Surat: Komik Menjadikan Remaja Biadab
Assalamualaikum, Puan Ainon. Sempena tahun baru ini, saya doakan agar Sifu berada dalam keadaan yang lebih sihat, dipermudahkan segala urusan dan rezeki, diberi kemuliaan di dunia dan di akhirat, serta mendapat keredhaan Allah. Sudah lama saya tidak menghubungi Sifu.
Saya sudah setahun bekerja dan agak seronok dengan suasana kerja. beberapa minggu lepas saya ada menghubungi pensyarah saya. Dia bertanya kepada saya sama ada mudah atau susah mengajar matematik. Saya beritahunya sangat mudah. Sehingga ada pengajar lain yang datang merujuk kepada saya, biarpun saya masih baru di situ. Saya juga pernah diminta memberi ceramah berkenaan bidang yang saya ajar ini kepada pelajar-pelajar. Maklum balas yang saya terima daripada pelajar-pelajar sangat positif. Pensyarah saya terharu. Dia beritahu saya, lihatlah hikmah di sebaliknya. Jika dahulu, saya belajar dalam keadaan yang sangat susah, namun kesusahan itu telah menjadi saya mudah untuk mengajar.
Namun sebagai orang baru, saya sentiasa cuba merendah diri. Pernah seorang staf senior datang memberitahu saya, "Maaf Amien, semalam kami mengumpat pasal awak. Tak sangka betul, Amien, awak ni nampak sahaja sempoi, merendah diri, tetapi sebenarnya awak brilliant. Akak kagum dengan awak." Di sini saya agak popular di kalangan pelajar saya. Saya membuka kelas atau kumpulan belajar, untuk mengajar mereka pada waktu petang. Namun saya sedar, ilmu yang saya ajar ini cuma berguna di dunia sahaja. Ilmu akhirat tampak lebih utama.
Selepas ini saya akan lebih berusaha untuk mengadun nilai-nilai murni dalam pengajaran saya. Saya agak kesal dengan tingkah laku anak-anak muda generasi sekarang ini yang biadab biarpun cemerlang. Kadang-kadang mereka pandai, tetapi kata-kata mereka kesat dan menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Nampaknya sekarang ini ramai pelajar lebih mengutamakan akademik berbanding moral. Kebanyakan tingkah laku buruk mereka ini saya dapati ditru sama ada menerusi rancangan televisyen, filem, majalah atau komik yang mereka baca.
Filem-filem yang ditayangkan di Malaysia ada yang memaparkan aksi pelawak yang boleh dikatakan biadab. Hakikatnya itulah tingkah laku yang menjadi ikutan. Sesuatu yang menjadi gelak ketawa penonton atau pembaca, rupanya akan menjadi sesuatu yang menyakiti hati apabila dibawa keluar ke dunia realiti. Inilah sebabnya kenapa ayah saya begitu marah apabila saya dan adik-beradik saya membeli majalah-majalah kartun atau hiburan semasa kecil dahulu. Dialog-dialog yang digunakan menjadi punca. Dan sejak akhir-akhir ini dialog-dialog itu semakin kesat dan digunakan secara meluas di kalangan generasi muda.
Sempena tahun baru ini saya berazam mahu mengutamakan moral dan nilai-nilai murni lebih daripada soal akademik atau kemahiran dunia. Tidak ada gunanya melahirkan generasi yang bijak pandai tetapi tidak memiliki moral dan tingkah laku yang baik. Semua itu cuma mengundang kemusnahan pada kemudian hari. Tanggungjawab dan tugas-tugas saya semakin bertambah tahun ini. Saya mahu lakukan dengan lebih baik.
Sebelum saya berundur, saya memohon maaf kepada Sifu sekiranya saya ada melakukan apa-apa kesalahan terhadap Sifu. Semoga tahun baru ini mengundang lebih rahmat dan keredhaan Allah.
Salam hormat,
Mohd Amien Mohd Yasin.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Tuan Mohd Amien,
Tahniah dan teruskan usaha Tuan mendidik anak bangsa untuk menjadi bangsa yang bersopan. Saya pernah menulis dan disiarkan oleh Puan Sifu di sini
http://universitipts.com/index.php/surat_pilihan_isu_bahasa_guru_guru_muda_hari_ini/.
Boleh kita kongsikan bersama. Saya juga pernah bercakap semasa menjadi jurucakap kumpulan dalam satu kursus wajib anjuran Khir Toyo. Slot yang membincangkan bagaimana mahu menjadikan Insan Rabbani dan Masyarakat Madanni.
Saya katakan, malang bagi ibubapa yang puas menegur anak-anak. Malang juga bagi guru-guru yang bertungkus lumus mendidik anak bangsa untuk menjadi Insan Rabbani yang boleh membentuk Masyarakat Madanni. Lebih malang lagi kepada pemimpin-pemimpin yang IKHLAS(Jika ada dan jika benar mereka ikhlas) kerana dalam masa kita berusaha untuk menjadikan anak-anak bangsa sebagai insan yang cemerlang dunia dan akhirat, serentak itu jugalah anak-anak kita dibenarkan untuk dididik dengan didikan yang songsang oleh media cetak dan media elektronik dalam bentuk yang MASSA berbanding didikan yang kita berikan di rumah dan di sekolah.
Mereka dididik dengan ajaran songsang secara MASSA tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Ada kalanya bagi mereka yang mampu, didikan itu mampu menjengah hingga ke bilik tidur.
Namun, kita akan teruskan usaha-usaha ini secara istiqomah. Semoga anak-anak bangsa kita mampu dididik menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.
Jika benar ada pemimpin yang ikhlas berjuang untuk menjadikan rakyat Malaysia ini sebagai bangsa yang cemerlang adab sopan dan budayanya, masakan mereka boleh membiarkan anak bangsa sendiri terdedah kepada perkara-perkara songsang berbentuk MASSA yang pasti akan merosakkan mereka.
Post a comment