Strategi Berdepan dengan Tekanan Kedai Buku Elit
(sambungan)
Ada penerbit Melayu yang melantik pengedar tunggal atau sole distributor. Katanya, cara itu lebih mudah, tidak pening kepala hendak menagih hutang daripada banyak pengedar dan kedai buku.
Ada juga penerbit kecil yang hanya menjual buku-bukunya di sebuah rangkaian kedai buku elit sahaja.
Adakah strategi melantik pengedar tunggal, ataupun membekalkan buku kepada sebuah rangakaian kedai buku elit itu bagus bagi survival bisnes kita?
Budak besar dapat membuli budak kecil dengan mudah. Ini adalah hukum alam.
Berniaga dengan rangkaian kedai buku elit banyak sekali kebaikannya, tetapi bukan tanpa risiko. Justeru, sebagai penerbit kecil, PTS tidak boleh bergantung pada jualan di kedai-kedai buku elit sahaja.
Sebaik-baiknya, jualan kepada mana-mana rangkaian kedai buku elit jangan melebihi 10% daripada seluruh nilai jualan kita. Sebagai contoh, jika nilai bisnes kita RM1 juta setahun, jangan membekalkan mana-mana rangkaian lebih daripada RM100 ribu setahun.
Jika nilai bisnes kita RM2 juta setahun, jangan sampai kita membekalkan lebih daripada RM200 ribu setahun kepada mana-mana agen ataupun kedai buku.
Ini bermakna, sebagai penerbit, kita mesti mempunyai banyak agen. Jika ada mana-mana rangkaian yang menekan kita dengan meminta diskaun yang tidak munasabah dengan cara (i) tidak mahu membuat pesanan, ataupun dengan (ii) memulangkan buku-buku kita, maka jumlah 10% itu dapat kita pindahkan dengan mudah kepada agen-agen lain.
Sikap waspada inilah yang mendorong En. Zaharin Zain, Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS, memberikan banyak sokongan dan kerjasama kepada lain-lain agen PTS supaya mereka berjaya meningkatkan jualan buku-buku PTS.
Walaupun PTS belum mengalami pem-buli-an daripada mana-mana rangkaian kedai buku elit, En. Zaharin sentiasa berwaspada.
Ada pada suatu masa, nilai jualan PTS kepada sebuah rangkaian kedai buku elit hampir mencecah 20% daripada nilai seluruh jualan PTS. Dari sudut pengurusan risiko, ini adalah keadaan yang amat tidak sihat.
Maka PTS segera melakukan 2 strategi supaya keadaan itu dapat dibaiki:
(i) Menokok jumlah agen dan kedai-kedai buku yang mempunyai akaun di PTS.
(ii) Membantu agen-agen PTS yang ada supaya mereka dapat menjual lebih banyak buku-buku PTS.
Dengan meningkatkan jualan PTS kepada agen-agen lain, perlahan-lahan PTS sudah berjaya menurunkan jumlah jualan kepada rangkaian kedai buku elit itu daripada 20% kepada 11% sahaja.
Jadi, jikalau ada mana-mana rangkaian kedai bulu elit cuba menekan PTS supaya memberikan diskaun yang tidak munasabah, insyaAllah kita dapat memindahkan dengan selamat bisnes dengan rangkaian itu kepada lain-lain agen PTS.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Syabas, En. Zaharin! Usaha En. Zaharin itu bukan sahaja membantu PTS tetapi membantu mana-mana penulis yang bernaung di bawah PTS juga.
Syabas Tuan Zaharin.Tingkatkan lagi usaha. Perbaiki dan cari strategi baru untuk berdepan dengan kemungkinan-kemungkinan yang mendatang. Sediakan beberapa pelan tindakan sekiranya berlaku situasi yang boleh mewujudkan pem-buli-an. Ini tidak mustahil.
Selain kedai-kedai buku kecil, PTS mungkin boleh memberi perhatian kepada mereka yang memiliki gerai-gerai buku kecil di dalam pusat membeli-belah untuk dilantik sebagai agen. Bagaimana pula peniaga pasar malam? Ataupun mereka yang berniaga di kaki lima. Saya percaya dengan judul-judul yang ‘mesra mata’yang PTS miliki, insya Allah. Dan juga saya percaya Tuan Zaharin ada kaedah untuk berurus niaga dengan mereka ini. Yang penting buku-buku PTS mudah diperolehi oleh pembaca di mana-mana sahaja. Saya ulangi mudah diperolehi di mana-mana sahaja dan tidak semestinya di rangkaian kedai buku elit. Fikirkan sejenak.
Post a comment