Surat: Menulis Ayat Visual
Assalamualaikum, Puan Ainon. Didoakan semoga puan sentiasa berada di bawah payung kesejahteraan juga di bawah langit kebahgiaan yang diatur oleh Allah.
Pada perjumpaan yang dikendali oleh PTS Fortuna tempoh hari, Tuan Faizal Mukhtar ada menyatakan bahawa pembaca lelaki kebanyakannya adalah pembaca visual. Saya tertarik dengan ide yang diutarakan, dan saya setuju dengan pendapat itu. Ini kerana ramai cerdik pandai mengatakan lelaki adalah kaum yang suka berimaginasi. Maka dengan adanya visual dalam bacaan mereka, ianya dapat membantu mereka berimaginasi dengan lebih mudah. Bacaan visual yang dicontohkan oleh Tuan Faizal Mukhtar adalah komik dan novel grafik.
Tetapi pada saya, penulis-penulis PTS juga boleh menghasilkan bacaan visual tanpa ada imej atau grafik dalam karya mereka. Satu cara yang bermain di fikiran saya adalah dengan menggunakan ayat-ayat visual. Ayat visual secara mudahnya adalah ayat yang menerangkan perbuatan.
Saya berikan satu contoh mudah ayat visual: Cempaka Suri menghulurkan tangan seraya berpejam mata.
Ayat tersebut, apabila pembaca membacanya, pasti secara spontan membayangkan aksi yang dilakukan oleh Cempaka Suri. Ini kerana ayat tersebut mengandungi kata kerja 'menghulurkan' dan 'berpejam' yang secara tidak langsung melahirkan bentuk visual bagi dikhayalkan oleh pembaca.
Saya berikan pula satu contoh ayat bukan visual: Hatinya berasa sedih yang tidak tertanggung.
Bandingkan pula dengan ayat visual ini dengan maksud yang sama: Kesedihan mendakap hatinya bagai tiada mahu melepaskan.
Ayat manakah yang lebih mudah bagi pembaca berimaginasi? Ayat manakah yang lebih indah dan tinggi nilai sasteranya?
Saya tidak tahu sama ada apa yang saya kongsikan ini benar daripada segi teori dan logiknya. Namun begitu apabila saya mempraktikkan penggunaan ayat-ayat visual ini dalam penulisan, saya mendapati cerita saya semakin menarik. Di sini saya kongsikan juga dua perenggan awal daripada bab ketujuh Duyung Pulau Kenchana yang sedang saya kerjakan dengan memperbanyakkan ayat-ayat visual. (Duyung Pulau Kenchana adalah novel kedua dalam trilogi Kembara Lang Surya).
Tuhan menghantar lasykar dingin menyerbu kegelapan yang sedang lena ditidurkan sisa-sisa malam. Dinihari itu, dengan mengenderai sang pawana, serangan mereka ternyata lebih dahsyat daripada hari-hari sebelumnya. Terbukti sang pawana yang tidak ternampakkan itu adalah wilmana sakti. Ketumbukan lasykar-lasykar dingin tidak mungkin bisa dikau lihatkan, namun mustahil sama sekali bagimu menafikan keberadaan mereka.
Hari berganti lagi, dan serangan lasykar dingin yang sedahsyat itu, mengendong pengertian bahawa musim luruh semakin tua. Di dalam kantung waktu, salju sedang hebat dijana, hanya menunggu hadirnya matang sebelum turun menari penuh gemalai.
Semoga apa yang saya kongsikan ini bermanfaat kepada diri saya sendiri dan penulis-penulis PTS yang lain. Amin. Wassalam.
Ikhlas,
Masdalifadzlie M Saaid
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum. Satu surat dan ujaan yang menarik. Dalam satu diskusi di kalangan rakan-rakan di Facebook, saya ada membincangkan perihal novel fantasi. Antara isi perbincangan ialah di mana kita dan siapa pemain-pemain utama novel fantasi Melayu.
Maka nama pertama muncul di permukaan ialah Ahmad Patria, pastinya dengan penggunaan BMT dan bahasa Melayu visual yang merentas masa.
Kemudian muncul pula nama Masdalifadzlie melalui novel Pendeta Gua Khayalan - Kembara Lang Surya dan Zaki Zainol dengan dua siri Takluk Jagatnya. Kedua-dua nama yang dibangunkan oleh PTS ini bakal menggegar dunia novel fantasi bahasa Melayu. Itu pandangan kami di diskusi tersebut.
Justeru Ahmad Patria adalah mentor Masdalifadzlie, maka saya dapat melihat ‘bayang’ Patria dalam Pendeta Gua Khayalan. Namun ianya tetap bikin saya bervisual tatkala membacanya.
Saya masih menunggu seorang lagi novelis yang bakal melahirkan novel fantasi pertamanya, walaupun sudah banyak beliau hasilkan novel thriller. Saya kira ramai yang ternanti-nanti juga. Novelis yang saya maksudkan bukan penulis PTS.
Tuan Web Sutera, ingin sekali saya membaca diskusi tersebut. Jika tidak keberatan, kongsikan pautan diskusi di sini.
Assalamualaikum, sdr. Yaya. Diskusi tersebut muncul di antara banyak perkara berkenaan pertanyaan utama saya, “Apakah novel fantasi pertama yang dibaca dan bila?”. Diskusi menjadi panjang dan ada yang tidak relevan, hihihih.
Dari sebuah pertanyaan, munculnya jawapan. Dari jawapan, timbulnya aneka sisipan lainnya, termasuk perbincangan mengenai perkembangan novel fantasi tempatan.
Post a comment