Surat Pilihan: Peguam Mahu Menjadi Penulis Sepenuh Masa
Semoga Puan berada di bawah lindungan rahmat dan kasih Allah sentiasa. Di kesempatan ini, saya mahu mengucapkan tahniah kpd PTS kerana semakin hari, semakin mantap.
Puan, baru-baru ini saya ada menjalani satu ujian aptitud. Mungkin puan sudah tahu apa itu ujian aptitud tetapi sebagai peringatan ujian aptitud ialah ujian menentukan kerjaya mana yang paling sesuai untuk seseorang individu. Ada tiga ujian utama di dalam ujian ini; Ujian Kebolehan, Personaliti dan Motivasi.
Di dalam Ujian Kebolehan, saya mendapat A untuk ujian Lisan, Akuiti dan Menafsir Objek 3-D. Berdasarkan keputusan tersebut di antara kerjaya yang boleh saya ceburi ialah sebagai peguam dan penulis. Saya amat berlapang dada dengan hasil ujian pertama ini memandangkan memang saya meminati kedua-dua kerjaya tersebut.
Masuk Ujian Personaliti dan Motivasi, kerjaya 'peguam' didapati tiada lagi dalam senarai. Dengan kata lain personaliti dan motivasi saya tidak menjurus kepada kerjaya tersebut berdasarkan ujian yang dijalankan. Yang tinggal... menjadi penulis....
Sebenarnya, sudah agak lama saya berkira-kira hendak menyelam terus di dalam kerjaya sebagai penulis. Tidak hidup dua alam. Cuma soalnya, orang-orang di sekeliling yang rapat dengan saya kurang bersetuju dengan kemungkinan pilihan kerjaya tersebut. Takut saya jadi kera sumbang dan anti-sosial. Tidak kurang juga yang bimbang tentang bagaimana saya mahu 'survive' sebagai penulis sepenuh masa.
Sebagai orang yang sentiasa saya hormati sebagai sifu saya, apa pendapat puan? Saya tidak risau sangat tentang rezeki. Saya yakin setiap manusia ada bahagian yang dikurniakan Tuhan. Yang penting kena bersyukur dengan nikmat yang diberi. Cuma, yang saya risau, kemungkinan transformasi diri saya kepada kera sumbang, anti-sosial dan juga 'freak' apabila memilih menjadi penulis sepenuh masa.
Terima kasih kepada Puan kerana sudi membaca emel ini. Respons Puan adalah amat-amat diharapkan. Wasslam.
IZ
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

apa jawapan dan respons untuk permasalahan tuan ini?
(Respon ini masuk melalui emel Sifu)
Salam,
Pertama sekali sebagai seorang Islam, saya kira lebih baik Sdr. IZ buat solat istikharah terlebih dahulu sebelum memilih kerjaya saudara.
Saya sebelum berhenti kerja, saya buat solat istikharah dulu, kemudian setelah kuat tanda-tanda dan alamat yang diperolehi, barulah saya nekad berhenti.
Saya bekerja sebagai seorang PTD selama 9 tahun. Tiada siapa pun yang menyokong apabila saya mahu berhenti kerja, kawan-kawan pun lari takut mahu berkawan dengan saya, tetapi saya yakin Allah akan beri laluan untuk saya bekerja mencari rezeki yang halal. Jadi saya berhenti sahaja, kalau hendak dengar cakap semua orang, kerja tak jadi.
Bayangkan, bahkan rakan saya yang bekerja sebagai kaunselor di kementerian pun tidak memberi reaksi yang positif apabila ditanyakan kepadanya.
Yakinlah, rezeki di tangan Allah, kalau sdr benar-benar yakin, Allah akan tunjukkan kepada sdr.
Seperkara lagi, saudara harus tahan telinga dengan orang-orang di sekeliling, terutama keluarga sendiri yang akan memberi ‘ceramah’ percuma kepada saudara. Kawan-kawan akan lari seperti yang saya katakan tadi.
Saudara harus punya kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi semua itu. Tanyakan diri saudara adakah saudara sudah cukup kekuatan untuk menghadapi semua itu?
