Sunday, February 19, 2006

Surah Yusuf: Subjek dalam Dialog

Apabila menuliskan dialog dalam cerita, kita cenderung memasukkan nama orang yang disapa dalam dialog itu. Sebagai contoh, “Osman, kenapa kamu menangis?” ataupun “Apa khabar, Pak Long?” Osman dan Pak Long adalah nama-nama orang yang disapa. Ciri ini tidak terdapat dalam surah Yusuf.

Penulisan dialog dalam surah Yusuf menunjukkan beberapa ciri menarik. Salah satu ciri itu adalah hampir tiada nama orang yang disapa dalam dialog, kecuali dalam dua ayat di bawah:

(a) “Wahai Yusuf! Lupakan sahaja peristiwa ini!....” (ayat 29) Ayat ini diucapkan oleh suami Zulaikha apabila dia melihat sendiri baju Nabi Yusuf koyak di belakang akibat ditarik oleh isterinya.

Dalam ayat ini suami Zulaikha merayu kepada Nabi Yusuf supaya jangan membocorkan rahsia kejadian yang amat memalukan dirinya sebagai suami Zulaikha.

(b) “Wahai Yusuf! Wahai orang yang benar! Terangkan kepada kami makna mimpi....” (ayat 46)

Ayat ini diucapkan oleh bekas rakan banduan Nabi Yusuf yang datang kepada Nabi Yusuf bagi bertanyakan makna mimpi Raja Mesir. Dalam ayat ini belas banduan itu merayu kepada Nabi Yusuf supaya mentafsirkan makna mimpi Raja Mesir.

Berdasarkan surah Yusuf, kita dapat membuat kesimpulan:

1. Dari sudut pandang surah Yusuf, sebutan nama-nama orang yang disapa dalam dialog adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa.

2. Nama-nama orang yang disapa hanya digunakan dalam jenis-jenis ayat rayuan, sebagai contoh, ayat permohonan.

Berikut adalah contoh kesalahan pada penggunaan nama orang yang disapa dalam dialog disebabkan ayat-ayat di bawah bukan ayat rayuan, sebaliknya adalah ayat perbualan biasa.

“Jemputlah masuk, Tuk Guru (SALAH),” kata Mak Senah.

“Betul, Tuk Guru (SALAH). Jemputlah masuk ke rumah kami,” kata Pak Kemat. “Jemput duduk, Tuk (SALAH).”

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH). Hamba sebenarnya ada hajat datang ke sini.”

“Apa yang boleh hamba bantu, Tuk Guru? (SALAH)” tanya Pak Kemat.

“Hamba akan mengadakan majlis perkahwinan anak sulung hamba,” kata Tuk Guru, “hamba berharap sangat Kemat (SALAH) dan Senah (SALAH) dapat menolong apa yang patut.”

“Kalau begitu, tidak jadi masalah, Tuk (SALAH). Kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan setakat yang terdaya,” kata Pak Kemat.

“Bila akan diadakan majlis berkenaan, Tuk? (SALAH)” tanya Pak Kemat lagi.

“Pada bulan hadapan. Hamba harap Pak Kemat (SALAH) dan Mak Senah (SALAH) tidak keberatan,” kata Tuk Guru Dagang lagi.

“Tuk Guru (SALAH) jangan risau. Kami akan pergi ke rumah Tuk Guru (SALAH) dua hari lebih awal. Dapatlah kami membantu apa yang patut,” kata Pak Kemat.

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH),” balas Tuk Guru.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Bengkel Penulisan Buku-buku Bisnes Previous entry: Panduan Belajar dalam Bengkel
Romantis Selatan  on  04/04  at  01:09 AM

nampaknya ini mungkin suatu teknik baru… berbanding apa yang pernah saya baca… saya akan cuba…
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.