Monday, December 31, 2007

Surat Pilihan: Isu Harta Intelek

Assalamu’alaykum wbh,

Moga Allah merahmati Puan Ainon yang sudi berkongsi ilmu dan isu hakcipta di universiti percuma PTS ini.

Hakikatnya ramai lagi di kalangan masyarakat yang keliru atau tidak memahami berkenaan harta intelek.  Sudahnya, mereka menciplak karya-karya orang lain secara gaya bebas.  Tanpa segan silu.

Mereka ingat dan menganggap ianya sekadar termaktub dalam perundangan sivil dan tiada mengena dengan hukum syarak.  Sekaligus tiada kesan pahala dan dosa pada pelakunya. 

Bagus juga kalau ada pakar undang-undang harta intelek mengupas isu ini secara mendalam dari sudut perundangan sivil dan persepsi syariat.  Moga-moga lebih ramai yang faham dan berhati-hati dengannya.  Boleh juga rujuk di perpustakaan Universiti Malaya tesis berikut:

1.  Nor Liza Mohamad: Hakcipta dari aspek teori harta intelek menurut perspektif Islam. Disertasi (Sarjana Syariah) Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

2.  Rosmaniza Abdul Rahman: Undang-undang harta intelek di Malaysia menurut perspektif syariah. Disertasi (Sarjana Syariah) Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2004.

3.  Rozaini Tukimin: Pencurian harta intelek: Analisis menurut perspektif hukum hudud. Disertasi (Sarjana Syariah) Jabatan Fiqh dan Usul, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2003.

Dr. Muhammad ‘Uthman Sybir di dalam bukunya al-Mu’amalat al-Maaliyyah al-Mu’aashirah fi Fi al-Fiqh al-Islamiy (Ekonomi Semasa menurut Persepsi Islam) memetik pandangan pakar syariah kontemporari berhubung hakcipta penulis.  Pakar tersebut ialah Dr. Muhammad Fathi al-Durayni, Prof. Mustafa al-Zarqa’, Dr. Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti dan Dr. Wahbah al-Zuhayli.  Mereka memperakui hakcipta penulisan berlandaskan hujjah syarak.  Rujuk halaman 57-60 buku berkenaan bagi mereka yang memahami bahasa Arab ataupun terjemahannya, kiranya ada.

Saya pernah menghantar sebuah artikel ke sebuah akhbar mingguan tempatan dengan nama pena Ummu Abbas.  Sebaliknya, ia diterbitkan satu halaman penuh dengan nama pena seorang lelaki! 

Oleh kerana akhbar tersebut dikenali sebagai akhbar yang bermaruah, saya bersangka baik terlebih dahulu.  Saya merujuk terus kepada editor yang menerima artikel saya tersebut.  Rupa-rupanya, editor tersebut terlupa nama pena saya dan meletakkan nama pena seorang penulis yang sering menghantar artikel kepada beliau.  Editor berkenaan memohon maaf dan menyatakan terlalu banyak email yang diterima sehingga tidak menemui email saya yang asal.  Kemudian saya tanya suami saya apakah perlu saya menuntut honorarium.  Jawab suami saya, "Sedekahkan sahaja!"  Saya akur dan tidak kisah fasal bayaran tersebut kerana suami saya merestuinya.

WAN NOR AINON 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mualaf Tulis Buku untuk Mualaf Previous entry: Bicara Karya PEN 2008

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.