Sukar Amatkah Menghasilkan Cover Novel Cinta Islami….
Catatan oleh: Shiela (Pelajar parktikum UiTM di PTS)
PTSgrafik dikehendaki menghasilkan sentuhan kuasa cinta pada cover novel-novel cinta PTS, maka PTSgrafik mengambil inisiatif untuk mencari feel cinta itu sendiri bagi diadaptasikan pada hasil kerja yang dikehendaki.
Antara inisiatif itu ialah terpaksa mengenang semula cinta-cinta semasa zaman cinta monyet, cinta suka-suki, cinta muda-mudi sehinggalah ke cinta abadi.
Selain itu, Pengarah Kreatif PTS, Tuan Hisham, yang berasa rendah diri dengan kisah cintanya yang tidak sehebat kisah cinta Tuan Rambai, terpaksa mengambil alternatif membuat kajian ke atas drama-drama yang bertemakan cinta. Kajian dilakukan ke atas beberapa filem cinta agung antaranya filem Melayu seperti Sembilu dan Sabarudin Tukang Kasut, filem Korea seperti Winter Sonata serta tidak ketinggalan filem Hindustan yang sememangnya wajib bertemakan cinta iaitu Kuch-Kuch Hota Hai dan beberapa filem lain yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan dengan jayanya.
Kebanyakan koleksi filem-filem yang dinyatakan adalah DVD hak milik Tuan Iwan. Tuan Zaidi pula pada awalnya sedikit berkira meminjamkan koleksi filem Shah Rukh Khannya namun akhirnya beralah kerana bimbang dengan ugutan Tuan Hisham yang ala-ala Om Puri.
Bagi memantapkan lagi feel cinta itu, PTSGrafik juga giat mendengar lagu-lagu cinta evergreen seperti lagu Nak Dara Rindu dan Tanya Sama Pokok dari zaman Allayarham P. Ramlee, lagu Kerana Kau dari zaman Alleycats, lagu Munajat Cinta dari kumpulan The Rock (kira muzik kumpulan ini pilihan masa kinilah) serta beberapa lagu ‘masyuk’ yang lain.
Oleh itu, jangan berasa pelik apabila terdengar ayat-ayat cinta puitis mahupun lagu-lagu meruntun jiwa di bilik PTSgrafik kerana PTSgrafik sememangnya dalam mood bercinta bagi mencari kelainan dan menjayakan penghasilan karya cover buku yang terbaik.
Rasakan penangan cinta PTSgrafik melalui hasil karya cover terbitan PTS!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment