 5 ribu naskhah membawa masuk RM200 ribu sebulan.
Ini berlaku kerana harga jualan novel-novel remaja adalah murah, cukup-cukup untuk membiayai kos operasi. Harga murah menyebabkan margin keuntungan novel remaja amat kecil dibandingkan dengan harga jualan buku-buku bacaan dewasa.
Kos penerbitan novel remaja juga tinggi disebabkan adanya kos ilustrasi yang banyak, walaupun novel itu dicetak hitam-putih. Buku-buku dewasa tidak memerlukan kos ilustrasi, ini menyebabkan margin buku dewasa lebih besar.
Novel remaja dibeli oleh remaja menggunakan duit ibu bapa mereka. Itulah sebabnya novel remaja tidak dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi. Ini berbeza dengan buku dewasa yang dibeli oleh mereka yang sudah mempunyai wang sendiri.
Jika menerbitkan novel remaja bukan pelaburan yang menghasilkan pulangan tinggi, mengapakah PTS komited kepada buku-buku remaja?
Novel-novel remaja PTS adalah pelaburan jangka panjang. Dengan menerbitkan novel-novel remaja, PTS menanamkan tabiat kuat membaca di kalangan remaja, supaya apabila mereka dewasa, mereka akan terus suka membaca, dan mereka akan membeli buku-buku dewasa terbitan PTS!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Bijak. Bijak. Tidak dipanggil Sifu jika tidak bijak sebegini.
Saya setuju kita jual buku-buku untuk remaja dengan harga yang lebih murah. Ini sesuai dengan tema kita untuk “memajukan bangsa”. Remaja adalah tunjang bangsa kita di masa hadapan. Biar harga murah, supaya ramai yang dapat membelinya (seterusnya membaca). Kalau kita cetak gunakan kertas “recycle” mungkin harga boleh jadi lebih murah? Saya sendiri tak pasti…yang penting teruskan harga semurah yang kita mampu.
rosiah.
Post a comment