Monday, February 08, 2010

Teori Surah Yusuf: Sejahat Manakah Kejahatan Watak-watak Jahat

Dalam surah Yusuf, terdapat lebih banyak watak jahat daripada watak baik. Watak-watak jahat itu adalah Siti Zulaikha dan sembilan abang-abang Nabi Yusuf, menjadikan 10 orang semuanya.

Yang menjadi persoalan adalah, bagi menghasilkan sebuah cerita yang indah dan syariah-compliant, sejahat manakah sifat-sifat jahat watak-watak jahat itu perlu digambarkan? Perlukan watak-watak jahat itu digambarkan sebagai manusia yang tersangat-sangat jahat, ataupun tidak berapa jahat, ataupun jahatnya hanya sedikit sahaja?

Dalam erti kata yang lain, bagi menghasilkan sebuah cerita yang syariah-compliant dan indah, salah satu persoalan yang perlu dijawab adalah: Berapakah banyakkah sifat-sifat jahat yang patut ada pada seseorang watak jahat?

Suatu contoh watak jahat yang tersangat jahat adalah di mana watak itu bukan hanya seorang perasuah, malah dia juga pemabuk, penzina, pengamal sihir, tamak harta, panas baran, dan suami yang kasar kepada anak isterinya.

Dalam teori surah Yusuf, watak-watak jahat adalah manusia-manusia yang sebenarnya baik, tetapi mereka telah melakukan kesilapan. Siti Zulaikha melakukan dosa kerana dia cuba menggoda Nabi Yusuf, manakala abang-abang Nabi Yusuf pula melakukan dosa kerana mereka cuba membunuh Nabi Yusuf.

Punca yang menyebabkan watak-watak jahat itu melakukan dosa itu pula adalah kelemahan yang ada pada diri mereka sendiri. Kelemahan itu pula adalah kelemahan sifat semulajadi yang diciptakan oleh Allah bagi semua manusia.

Allah mencipta manusia dengan diberikan fitrah mempunyai nafsu yang menyukai benda-benda yang cantik dan indah-indah pada pandangan mata kasar mereka. Siti Zulaikha adalah manusia biasa, oleh itu dia tergoda melihat keelokan rupa paras Nabi Yusuf, sebagaimana perempuan-perempuan lain juga turut terkesima apabila terpandang Nabi Yusuf sehingga mereka terpotong jari masing-masing.

Justeru, Siti Zulaikha melakukan dosa itu bukan kerana dia seorang perempuan yang jahat karekternya, sebaliknya dia seorang perempuan yang baik, hanya sahaja dia menjadi terlalu lemah apabila jatuh cinta sehingga dia hilang pertimbangan dan tidak dapat mengawal perasaannya terhadap lelaki yang dicintainya. Dan Siti Zulaikha hanya sekali itu sahaja melakukan dosa, yakni dia bukan seorang jahat yang konsisten melakukan dosa-dosa.

Bukti Siti Zulaikha seorang perempuan yang baik adalah pada kenyataan bahawa dia seorang majikan yang melayan hambanya dengan baik sekali, yakni dengan memberikan makanan yang baik-baik dan pakaian yang baik-baik. Itulah yang menyebabkan Nabi Yusuf membesar menjadi lelaki yang elok rupa parasnya, kerana dia hamba yang diberi cukup makan dan memakai pakaian yang elok. Jika Siti Zulaikha seorang majikan yang kedekut dan zalim, yang memaksa hambanya bekerja kuat macam keldai, serta tidak diberi makan secukupnya, sehingga tubuh mereka menjadi kurus, dan kulit mereka terbakar matahari, sedangkan pakaian mereka pula hanya bercawat, tentulah Nabi Yusuf tidak kelihatan elok rupa parasnya.

Dalam kes dosa yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf, mereka bukan orang-orang yang konsisten melakukan kejahatan. Seperti Zulaikha, mereka juga hanya sekali melakukan dosa.

Punca yang menyebabkan mereka cuba membunuh Nabi Yusuf adalah kelemahan yang ada pada diri mereka. Kelemahan itu adalah ciri sifat semula jadi manusia yang diciptakan oleh Allah sendiri. Adalah fitrah manusia mahu disayangi oleh ibu bapa. Keinginan abang-abang Nabi Yusuf supaya diri mereka disayangi ayah adalah sifat yang baik.

Persaaan cemburu juga diciptakan oleh Allah dan diberikan kepada manusia. Hanya sahaja, dalam kes abang-abang Nabi Yusuf itu mereka terlalu cemburu dalam persaingan mahu menjadi kesayangan ayah.

Abang-abang Nabi Yusuf adalah anak-anak yang baik. Mereka menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua dengan baiknya. Semasa negeri Palestin ditimpa kemarau yang buruk sehingga mereka berdepan dengan kebuluran, mereka berjalan kaki dan menaiki unta di tengah panas padang pasir beratus-ratus kilometer pergi ke Mesir bagi membeli gandum, lalu membawa pulang untuk makanan kedua ibu bapa mereka.

Mereka juga anak-anak yang mematuhi suruhan ayah mereka. Semasa hendak ke Mesir kali kedua, ayah mereka menyuruh mereka supaya memasuki kota Mesir dengan melalui pintu-pintu lain, mereka patuh kepada arahan itu.

Justeru, dalam teori surah Yusuf, watak jahat adalah sebenarnya watak-watak yang baik tetapi hanya sanya mereka juga mempunyai kelemahan fitrah manusia. Dan mereka hanya melakukan dosa sekali sahaja.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(7) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Teknik Surah Yusuf: Jumlah Kejahatan yang Dilakukan oleh Watak-watak Jahat Previous entry: Pengaruh Jurang Usia ke atas Hubungan antara Editor dengan Penulis
Shah  on  02/08  at  09:30 PM

Informasi yang menarik dan berguna sebagai rujukan. Terima kasih, Puan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/09  at  06:25 AM

Minta maaf sekiranya tulisan ini menyinggung mana-mana pihak yang tertentu. Tetapi setelah saya membaca entri puan berkaitan Teori dan Teknik Surah Yusuf, saya tertanya kepada diri saya sendiri siapakah yang menentukan sesuatu novel itu syariah atau tidak. Baiklah, sekiranya pihak PTS sendiri mengklasifikasikan sesuatu novel yang dihantar kepadanya syariah-compliant atau tidak, maka itu menjadi hak PTS tetapi pihak mana pula yang telah memberi pengesahan bahawa Teori dan Teknik Surah Yusuf yang diamalkan di PTS sahaja yang boleh di katakan sebagai mengikut syariah-compliant dan penerbit-penerbit yang lain tidak syariah-compliant?

Melalui perbincangan yang dapat saya petik, terdapat beberapa perkara yang saya musykil:
a.  Adakah benar kejahatan Zulaikha hanya menggoda nabi Yusuf sahaja? Bagaimana dengan kejahatannya menurut hawa nafsu kemudian dia terpaksa melakukan kesalahan menipu kemudian memfitnah nabi Yusuf. Jadi ternyatalah bahawa tiada kejahatan berganda dalam kisah Zulaikha-Yusuf tidak begitu tepat.
b.  Adakah benar abang-abang Yusuf tidak konsisten melakukan dosa?

Secara logiknya, sekiranya kita ingin menjadikan cerita watak seseorang yang hanya satu sahaja jahatnya maka sudah tentu cerita itu kelihatan hambar dan tidak menurut realiti sebenar. Sebuah kisah yang saya rasa sudah dibaca oleh kebanyakan orang ialah kisah seorang abid yang kecundang hanya disebabkan ceteknya ilmu. Daripada seorang ahli ibadat bertukar menjadi penzina, peminum arak, membunuh, menipu, membunuh lagi dan akhirnya mati dalam kedaan yang menyesatkan. Adakah kisah yang betul-betul menikam kalbu pembaca ini tidak menuruti Teori dan Teknik Surah Yusuf maka ia juga akan dikategorikan sebagai sebuah kisah yang tidak syariah-compliant?
Secara realtitnya kehidupan manusia juga bukannya seperti yang puan cuba sogokkan dalam teori puan. Seorang manusia yang apabila mengikut sahaja hawa nafsunya akan mula bergelumang dengan pelbagai jenis dosa. Sebagai contoh seorang isteri yang bermain sms dengan lelaki lain di belakang suaminya. Kejahatannya yang pertama ialah dia akan mula jatuh cinta dengan lelaki lain. Kemudian dia akan jadi seorang penipu apabila suaminya mula dapat menghidu kecurangannya. Pada masa yang sama dia akan berubah menjadi seorang yang suka berhias dan membuka aurat. Kejahatannya akan berganda apabila dia ingin bertemu kekasih. Kemudian dia akan bermain mata dan berpegang-pegangan dan akhirnya berzina. Bagaimana agaknya teori untuk mengatakan tidak ada kejahatan yang berganda dalam suatu bentuk novel syariah? Kalau tidak tiga atau empat kejahatan, sekurang-kurang seorang yang jahat itu akan membuat lebih daripada satu kejahatan. Walaupun yang ingin dihighlightkan hanyalah kejahatan isteri yang curang tetapi di dalam ceritanya pasti akan wujud pelbagai kejahatan lain yang membawa kepada kemuncak cerita.

Puan juga cuba sogokkan bahawa melalui teori puan, yang pertama, watak jahat sebenarnya bukan manusia yang jahat. Asalnya mereka ialah manusia yang baik. Watak-watak jahat adalah manusia-manusia yang sebenarnya baik, tetapi mereka telah melakukan kesilapan. Siti Zulaikha melakukan dosa kerana dia cuba menggoda Nabi Yusuf. Semua sedia maklum bahawa manusia asalnya memang dilahirkan dalam keadaan suci bersih fitrahnya. Didikan, persekitaran dan pelbagai anasir di sekelilingnya akan merubah manusia tersebut sama ada kekal bersih atau jahat.

Yang kedua,  walaupun seseorang itu jahat tetapi keseluruhannya mereka baik. Punca yang menyebabkan watak-watak jahat itu melakukan dosa itu pula adalah kelemahan yang ada pada diri mereka sendiri. Zulaikha sebenarnya baik cuma dia terkesima dan tidak dapat menahan nafsunya apabila melihat Yusuf. Pada pandangan saya, sebaik sahaja Zulaikha tidak dapat mengawal nafsu dan menurut hawa nafsunya dan kemudian menipu dan memfitnah, ketika itu kita akan katakan bahawa dia sebenarnya memang berbuat jahat tidak kiralah sebelum ini dia telah berbuat seribu kebaikan sekalipun.

Pada pengalaman saya, hampir dalam semua cerita yang kita tahu sama ada melalui lisan maupun tulisan, watak kedua yang terselindung di sebalik watak jahat seseorang sebenarnya masih mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai yang baik yang tersembunyi dalam jiwanya. Cuma, sebaik sahaja seseorang melakukan satu kejahatan maka kita tetap golongkannya sebagai pembuat maksiat. Kejahatan dan kebaikan memang tidak dapat bercampur malahan di dalam diri manusia hanya ada satu hati sahaja. Kalau jahat hatinya maka jahatlah dia, kalau baik hatinya maka baiklah dia.

Cuma yang membezakan bentuk kejahatan yang dilakukan. Kalau seorang baik melakukan satu kesalahan yang sangat besar seperti membuang seseorang ke dalam perigi dengan niat untuk melenyapkannya dari muka bumi maka pada pandangan saya orang itu memang sejahat-jahat manusia dan harus dihukum dengan hukuman yang setimpal walaupun asalnya dia seorang yang baik. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menganalisis tahap kejahatan seseorang itu? Adakah disebabkan syaitan Laknatullah hanya menggoda Siti Hawa sekali sahaja maka kita golongkan dia sebagai makhluk yang tidak begitu jahat?

Sekian, bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi sekadar untuk renungan dan dibincangkan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/09  at  07:26 AM

Apabila kita semak memang kisah manusia menjadi jahat dalam Quran secara konsisten mengetengahkan satu jenis kejahatan oleh pelakunya.

1. Kisah Adam yang memetik buah larangan (1)
2. Kisah Habil dan Qabil isu mahukan isteri yang cantik.

Jikalah encik Mokhtar kata kejahatan berganda. Saya lihat ia tetap hanya ada satu kesalahan dasar sahaja. Ia bukan kesalahan berlainan untuk perkara berlainan. Ada pattern yang konsisten dari satu peristiwa. Misalnya dalam komen encik Amir menggunakan contoh bapa yang ada pakej dosa yang pelbagai dan dari sudut-sudut lain. Tidak ada pattern di situ. Malah berlebih-lebih keadaannya. Meskipun realistik, contohnya amat menakutkan.

Cuma kita perlu semak balik apakah benar Zulaikha menipu atau pun Zulaikha yang mohon suaminya penjarakan Yusuf kerana tidak tahan dengan kehadiran Yusuf berhampiran.

Mari kita lihat ayat ini encik Mokhtar

12-32: Dia (wanita itu) berkata: “Inilah dia (orangnya) yang kerananya kamu mencela aku. Aku telah merayu kepadanya, inginkan dirinya namun, hatinya tetap teguh. Dan sekiranya dia ingkar kepada perintahku nescaya dia akan dipenjarakan dan dia termasuk orang yang hina.”

Zulaikha tidak membohongi dalam ayat ini. Jelas Yusuf dipenjarakan kerana tidak mahu memenuhi kehendaknya.

Fokus pada mazhab penerbitan PTS ini saya kira lebih memimpin penulis bertanggungjawab pada apa yang mahu diberikan oleh penulis pada pembaca. Kita jangan menurut langkah memberi alasan persis sang pengarah filem yang menguatkan hujah memaparkan realiti mat rempit, penagih dan perogol dalam filem. Tetapi apabila dikaji filem yang dikatakan mengetengahkan realiti untuk mendidik, sebenarnya ditonton kerana kejahatan yang dipaparkan itu menjadi tontonan menghiburkan.