Tetapi saya pegang satu, janji Nabi kita bahawa 9/10 adalah rezeki dalam meniaga, saya pegang itu kemas-kemas dan simpan dalam hati. Sedikit pun saya tidak goyah atau gusar untuk apabila berhenti kerja.
Memang sesekali ada hambatan perasaan yang mengatakan bolehkah aku hidup sebagai penulis ini, tetapi cepat-cepat saya beritahu diri saya, rezeki Allah yang punya, Nabi kita pun sudah berjanji, jadi padam semua keresahan itu.
Alhamdulillah, rezeki sebagai penulis tidak putus, tetapi saya katakan kepada saudara, harus punya pekerjaan sampingan yang lain. Selain menulis, saya menjadi editor freelance dan tenaga pengajar sambilan gendang silat, jadilah adalah cash flow, sebab kalau menunggu royalti novel/buku agak lambat.
Jadi saudara fikirkan masak-masak, buat perancangan dan pertimbangan yang semolek-moleknya. Kalau saudara bertanyakan kepada mereka yang bekerja makan gaji (maaf cakap), takkan ada yang setuju dengan saudara, tetapi kalau saudara bertanya orang seperti saya, saya sentiasa akan BERSETUJU, yakinlah dengan Allah…
Untuk makluman saudara (bukan mahu menunjuk-nunjuk), saya berkelulusan LLB dari UKM dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) selama 9 tahun dan menjawat jawatan penolong pengarah kanan dan bakal dinaikkan pangkat lagi sebelum saya berhenti kerja. Gaji saya cukup besar ketika itu, mencecah 5 angka tapi alhamdulillah Allah cukupkan rezeki saya sekarang ini walaupun bekerja sebagai penulis sepenuh masa.
Psssttt… saudara akan tahu bagaimana nikmatnya kerja sendiri bila sudah menjadi sepenuh masa… dan psssttt… saudara juga akan tahu pahit maung apabila bekerja sendiri nanti.
Susah dan senang adalah dua perkara yang berpasangan, ia akan datang dalam hidup sdr apabila kerja sendiri nanti, tetapi YAKINLAH dengan ALLAH, dia takkan membiarkan hamba-hamba-Nya yang berusaha untuk mencari keredhaan itu terbiar begitu sahaja.
Moga saudara membuat keputusan yang bukan sahaja betul tetapi tepat dalam memilih kerjaya nanti. Semoga sukses selalu.
SF
(Respon ini masuk melalui emel Sifu.)
Assalam alaikum wbt
Tuan Z.A Imad yang dihormati dan dirahmati Allah.
Saya doakan saudara berada dalam keadaan sihat, ceria dan lapang dalam urusan seharian. Izinkan saya memberi respon melalui bentuk bullet.
* Pertama sekali tahniah kepada saudara kerana mempunyai tekad yang tinggi menjadi penulis bebas sepenuh masa. Tuan adalah antara generasi awal didikan Puan Ainon yang beruntung kerana dapat menghasilkan karya awal di bawah jenama PTS. Saya ini di kira generasi selepas generasi Janda Baik, atau lebih tepat generasi kelas sekolah al Ikhlas tahun 2005.
* Apabila saya bertekad ingin menjadi penulis sepenuh masa, keluarga saya, khususnya ibu saya cukup tidak gemar dengan keputusan ini. Tetapi ia tidaklah menjadi sebegitu konflik, saya memahami dengan latarbelakang keluarga saya yang banyak makan gaji, maka kerja tidak makan gaji ini sama halnya seperti tidak bekerja agaknya.
* Tetapi, berkat tunjuk ajar Puan, saya memahami satu perkara, bagi menjadi penulis sepenuh masa, merancang kejayaan buku adalah teras kepada penulis. Dengan erti kata lain, penulis juga perlu ada pemikiran bisnes bagi memastikan karyanya itu menjadi sumber yang dapat menampung keperluan diri dan keluarga.
