Surat Pilihan: Isu Bahasa Guru-guru Muda Hari ini
Sekadar untuk direnung dan difikir.
Pada awal usia saya bersekolah rendah, gaya bahasa pertuturan di kalangan guru-guru di sekolah agak sopan dan manis didengar. Mereka membahasakan diri mereka sendiri sebagai saya. Mereka juga menggunakan istilah ‘Cikgu’ sebagai ganti nama kepada rakan cikgu mereka yang diajak bercerita.
Memasuki ke alam persekolahan menengah, guru-guru lama ‘senior’ masih kekal dengan kesopanan mereka manakala guru-guru yang baru keluar dari Universiti telah mula menggunakan ‘kau’ dan ‘aku’ sebagai ganti nama semasa berinteraksi sesama mereka di hadapan pelajar. Bahasa yang digunakan juga agak tercemar.
Hari ini, hampir tiada lagi ganti nama yang sopan digunakan oleh guru-guru semasa mereka berbicara sesama sendiri. Bahasa mereka juga lebih tercemar mengikut apa yang diajarkan oleh sitcom-sitcom dan majalah-majalah humor.
Begitu besarnya pengaruh bahan bacaan terhadap pembinaan budaya dan tingkahlaku. Hal ini juga berlaku pada diri saya sendiri. Ini adalah satu contoh yang mudah kita jumpa. Keadaan ini juga tidak terkecuali kepada lain-lain profession yang professional termasuk juga pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang berusia di bawah umur 45 tahun.
Ini kesan daripada majalah humor yang mula memperkenalkan bahasa-bahasa yang buruk dan kasar pada penghujung tahun 70-an.
Insya Allah, jika kerjasama murni antara PTS dan METADOME ini berhasil, kita tidak akan dengar lagi perbualan-perbualan dengan menggunakan bahasa pasar yang kasar ini di kalangan bangsa dan pemimpin bangsa kita.
Mohd. Zakir Husin
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment