Saturday, December 30, 2006

Surah Yusuf dan Unsur ‘kecacatan’

Kisah hidup Nabi Yusuf adalah kisah cinta yang paling indah pernah berlaku dalam sejarah manusia.

Akan hal ini, ia diperakukan oleh Allah sendiri dalam ayat ke-3 yang bermaksud, "Kami sampaikan kepadamu (wahai Muhammad), sebuah kisah yang paling indah."

Banyak perkara menarik tentang prinsip dan teknik menulis novel Islami dapat digali daripada surah Yusuf.

Sebagai contoh, dalam surah Yusuf, tidak ada watak yang cacat anggota ataupun cacat mental. Semua watak dalam kisah Nabi Yusuf adalah manusia normal-normal belaka, kecuali Nabi Yusuf yang amat tampan dan amat beriman.

Walaupun Nabi Yaakub menjadi buta disebabkan banyaknya menangis mengenangkan anak kesayangannya yang dikatakan mati dimakan serigala oleh abang-abang Nabi Yusuf, tetapi penglihatan beliau kemudian pulih seperti sedia kala.

Ini bermakna, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, unsur kecacatan bukan unsur keindahan.

Contoh kecacatan adalah:

(a) Cacat mental yang biasa berlaku seperti gila, hilang ingatan, bingung, lurus bendul, pelupa dan lain-lain.

(b) Cacat fizikal yang biasa berlaku seperti kudung, buta, pekak, bisu, sumbing, katik, terlalu gemuk, hitam ataupun tempang dan lain-lain.

(c) Cacat upaya yang biasa berlaku seperti sakit terlantar, sakit misteri dan lain-lain.

(d) Cacat psikologi yang biasa berlaku seperti egoistik, cemburu buta, kedekut, tamak harta, kuat berlagak, akal pendek, gopoh-gapah, dan lain-lain.

Kelemahan pada watak-watak yang terdapat dalam surah Yusuf adalah jenis yang jarang berlaku:

(a) Perempuan-perempuan bangsawan tergoda melihat lelaki muda yang amat tampan sehingga tidak sedar mereka terpotong jari mereka sendiri, meskipun lelaki itu adalah seorang yang amat rendah kedudukan sosialnya.

(b) Adik-beradik yang berebut kasih sayang ayah sehingga sanggup hendak membunuh adik mereka yang paling disayangi oleh ayah mereka.

(c) Seorang ayah yang tersangat sabar ke atas tingkah laku buruk anak-anaknya, sehingga dia tidak mengambil tindakan ke atas anak-anaknya meskipun mereka menderhaka kepadanya, sebaliknya dia cuma asyik menangis sehingga kedua-dua matanya menjadi buta dan dikatakan oleh orang kampungnya dia sudah jadi gila.

Tuhanlah yang lebih mengetahui.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Novel
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Panggilan Travelogue Previous entry: Apa Itu KJ Method?

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.