* Sepanjang tiga tahun saya melibatkan diri sebagai penulis bebas dan enam bulan sebagai penulis sepenuh masa, saya memahami satu perkara, rangkaian kenalan sesama penulis penting bagi saling dukung mendukung. Itulah sebabnya jika ada kelapangan saya akan turun ke bengkel penulisan Puan Ainon meskipun ia adalah kursus yang sama diulang-ulang sejak 2005 sehingga kini. Kesannya selain daripada semakan kepada mutu karya, saya mendapat teman-teman baru sama ada ramai mahupun seorang. Jika di kalangan penulis, saya berpeluang berkolaborasi dengan mereka. Antaranya, Tuan Imran Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir, dan beberapa lain. Malah, jika yang hadir itu bukan penulis, mereka menjadi pembaca-pembaca karya saya.
* Malah idea gila kami pada Pesta buku 2008 di PWTC mewujudkan Pakatan Penulis bagi memenuhi sesi ceramah buku yang tidak ada dalam jadual, malah pada Pesta Buku Malaysia, mereka lakukan sekali lagi dengan menggunakan pentas Utama. Kami sesama penulis memang gila-gila sejak dalam Pakatan yang terdiri daripada penulis berumur 20-an sehinggalah 50-an.
* Kehadiran ke bengkel-bengkel Puan Ainon menjadi ruang kami sesama penulis berbincang apa langkah seterusnya bagi kami laksanakan.
* Saya galakkan saudara mula hadiri ceramah buku penulis-penulis sebagai langkah awal. Mula-mula memang rasa janggal, lama kelamaan selepas partisipasi dan pengenalan diri kepada sesama penulis, Insya Allah kebimbangan Tuan keseorangan akan berkurangan.
* Saya doakan kejayaan Tuan sebagai penulis sepenuh masa. Moga kita semua dapat bertemu dan berbincang bagaimana penulis bebas mendapat persepsi yang baik dalam masyarakat sebagai salah satu profesion yang diterima ramai agar satu hari nanti ibu bapa tidak rasa janggal apabila anak-anak mereka memilih profesion ini kelak.
Salam hormat’
ZAMRI MOHAMAD
http://www.zamrimohamad.com
(Respon ini asuk melalui emel Sifu.)
Salam/greetings Saudara IZ,
Saya bukan seorang penulis sepenuh masa 100% dalam erti kata sebenar kerana dalam masa antara penyelidikan penulisan saya memberikan bengkel/ceramah di samping melakukan kerja-kerja penulisan seperti copywriting dan terjemahan. Sebelum aktif menulis saya berasal dari profesyen kejuruteraan kemudian menceburi bidang perancangan kewangan.
Pandangan dan nasihat sudahpun diberikan panjang lebar oleh dua penulis yang lebih berpengalaman dari saya iaitu En Zamri dan En SF (LLB).
Saya juga bersependapat dengan saranan mereka, antara yang ketara ialah:
* Menghadiri ceramah buku penulis-penulis (tak semestinya PTS sahaja) dan kehadiran ke bengkel-bengkel Puan Ainon.
* Perlu ada pemikiran bisnes bagi memastikan karya menjadi sumber yang dapat menampung keperluan diri dan keluarga. Karya bukan sahaja dalam bentuk buku hardcopy tetapi juga dalam bentuk lain seperti digital, skrip.
* Selepas menjalani penilaian secara saintifik/aptitud elok juga “connect” dengan spiritual untuk mendapat jawapan muktamad.
* Sediakan Plan B iaitu pendapatan sampingan yang lain yang bakal memberikan pengalaman baru, kenalan baru untuk networking terutamanya dalam memasarkan buku-buku nanti.
Saya ucapkan tahniah di atas keberanian saudara, dengan persediaan yang mencukupi dibekalkan panduan Tuhan sudah pasti akan membuahkan hasil.
Salam ceria dan ganda dinar anda!
Sunthara Segar
Writer,Marketing and Copywriting Consultant
RFP,CFP, Islamic FP Cert, BEng (Hons) UKM
http://ilmudigital.blogspot.com
017-8719444
Kolumnis Ruangan Mengurus Kewangan Mingguan Wanita
Penulis Buku PTS Siri Pengurusan Kekayaan:
1) Kerjaya Perancangan Kewangan Peribadi
2) Rahsia Melabur Dalam Unit Amanah
3) Rahsia Mengurus Insurans Hayat
Post a comment