Pengikut realist selalu tertipu dengan alasan ini hingga muncul penyakit yang sama dalam karya mereka. Pengalaman tanpa sandaran panduan yang arif sering memesongkan karya itu kembali.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/09  at  08:38 AM

Assalamualaikum wbt buat Wan Faizah,
Saya ingin puan betulkan‘Misalnya dalam komen encik Amir menggunakan contoh bapa yang ada pakej dosa yang pelbagai dan dari sudut-sudut lain. Tidak ada pattern di situ. Malah berlebih-lebih keadaannya. Meskipun realistik, contohnya amat menakutkan.’. Perlu dibetulkan kenyataan ini dipetik daripada khutbah Jumaat Puan Ainon dan semua pakej dosa seperti mengamalkan sihir, pelaku zina, pemabuk dan lain-lain adalah contoh yang diberi oleh Puan Ainon dan bukan berasal dari saya. (Baca Khutbah Jumaat)  Sekian terima kasih.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/09  at  10:48 PM

Barangkali betul, bila Tuan Mokhtar mengatakan seorang itu membuat lebih dari satu kejahatan. Cuma barangkali Puan Ainon, bercakap dalam ruang lingkup teknik Surah Yusuf sahaja, iaitu teknik penceritaan surah Yusuf. Bermakna mungkin Puan Ainon memaksudkan kejahatan yang dilakukan Zulaikha yang disebut Allah dalam surah Yusuf adalah masih datang daripada punca yang sama. Bermakna tidak ditonjolkan kejahatan yang lain, dalam aspek penceritaan (sahaja).

Kita juga tidak patut melupakan bahawa Al-Quran adalah kitab Petunjuk bukan kitab biografi, kerana itu bila seorang yang mungkin banyak buat salah, barangkali hanya satu atau dua sahaja kesalahan yang difokuskan Allah dalam sesuatu jaulah/anekdot/episod.Walaupun dia ada banyak kesalahan lain. Kalau kitab biografi, maka tentulah semua kesalahan akan dibongkar atau semua kebaikan akan ditonjolkan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/10  at  08:06 AM

Saya bersetuju dengan pendapat Tuan Mokhtar bahawa Quran adalah kitab petunjuk dan bukannya sebuah biografi dan apalagi sebuah novel.

Quran adalah kitab panduan, mustahil untuk mencerita semua kejahatan pelaku dalam beberapa muka surat. Tetapi penulis novel seorang manusia dan seharusnya diberi kebebasan untuk menceritakan lebih dari satu kejahatan sesuatu watak itu. Mungkin sukar bagi seorang penulis novel hanya menggambarkan satu kejahatan sahaja pada satu-satu watak dengan ketebalan novel sehingga 600 muka surat.

Sebagai contoh sekiranya watak jahat yang ingin ditonjolkan dari awal hingga akhir ialah menggoda wanita sahaja, maka mungkin jalan ceritanya hanya akan berkisar sekitar itu sahaja. Maka novel penggoda wanita itu akan disahkan sebagai syariah-compliant sebab hanya melibatkan prinsip satu dosa yang ingin diketengahkan oleh PTS Tetapi apabila sesuatu watak yang dipilih ialah seorang peminum arak, maka sudah pasti akan terbit banyak lagi kejahatan akibat perbuatan minum arak itu. Jadi bagaimana untuk mengaplikasikan teori dan teknik surah Yusuf, watak-watak jahat melakukan hanya SATU kali kasalahan utama sahaja. Sedangkan peminum arak akan melakukan bukan hanya satu tetapi banyak kesalahan dan dosa besar?

Saya ingin bertanya adakah prinsip satu dosa dan satu kesalahan utama wujud dalam novel-novel Islam lain?

Riduan Khairi  on  02/15  at  10:48 PM

Tuan Mokhar yang dihormati,

Mari sama-sama kita hadir bengkel kajian Puan Ainon. Beliau bukan manusia sempurna @ maksum. Pun begitu apa yang beliau nukilkan itu semuanya berdasarkan kajian beliau selama bertahun-tahun terhadap Al-Quran dan Surah Yusof.

Saya mengikuti kajian beliau sejak tahun 2006 lagi. Tidak pernah jemu.

Dan Puan Ainon, seorang yang terbuka dan rendah hati orangnya. Beliau bersedia menerima pandangan dan kritikan, asalkan berdasarkan hujah dan fakta.

Semoga kita semua beroleh taufik dan hidayah.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: