Sunday, November 26, 2006

Surah Yusuf: Istilah “Sastera Islam” Lwn Istilah “Sastera Syariah-Compliant”

Sekian lama kita membincangkan konsep sastera Islami dengan menggunakan istilah "Sastera Islam". Penggunaan istilah sastera Islam menyebabkan timbulnya lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah.

Masalah yang paling panas dibincangkan adalah polemik yang tak habis-habisnya adalah polemik tentang definisi teknikal apa itu yang dikatakan karya sastera Islam.

(a) Ada yang mengatakan sastera Islam mesti ditulis oleh orang beragama Islam sahaja.

Maka timbul isu bagaimana status sastera agung dunia yang ditulis oleh orang bukan Islam yang kandungannya tidak bertentangan dengan Islam. Apakah Islam menolak khazanah itu sebagai khazanah yang bermanfaat dibaca oleh orang Islam?

Juga bagaimanakah status karya-karya yang ditulis sebelum si penulis masuk Islam, ataupun sebelum si penulis keluar Islam.

(b) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mesti ditulis dengan adanya NIAT mahu menulis kerana Allah semata-mata.

Maka timbul isu bagaimanakah kriteria ini dapat dipastikan kerana isu niat si penulis adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh yang empunya diri. Bagaimana mungkin seseorang itu mengetahui apa niat individu lain.

Juga, niat yang betul tidak menjamin karya yang dihasilkan itu Islamik.

(c) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mestilah kandungannya dengan terang dan jelas selaras dengan worldview Islam.

Maka timbul masalah kekaburan tentang kriteria keselarasan kandungan karya dengan worldview Islam. Sebagai contoh, bagaimanakah status karya yang bertemakan worldview Syiah, apakah ia dapat diterima sebagai sastera Islam dalam konteks masyarakat yang anti-syiah?

Sementara tokoh-tokoh sastera terus ghairah berpolemik, ketiga-tiga isu di atas mempunyai implikasinya ke atas (a) dasar penerbitan dan (b) dasar editorial sesebuah penerbit seperti PTS FORTUNA Sdn. Bhd. yang fokus pada penerbitan karya sastera Islami.

Dasar penerbitan

Dasar ini menentukan apa yang boleh diterbitkan dan apa yang tidak boleh diterbitkan oleh penerbit. Dasar ini sebenarnya adalah dasar perniagaan sesebuah syarikat penerbitan berkenaan jenis-jenis produk yang diperdagangkannya.

Dasar penerbitan menentukan karya yang ditulis oleh siapa, dan karya yang bagaimana isi kandungannya, yang boleh diterbitkan dan yang tidak boleh diterbitkan oleh PTS FORTUNA.

Disebabkan adalah dasar penerbitan PTS bahawa ia hanya menerbitkan buku-buku yang sesuai dengan Islam, jikalau apa yang didefinikan sebagai 'sastera Islam' itu semestinya ditulis oleh orang Islam, ini bermakna PTS tidak akan menerbitkan terjemahan sastera dunia seperti karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Sebagai contoh sahaja... dasar penerbitan yang tidak konkrit, dapat mencetuskan konflik pahit antara PTS dengan pengarang Cina yang menghantar novelnya, konon atas hujah pengarang itu bukan Islam. (Nanti jika dia sudah masuk Islam, barulah karyanya diterbitkan!)

Dasar editorial

Dasar ini menentukan kuasa-kuasa dan akauntabiliti para editor PTS FORTUNA apabila menyediakan sesebuah manuskrip bagi penerbitan.

Dasar ini menentukan unsur-unsur yang mesti ditukar, ataupun dipotong dan dibuang oleh editor PTS sebelum sesebuah manuskrip itu diterbitkan.

Dasar editorial yang tidak konkrit juga dapat mencetuskan konflik pahit dan personal dengan penulis yang tidak puas hati dengan penerbit yang meminda manuskrip asal.

Justeru, dalam operasi hariannya, PTS FORTUNA menggunakan manual editorial yang digubal berdasarkan konsep dan istilah "sastera syariah-compliant". Istilah ini adalah istilah legal. Ia menyenaraikan unsur-unsur yang tidak boleh ada dalam sesuatu manuskrip yang bakal diterbitkan.

Konsep sastera syariah-compliant adalah konsep yang amat teknikal. Konsep ini memisahkan antara 'creator' yakni sang pencipta daripada 'creation' yakni ciptaannya.

Konsep sastera syariah-compliant itu difokuskan pada produk, yakni pada karya, bukan pada karyawan.

Konsep "syariah-compliant" diamalkan dalam industri makanan dan perbankan. Justeru sijil HALAL, suatu dokumen perakuan rasmi bahawa sesuatu produk itu syariah-compliant, diberikan kepada produk, bukan kepada pencipta produk.

Dengan meminjam konsep dan istilah "syariah-compliant" daripada industri makanan dan perbankan, maka PTS dapat mengamalkan dasar penerbitan yang membolehkan ia menerbitkan karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Bagi mendapatkan kriteria teknikal ciri karya yang syariah-compliant, buat masa ini PTS menggunakan surah Yusuf sebagai rujukan, sehingga kita berjaya mengembangkan lagi teori dan teknik penulisan kreatif berdasarkan kajian yang lebih luas dan mendalam ke atas teks al-Quran.

Allah jualah yang maha mengetahui.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(22) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Previu Travelogue Tuan Sheikh Alang Previous entry: Dari Novel ke Filem: Surah Yusuf Lwn Kritik Sastera Aliran Barat
alang kelana  on  11/26  at  07:47 AM

Assalamu’alaikum Sifu, Pak Rastom, et al,

Di dalam memenuhi ciri-ciri syariah-compliant, penterjemahan karya -karya barat seperti Shakespeare & Arthur Conan Doyle (siri Sherlock Holmes) mungkin menghadapi beberapa cabaran:

(1) Nilai-nilai yang dikemukan di dalam karya-karya tersebut yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam;
(2) Amalan-amalan yang dipaparkan juga mungkin bercanggah dengan syariah, seperti berjudi, minum arak, mengambil dadah;
(3) Kepercayaan tahyul, karut, dan lain-lain yang menyalahi Islam;
(3) Dialog-dialog yang bercanggah dengan Islam.

Apakah yang boleh dilakukan oleh para penterjemah menyelesaikan masalah-masalah ini?
——-

Puan Ainon Mohd.  on  11/26  at  08:01 AM

Sheikh Alang,

Isu-isu yang tuan kemukakan itu amat relevan dan amat pertinent pada DASAR EDITORIAL sesebuah penerbit.

Justeru Ketua Editor di jabatan editorial semestinya menggubal manual editorial yang menangani isu-isu yang tuan tuliskan itu.

Pada prinsipnya, manual editorial yang digunapakai bagi mengedit karya asal adalah serupa dengan manual yang digunapakai bagi mengedit karya terjemahan! (Ini pegangan saya peribadi buat masa ini. Tentu sekali pegangan saya ini mengundang polemik dengan sasterawan aliran konvensional.)

rastom  on  11/26  at  08:05 AM

Puan Ainon, Tuan Alang:

Tergerak hati saya untuk menukar tabiat Sherlock Holmes kepada seorang yang ketagih sirih-pinang dan sogek.

Puan Ainon Mohd.  on  11/26  at  08:11 AM

Kah kah kah…. (saya gelak sampai keluar air mata!)

Pak Rastom ini tak habis-habisnya nampak benda-benda yang tak fikir oleh saya!

rastom  on  11/26  at  08:21 AM

Puan Ainon dan Tuan Alang:

Bagaimana kalau saya tukar pula kata kata seruan Sherlock Holmes dan lain lain penutur dari dunia barat seperti Oh my God jadi Ya Allah atau Ya Rabbi, atau cukup hanya ..Ya Tuhanku (tiada ummph)

alang kelana  on  11/26  at  08:40 AM

Cadangan saya supaya menukarkan tabiat2 tidak syarie dalam karya yang diterjemah:

(1) Ambil dadah (Holmes)-minum teh ‘o’ (orang Inggeris memang suka minum teh)

(2) Minum arak - kepada minum kopi jenis mahal - cuma saya kurang pasti zaman Conan Doyle sudahkah ada cappucino?

(3) Seruan “My God” mungkin kurang sesuai ditukar kepada “Ya Allah” atau “Ya Rabbi”, melainkan kita ubah watak Holmes menjadikan beliau seorang penyiasat yang baru mengenal Islam dan baru memeluk Islam (mu’alaf) jadi kita kena buat satu episod bagaimana Holmes menolong seorang Sheikh (dari Iraq atau Sudan !!!cadangan tajuk: The Mystery of the Sheikh of the Sudan’s White Turban) dan dari peristiwa itu beliau berminat dengan Islam dan memeluk Islam. Nama yang dia pakai Muhammad Saiful Islam Sherlock Holmes Abdullah, sesuai kah?

