Monday, December 31, 2007

Surat daripada Seorang Peminat Buku-buku Paderi Norman Vincent Peale

Puan Ainon,

Semoga puan sentiasa sihat sejahtera untuk terus memandaikan bangsa.

Saya merujuk kepada entri mengenai pengarang buku Kristian yang paling popular di kalangan pembaca Melayu.

Untuk pengetahuan puan, saya adalah seorang daripada Melayu Islam yang 'terjebak' menjadi pembaca buku 'The Power of Positive Thinking'  yang disebut di dalam entri puan.

Saya mula membaca buku ini ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar 1980-an. Tetapi pembacaan saya terhadap buku ini tidak begitu serius ketika itu. Saya tidak 'khatam' buku berkenaan ketika itu.

Bagaimanapun selepas itu, ketika bertugas sebagai wartawan di akhbar Berita Harian, mungkin disebabkan tuntutan dan hambatan kerjaya, saya 'khatam' buku berkenaan. Malah saya mengulangi pembacaan buku itu setiap kali saya rasa ada keperluan berbuat demikian. Sehingga sekarang pun saya masih menyimpan dua 'inti' Bible karangan Norman Vincent Peale di perpustakaan mini di rumah, termasuk satu lagi bukunya, iaitu 'The Art of Living'.

Bagaimanapun, saya tidak 'mamai' sepanjang membaca buku berkenaan. Saya amat sedar bahawa saya sedang menelaah sebuah nukilan daripada khazanah pemikiran Kristian. Tetapi ketika itu, saya bertanya kepada diri sendiri: Di manakah dapat saya perolehi nukilan mengenai 'positive thinking' mengikut acuan Islam? Di mana? Ia mungkin hanya boleh diperolehi di dalam kitab tasawuf tua yang saya sendiri tidak dapat memahaminya.

Sebenarnya, Islam sudah ada segalanya. Dalam Islam sendiri sudah ada 'positive thinking', termasuk dalam ilmu tasawuf.

Malah jika peradaban Cina ada 'The Art of War', Islam juga sudah ada 'the art of war'. Tidak sedikit taktik dan strategi perang kuasa Islam zaman Rasulullah saw serta pemimpin zaman keagungan Islam, dapat dimanfaatkan sebagai 'the art of war' untuk diaplikasikan dalam kehidupan, termasuk dunia perniagaan. Malah jika diperhalusi, 'the art of war' dalam Islam jauh ebih 'licik' dan 'berkesan' berbanding 'The Art of War' yang dikenali dunia korporat sekarang.

Tetapi malangnya (saya ulangi: malangnya), ulama dan ilmuan Islam, termasuk pemerintah juga, tidak menonjolkan perkara ini secara meluas dan besar-besaran. Ia tidak dipromosikan dan diagendakan sebagai sesuatu yang penting oleh ulama, ilmuan dan uli amri.

Ulama, ilmuan dan uli amri hanya berminat menonjolkan soal fardu ain - solat, zakat dan haji. Solat hanya ditekankan soal rukun dan pergerakan fizikal, tetapi roh dan inti solat tidak begitu ditekankan sangat. Aspek 'ihsan' hampir tidak ditimbulkan langsung dalam mana-mana kuliah solat sedangkan 'ihsan' itulah sumber kekuatan individu dan umat Islam.

Lalu jadilah orang Islam teraba-raba mencari kekuatan dengan menjadikan bahan bacaan hasil nukilan musuh Islam sebagai rujukan.

Apa yang dibimbangi ialah apabila inti Bible seperti 'The Power of Positive Thinking' dibaca secara 'mamai' oleh individu Islam yang tidak cukup ilmu bantu, terutama remaja masa kini yang semakin nipis pengetahuan agama.

Semoga PTS mampu mengisi kekosongan dan keperluan terhadap bahan bacaan motivasi berasaskan tauhid Islam tulen. Terima kasih.

N. ZAKARIA

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Pilihan: Sokong Letak "SAW" Previous entry: Perang Urat Saraf: Inilah Pengarang Buku Kristian yang Paling Popular di Kalangan Pembaca Melayu
omecool20  on  01/01  at  10:51 AM

Saya berkongsi pandangan dengan penulis N. Zakaria. Namun, usaha PTS menerbitkan buku - buku sedemikian, contohnya hasil karya DMFK dan Dr. Danial, insyaAllah, dapat merapatkan jurang kekurangan buku - buku tersebut dalam Bahasa Melayu.

Saya memilikki buku - buku tersebut dalam BM dan Inggeris kerana percaya ilmu itu ada di mana - mana sahaja. Cuma, terserah kepada si pembaca untuk menilai isi - isinya.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.