Wednesday, January 02, 2008

Surat Pilihan: Didatangi Mubaligh Kristian yang Peramah dan Lembah Lembut

Puan Sifu,

Saya ingin memberi komen mengenai buku-buku agama yang diterbitkan oleh PTS. Saya juga bukan dari aliran agama formal dan saya suka membaca buku-buku berkaitan agama Islam untuk menambahkan pengetahuan saya sendiri. Sememangnya, kebanyakan buku-buku agama Islam yang ada - bahasanya agak sukar difahami oleh golongan seperti saya.

Bagi saya, niat PTS adalah murni - untuk menyebarkan ilmu tentang agama Islam dalam bahasa yang mudah difahami. Moga-moga dengan inisiatif PTS ini - usaha kita untuk menarik mereka yang bukan beragama Islam mempelajari tentang agama Islam ini akan membuahkan hasil yang positif.

Ketika saya di seberang laut, saya sering didatangi oleh mubaligh-mubaligh Kristian yang selalu menjemput saya untuk menghadiri perjumpaan gereja mereka. Apa yang menarik perhatian saya ialah cara mereka cuba menarik penuntut-penuntut antarabangsa untuk mendekati Kristian.

Bahasa yang digunakan amat lemah-lembut, perwatakan mereka yang begitu peramah dan cara mereka menyapa memang akan mencairkan sesiapa saja untuk datang. Walaupun saya menolak dengan cara yang baik - mereka tidak pernah menunjukkan perasaan tidak puas hati sebaliknya tetap mengekalkan aura positif mereka.

Memang ianya satu kejutan budaya bagi saya tapi ia membuatkan saya terfikir tentang sesuatu. Mengapakah pendakwah-pendakwah Islam tidak mengambil pendekatan positif yang sama? Mungkin ada segelintir yang melakukannya tetapi kebanyakannya lebih gemar menggunakan ayat-ayat atau perkataan-perkataan yang “keras” untuk “menghukum” mereka yang tidak mengikut landasan yang betul seperti yang disyariatkan oleh Islam.

Bukankah cara yang lebih lembut dan berdiplomasi itu lebih besar kesannya daripada cara agresif yang menggunakan ayat-ayat berbau “kekerasan”?

Islam itu sendiri menggalakkan penganut-penganutnya mengamalkan sikap lemah lembut dan menggunakan perkataan-perkataan yang sedap didengar. Kerana itulah sebenarnya fitrah manusia. Manusia lebih tertarik dengan perkara-perkara yang indah dilihat dan didengar.

Jika kita bersungguh-sungguh menggunakan segala ilmu / taktik yang kita pelajari dalam bidang pemasaran untuk menarik perhatian pengguna membeli barangan kita yang tidak ada kena mengena dengan agama, mengapa ilmu dan taktik yang sama kita tidak gunakan untuk menarik perhatian umat kita mendekati agama kita sendiri melalui pendekatan yang positif.

Wallahualam.

HIDAYATI KASUMA ABDUL HADI 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Novel Jibunsyi Terbaru PTS Previous entry: Doa Supaya "PTS Masuk Neraka"
Abang Long  on  01/02  at  01:07 PM

Assalamu’alaikum dan salam hormat buat Puan Sifu dan Puan Hidayati.

Sememangnya telah lama saya perhatikan cara dan gaya pendakyah Kristian dalam menjalankan misi mereka. Dan dalam waktu yang sama saya perhatikan cara dan stail pendakwah Islam dalam menjalankan tugas ataupun misi mereka. Terlalu jauh berbeza.

Perkara yang sama pernah saya ulas secara ringkas dan selari didalam blog saya yang bertajuk - Misi Seorang Paderi.

Malahan tidak keterlaluan rasanya saya ingin memberitahu tentang satu peristiwa dimana saya pernah minum (air kotak) dan duduk didalam gereja bersama seorang paderi kristian. Kami berbincang tentang pelbagai perkara.

Inilah salah satu cara mereka menyampaikan mesej mereka, dengan cara yang begitu berdiplomasi. Hinggakan sewaktu hendak berpisah, paderi ini bersalam dengan saya dengan begitu erat dan dengan senyuman yang kelihatan begitu ikhlas.

Saya akui, tidak pernah dilayan dengan sebegitu baik oleh mana - mana ulamak didalam negara ini. Maaf, atas kenyataan saya ini.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/02  at  05:19 PM

Salam sejahtera buat Pn Sifu dan rakan sekuliah,

Sekadar ingin berkongsi cerita. Saya dan rakan-rakan juga pernah didatangi oleh sekumpulan paderi kristian sewaktu belajar di luar negara. Kami berusia 19 tahun ketika itu. Mereka ini sungguh baik dan pandai menawan hati.

Kami sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk melayan mereka ini (maklumlah tiada siapa yang beritahu bahawa ini adalah diantara cabaran belajar di luar negara, kami cuma berbekalkan ilmu tauhid yang diajarkan oleh ustazah sewaktu di tingkatan 1 hingga 5).

Mereka memberi kami makanan percuma dan juga tawaran wang. Kami juga selalu pergi kuliah kumpulan tabligh dan arqam tetapi hal-hal ini tidak pula dibincangkan (mereka lebih suka bercerita pasal kahwin).

Namun segala-galanya berakhir apabila mereka mula menusukkan jarum halus iaitu konsep ketuhanan tiga dalam satu dan satu dalam tiga yang amat mengelirukan akal.

Kami juga tidak pandai berdebat, lebih-lebih lagi dalam bahasa Inggeris. Namun konsep itulah yang kami debatkan berjam-jam lamanya, dalam bahasa Inggeris kami yang ‘broken’.Akhirnya kami katakan sahaja, bahawa kami tidak akan menukar kepercayaan walau apapun yang berlaku kerana tuhan kami hanya satu iaitu Allah. 

Mereka tidak lagi mengunjungi kami selepas itu, tidak tahulah sama ada mereka kalah dengan konsep ‘ketuhanan’ itu ataupun kerana kalah dengan semangat dan keutuhan jiwa Islam kami.

Selepas peristiwa itu, seorang senior telah meminjamkan kaset-kaset dan buku-buku karangan almarhum Ahmad Deedat sebagai perisai. Bagi saya bahan bacaan amat penting untuk menanggani masalah seperti ini, terutamanya apabila ibu bapa kita juga setakat Islam keturunan sahaja. Saya belajar semula tentang Islam melalui bacaan dan juga kuliah-kuliah agama serta bahan-bahan audio visual yang sahih.

Sekian,
Azila

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: