Strategi Bisnes: Apabila Jerung Terjun Masuk Kolam Keli
Kemahiran berfikir secara strategis adalah amat penting dalam survival dunia bisnes.Bagi memahami apa yang dikatakan pemikiran strategik dalam bisnes, ambil contoh ini:
Katakanlah syarikat saudara adalah penerbit fiksyen novel cinta yang nilai jualannya sudah RM20 juta setahun. Sekarang saudara hendak membesarkan lagi bisnes saudara supaya jumlah perolehan boleh naik RM2 juta lagi setiap tahun, menjadi RM22 juta, RM24 juta, RM26 juta tahun demi tahun.
Lalu saudara tengok, nun di sana... ada sebuah penerbit lain yang terkenal dengan buku-buku motivasi, dengan nilai bisnesnya baru RM5 juta setahun. Lalu saudara pun berfikir hendak menerbitkan buku-buku motivasi juga.
Adakah strategi ini bijaksana?Sektor buku motivasi adalah amat kecil dibandingkan dengan sektor fiksyen.
Baik dalam apa jua bahasa, di mana jua negara, sektor buku fiksyen adalah paling besar. Lapan puluh peratus (80%) pasaran buku adalah pasaran fiksyen.
Jika bisnes fiksyen novel cinta saudara sekarang sudah RM20 juta setahun, langkah saudara hendak masuk sektor buku motivasi adalah umpama seekor jerung mengambil keputusan mahu melompat keluar daripada laut besarnya, lalu terjun masuk ke dalam tasik si ikan keli!
Sedangkan, pada waktu yang sama, si penerbit buku-buku motivasi itu sendiri sedang berusaha keras melaksanakan strateginya bagi melompat keluar dari kolam buku-buku motivasi yang kecil, dan hendak terjun masuk ke dalam lautan buku-buku fiksyen yang jauh lebih besar.
Apabila saudara sudah besar dalam sektor fiksyen, adalah lebih baik saudara kekal dalam sektor itu, dan terus mencari strategi baru bagi menerbitkan lebih banyak judul fiksyen.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Kekuatan keli ia dapat hidup di dalam lumpur walaupun tiada air untuk tempoh yang lama dan ini tiada pada jerung.
——-
Puan Sifu,
Assalam’alaikum.
Strategi jerung melompat masuk ke dalam tasik keli itu mungkin perlu dilihat dari perspektif “menjerungkan keli”...Kekuatan dan semangat keli yang perlu dijerungkan. Selalunya yang melibatkan strategi “branding”.
Tetapi ada juga kes di mana si keli yang melompat masuk ke laut jerung dengan menggunakan “sengat” (bersama semangat)nya. Di dunia korporat Malaysia telah berlaku proses penjerungan serupa itu! Cari dan lihat sendiri jerung-jerung itu.
Tuan Sab2,
Pertarungan keli dengan jerung di Malaysia ini amat menarik. Ada beberapa kes kejayaan dan kegagalan. Hendak ditulis di sini, tetapi nampaknya pengunjung UNIKA macam tidak berapa teruja dengan entri dunia bisnes… tidak banyak komen!
Sifu,
Teruskan menulis tentang strategi dunia bisnes. Amat teruja hati ini untuk terus membacanya.
Mungkin komen pembaca kurang, tetapi andai ilmu yang sifu berikan itu mampu saya laksanakan dalam bisnes suatu hari nanti, insya-Allah pahala ilmu itu akan berterusan.
Puan Sifu,
Saya baca setiap entri Sifu. Lebih-lebih lagi kalau berkaitan dunia perniagaan. Siap saya salin dan cetak (mohon izin). Saya baca berkali-kali dengan tekun.
Saya yang paling berharap Puan Sifu lanjutkan perbicaraan tentang bisnes.
Mungkin resmi orang bisnes tidak banyak komen, tetapi banyak kerjanya.
Saya fikir 99% pengunjung UNIKA bukan orang bisnes, itulah sebabnya saya kurang dorongan menulis tentang isu-isu bisnes.
Post a comment