Ini boleh menyelesaikan banyak problem, cuma dari segi etika penterjemahan, adakah ini dibolehkan?

rastom  on  11/26  at  08:45 AM

Tuan Alang:
Hahahaha! Saya suka idea ini! Tentang etika, kena tanya Puan Sifu. Mesti hit punya!

alang kelana  on  11/26  at  09:07 AM

Jika Puan Sifu & Pak Rastom setuju tentang ‘keIslaman” Holmes itu, maka saya minta izin untuk menulis episod “The Mystery of the Sheikh of the Sudan’s White Turban”...

alang kelana  on  11/26  at  09:09 AM

Maksud saya, saya tulis yang ‘original’ versi inggeris dan Pak Rastom yang terjemahkan…ehehehe

Puan Ainon Mohd.  on  11/26  at  01:14 PM

Sheikh,

Jangan lupa, jika Holmes masuk Islam, harus ada episod ehem… ehem…!

rastom  on  11/26  at  01:37 PM

Puan, dengan Holmes, babak ehem-ehem dalam era Victorian lebih terkawal (mungkin lebih sopan dari novel remaja Melayu masakini) maka tiada masalah masukkannya.

Puan Ainon Mohd.  on  11/26  at  02:01 PM

Untu makluman Tuan Rastom dan Sheikh Alang,

Disebabkan siri penyiasatan Holmes sudah luput tempoh hakciptanya, pada masa ini sudah ada sekumpulan penulis yang menyambung siri itu dengan menulis karya-karya mereka sendiri tetapi terus menggunakan watak2 dalam siri Holmes yang asal.

Justeru, dari sudut legalnya, kita di Malaysia boleh menubuhkan kelab peminat Holmes dan kita menulis cerita2 siasatan Holmes versi Melayu-Islam.

alang kelana  on  11/26  at  02:15 PM

Kita boleh masukkan babak hero penyiasat kita iaitu Muhammad Saiful Islam Sherlock Holmes Abdullah, terpikat dengan beberapa wanita Sudan, dan wanita Iraq.

Episod ini kita buat Dr Watson sebut: “Kisah tentang Holmes memeluk Islam dan ketangkasan beliau menyelesaikan misteri kisah serban Tuan Sheikh di Sudan ini sengaja saya sembunyikan demi menjaga kepentingan beliau di dalam hubungan dengan Istana Buckingham dan Whitehall.

“Lagipun ketika itu Holmes masih lagi menolong beberapa ahli Keluarga Di Raja Britain serta seorang ahli politik kabinet yang mendapat dokongan kuat Whitehall, maka berita keIslaman beliau mungkin menjejaskan hubungan dengan mereka.

“Jelas juga ketidakfahaman pihak Istana terhadap poligami yang diamalkan oleh orang-orang Muslim, terutama kisah cinta Holmes dengan anak penghulu El-Obaied dan anak Sheikh Khartoum tentulah akan meletakkan Holmes di dalam keadaan serba salah di dalam menerangkan nya kepada Ratu Victoria.

“Lagipun luka Britain selepas tragedi General Gordon terbunuh di Sudan oleh tentera Al-Mahdi pun belum pulih sepenuhnya, maka jika kisah Holmes menolong seorang Sheikh dari Khartoum tentunya akan tersiar di akhbar, maka sudah tentulah merumitkan lagi keadaan Holmes…”

rastom  on  11/26  at  02:19 PM

Sherlock Holmes jadi Sheikh Lakhum?

alang kelana  on  11/26  at  02:21 PM

Kalau kita ingin menulis cerita2 siasatan Holmes versi Melayu-Islam, maka sudah tentunya episod Holmes menyiasat masalah Sheikh Sudan ini merupakan episod utama yang mana episod2 selepas ini bergantung kepada kehebatan episod “The Mystery of the Sheikh of the Sudan’s White Turban” mesti betul-betul logik dan diterima akal….

Betul tak, Puan Sifu, Pak Rastom..?

rastom  on  11/26  at  02:22 PM

Tuan Alang!
Menarik sungguh! Ada konspirasi besar BArat lwn Timur. Persepsi Barat vs Timur. Ada potensi.

rastom  on  11/26  at  02:26 PM

Puan Ainon, Tuan Alang:

Saya selalu fikir mau ubah ayat ayat pertama dalam setiap bab mengikut teori Sifu, malangnya seperti yang kita lihat ayat pertamanya terlalu panjang berjela dan langsung tak menarik..kalau dibebaskan keterikatan mungkin lebih menarik jadinya.

