Surat: Perihal Panggilan Mulia ‘Cik’, ‘Puan’ dan ‘Cikpuan’
Assalamualaikum Warahmatullah. Semoga Puan dirahmati Allah.
Puan, saya ingin bertanya satu soalan. Saya sering menulis emel dan berkomunikasi dengan wanita dalam urusan formal dengan panggilan cikpuan. Namun, ada orang tegur saya katanya istilah cikpuan cikpuan tidak ada. Hanya panggilan cik atau puan sahaja. Katanya lagi, didalam urusan formal lebih baik gunakan Puan walaupun mereka belum berkahwin. Saya masih belum menemui jawapannya dan ingin bertanya pada Puan sebelum saya menjawab pertanyaan itu. Segala kerjasama dan perhatian Puan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Hariri Daud
.......................
Tuan Hariri yang dimuliakan,
1. Dalam Bahasa Melayu Tinggi (BMT) panggilan mulia 'Cikpuan' digunakan kepada perempuan yang mempunyai ciri (a) cantik, (b) muda dan (c) disayangi, maka itu isteri-isteri kepada sultan (dan isteri kepada anak-anak sultan) yang berketurunan orang biasa diberikan nama panggilan mulia 'Cikpuan' sebelum mereka ditabalkan menjadi sultanah ataupun permaisuri, seperti Cikpuan Siti Aisyah (Selangor) dan Cikpuan Kalthum (Pahang).
2. Dalam BMT, panggilan mulia 'Cikpuan' juga digunakan di kalangan isteri-isteri golongan kelas atasan dalam masyarakat Melayu, seperti isteri pembesar dan pegawai-pegawai tinggi.
3. Intipati panggilan mulia 'Cikpuan' dalam BMT adalah panggilan penghormatan kepada perempuan-perempuan Melayu yang mulia lagi dimuliakan.
Berdasarkan 3 faktor itulah maka BMT kontemporari meluaskan lagi penggunaan panggilan mulia 'Cikpuan' kepada semua perempuan yang dimuliakan, baik Melayu mahupun bukan Melayu, tanpa mengambil kira berapa usia ataupun status perkahwinan perempuan itu, yakni apakah dia gadis muda, gadis lanjut usia, isteri pertama, kedua, ketiga, keempat ataupun janda.
Nota: Pendapat yang mengatakan dalam Bahasa Melayu tidak ada panggilan mulia 'Cikpuan' adalah pendapat bukan pakar bahasa.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan Hjh sifu Ainon san;
Isteri saya bernama Puteri xxx. Beliau pergi membuka akaun bank dan dipanggil “Tuan Puteri”. Bukan setakat panggilan sahaja, malahan dalam surat penyata bulanan juga ditulis “Tuan Puteri”.
Pelik sungguh saya lihat protokol bank yang satu ini . Lebih pelik daripada gantinama “patik” yang digunakan oleh bos dia.
ha ha ha
Tuan MBA-san yang mulia lagi dimuliakan,
Saya geli hati juga membaca nota tuan itu. Namun itu adalah realiti tentang bagaimana orang Melayu amat berhati-hati memilih kata panggilan mulia, sehingga mereka mengamalkan prinsip “Biar terlebih, jangan terkurang”....
Post a comment