Sunday, February 24, 2008

Surat Pilihan

Salam UNIKA,

Marilah kita menyahut saranan SifuPTS. Tidak mustahil ia dijayakan. Saya tahu, kerana saya sendiri begitu tidak lama dahulu.

Maklumat peribadi sendiri:

- Berketurunan India-Melayu-Parsi di sebelah ayah, Yaman-Acheh-Sri Lanka-Portugis di sebelah ibu, dibesarkan berbahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi berbudaya Melayu.

- Dididik di sekolah bandar raya di kalangan anak-anak kaya yang tiada kemahiran berbahsa ibunda. (Hanya kemahiran berbahasa Inggeris saya yang memudahkan berkawan dengan mereka, tetapi kemampuan keluarga tetap di bawah paras mewah).

- Berfikir di dalam Bahasa Inggeris sepenuh masa.

- Prejudis terhadap bahasa dan bangsa Melayu kerana pelbagai gejala sosial yang disaksikan sendiri.

- Mula bercinta dengan Bahasa Melayu ketika Tingkatan 4, dibantu sahabat jati Melayu, Mohd Razee Mohd Salleh dan guru kelas Puan Azniza, akhirnya melonjak dari gred F9 ke A1 dalam kertas Bahasa Melayu SPM.

- Menulis cerpen dan novel berbahasa Inggeris untuk kepuasan diri mulai umur 12 tahun.

- Cubaan menulis cerpen dan novel berbahasa Melayu untuk kepuasan diri mulai umur 17 tahun.

- Bercinta dengan budaya Melayu menerusi Silat Melayu dengan bantuan guru-guru silat saya dan mentor-mentor budaya.

- Menjadi wartawan dan editor majalah SENI BELADIRI dari 1999-2004 dan menulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

- Kini menjadi penulis dwibahasa, berfikir dalam dua bahasa serentak, mengikut pembaca sasaran.

Pada saya, bagi memenangi hati puak-puak yang menganaktirikan Bahasa Ibunda sendiri, kita perlu menyelami sebab-musabab asal yang menjadikannya begitu.

Ada seorang sahabat yang nekad tidak mahu menonton filem Melayu disebabkan terlalu kecewa dengan bangsanya yang tidak mahu berubah sikap pembohong dan hasad. Saya tidak salahkannya, kerana beliau hanya sempat bergaul dengan orang Melayu yang sebegitu. Tetapi, terdapat ramai lagi peribadi tinggi yang belum ditonjolkan untuk menjadi ikon umum.

Sebelum kita memaksa mereka menggunakan Bahasa Melayu, berikan mereka sebab yang boleh diterima hati.

Pada saya, akal sesuatu yang cukup dangkal kerana apa-apa keputusan tetap ia rujuki hati jua. Akal hanya boleh menghampirkan kita kepada kebenaran, tetapi hati yang menerimanya dengan redha.

Dalam kajian kes diri saya, Allah mentakdirkan saya jatuh cinta dengan bahasa dan budaya Melayu dahulu. Mungkin kaedah ini boleh diguna pakai kepada ramai lagi sasaran.

Dalam pemerhatian saya, kebanyakan kaedah PTS pula menggunakan pendekatan pembinaan wibawa (penulis bernama besar, penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, kaedah kawalan mutu terperinci, dan lain-lain) bagi menarik minat karyawan (bak kata orang Singapura dan Indonesia) untuk menulis dalam bahasa Ibunda mereka.

Harap maaf jika ada yang tersinggung. Hasrat diri hanya mendukung. Jika buah dokong menjadi harapan, silalah ke rumah, insyaAllah ada tersedia.

Salam persilatan

MOHD. NADZRIN WAHAB 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Blog Pilihan Sifu Previous entry: Corat-coret PRU: Lembu India
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/25  at  08:20 AM

Selamat perkenalan buat saudara Mohd. Nadzrin. Saya mengenali saudara yang kuat berpegang pada Melayu apatah lagi dalam arena silat Melayu. Semoga penglibatan saudara dalam blog ini dapat mendidik 4 juta pengamal silat Melayu di seluruh negara.

Salam persilatan bersahut.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.