Puan Ainon Mohd.  on  11/26  at  08:43 PM

Tuan Rastom & Sheikh Alang,

Saya sangat teruja! membaca ayat-ayat Sheikh Alang….

“Kisah tentang Holmes memeluk Islam dan ketangkasan beliau menyelesaikan misteri kisah serban Tuan Sheikh di Sudan ini sengaja saya sembunyikan demi menjaga kepentingan beliau di dalam hubungan dengan Istana Buckingham dan Whitehall.

“Lagipun ketika itu Holmes masih lagi menolong beberapa ahli Keluarga Di Raja Britain serta seorang ahli politik kabinet yang mendapat dokongan kuat Whitehall, maka berita keIslaman beliau mungkin menjejaskan hubungan dengan mereka.

“Jelas juga ketidakfahaman pihak Istana terhadap poligami yang diamalkan oleh orang-orang Muslim, terutama kisah cinta Holmes dengan anak penghulu El-Obaied dan anak Sheikh Khartoum tentulah akan meletakkan Holmes di dalam keadaan serba salah di dalam menerangkan nya kepada Ratu Victoria.

“Lagipun luka Britain selepas tragedi General Gordon terbunuh di Sudan oleh tentera Al-Mahdi pun belum pulih sepenuhnya, maka jika kisah Holmes menolong seorang Sheikh dari Khartoum tentunya akan tersiar di akhbar, maka sudah tentulah merumitkan lagi keadaan Holmes…”

........luar biasa otak Sheikh kita ini! Amat kreatif mencipta penyelesaian masalah bagaimana menyambung plot dalam versi asal dengan versi Islami!

A++ untuk ‘design-thinking’ beliau!

alang kelana  on  11/27  at  12:29 AM

Bolehkah saya terima ini sebagai isyarat lampu hijau untuk saya tulis draf pertama kisah episod “The Mystery of the Sheikh of the Sudan’s White Turban” yang menceritakan titik permulaan langkah-langkah ‘pembinaan’ watak Holmes yang Islamik?

Kalau ‘ya’ bolehlah saya mulakan mulai menulisnya malam ini juga.

Siapa tahu, mungkin episod ini kelak akan menimbulkan kontroversi di kalangan para peminat Holmes seperti persatuan “Baker Street Irregulars” dan sebagainya, dan dengan kisah kontroversi itu sendiri akan menambah penjualan buku-buku terjemahan Pak Rastom…ehehe

Puan Ainon Mohd.  on  11/27  at  02:18 AM

Sheikh, boleh tulis, cuma dari sudut strategi pemasarannya, kita perlu bangunkan komuniti peminat SH yang ori dulu, oleh itu sesudah siap semua terjemahan yang ori dan sudah ada dalam pasaran, baru kita sambung dengan Holmes masuk Islam….

Bab Holmes masuk Islam, untuk upacara ehem ehem itu, Tuan Rastom sudah setuju memasukkannya!

alang kelana  on  11/27  at  03:43 AM

Puan Sifu, Tuan Rastom,

Alhamdulillah, Segala urusan ‘kenduri’ bagi saudara baru Muhammad Saiful Islam Sherlock Holmes Abdullah sudah di dalam jadual Tuan hendaknya…:)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  12/30  at  04:18 AM

Sungguh menakjubkan perbincangan golongan intelek dalam forum ini. Reka cerita Holmes masuk Islam kerana masalah yang timbul berkaitan konflik budaya penterjemahan Shelock Holmes. Sesuatu terjemahan tentu saja boleh disesuaikan dengan pembaca sasaran jika keadaan memerlukan. Namun dalam menterjemah, hak cipta penulis asal perlu dihormati. Lebih-lebih lagi dalam menterjemah hasil sastera, keaslian teks perlu dititikberatkan dari sudut isi kandungan dan stail. Apa erti menterjemah hasil sastera luar jika cerita, plot, watak dan isunya diadaptasi sepenuhnya hingga menghilangkan keasliannya. Lebih baik tulis cerita berlatarbelangkan budaya Melayu seperti hikayat Spy Leman ke atau Shamsul Hafiz ke. Pembaca di Malaysia tentu tahu yang Holmes tu seorang Inggeris beragama kristian. Takkan sebeb Holmes minum arak ,merekapun nak ikut minum arak juga.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.