Surat Pilihan: Kalau Sudah Rezeki!
Assalamualaikum Puan Ainon,
Apa khabar Pn. Ainon? Saya harap Puan dan seisi warga PTS berada dalam keadaan baik dan sentiasa dimurahkan rezeki.
Walaupun sekian lama mendiamkan diri, saya masih mengikuti perkembangan Puan melalui blog dan kunjungan ke pejabat PTS.
Sebelum saya menceritakan kisah kali ini, teringat saya akan kata-kata Puan ketika Pesta Buku Antarabangsa KL 2007 yang lalu. Kata Puan, "Jangan risau kalau buku awak tidak laku di pesta buku. Buku awak ini 'target'nya pada perpustakaan." Bukannya apa, sebagai penulis buku pertama sudah tentunya saya risau jika buku tidak laku.
Tujuh bulan kemudian, rupanya kata-kata keramat Puan memang benar. Buktinya pada 12 November 2007, saya telah menerima panggilan daripada wakil Perpustakaan Negara yang menawarkan pembelian secara terus dari penulis buku saya yang bertajuk "Kerjaya Sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik". Bukannya 10 atau 20 naskah, tetapi sebanyak 1039. Nilai pasarannya pula lebih kurang RM20, 780.00! Terkejut saya dibuatnya.
Untuk kepastian, keesokan harinya saya pergi mengambil surat tawaran dari Perpustakaan Negara di bangunan TH Selborn, Jln Tun Razak. Terbukti bukan mainan. Saya pun apa lagi, terus berjumpa Bahagian Jualan PTS, berbincang kaedah-kaedah yang sepatutnya. Insyallah jika tiada aral melintang buku-buku tersebut akan dihantar sebelum penghujung bulan November ini.
Difahamkan bukan saya seorang sahaja penulis PTS yang berjaya mendapatkan tawaran pembelian terus tersebut. Tahniah diucapkan buat Encik Jeniri Amir, penulis buku "Mutiara Kata" dan Dr. Tengku Asmadi, penulis buku "Motivasi Alihan Pelajar".
Daripada perbualan dengan wakil Perpustakaan Negara saya dimaklumkan ramai penulis yang mengidam tawaran tersebut. Saya pula tidak pernah mempromosi buku saya kepada mereka. Alhamdulillah sekurang-kurangnya ada pihak yang menghargai kualiti buku tersebut.
Untuk itu saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Puan Ainon (mentor), Puan Nurul Hilyati (Editor), Cik Irma Indayu (Editor), Cik Majidah Jusoh, Encik Nazrul, Puan Khalilah dan seluruh warga PTS yang sentiasa ceria dan membantu saya selama ini.
Sekian.
Salehuddin bin Md. Dahlan
Penulis
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Wah! Tahniah diucapkan kepada Tn Salehuddin, Tn Jeniri, Dr Asmadi serta PTS. Memang betul tajuk artikel ini - kalau sudah rezeki.
Sesungguhnya rezeki Allah datang dari sumber yang tidak disangka-sangka.
Tahniah. Saya fikir ramai yang akan lebih aman bernaung di bawah PTS. Semoga lebih ramai yang mendapat rezeki yang melimpah-ruah.
Melihat nama Jeniri Amir, saya harus mengaku yang beliaulah yang telah membawa saya menceburi bidang penulisan. Ketika itu, beliau adalah editor Utusan Sarawak.
Beliau memberikan saya kolum mingguan, menulis di ruangan utama dan mengulas isu-isu semasa. Selama dua tahun menulis, hampir RM20,000 hononorium dibayar oleh beliau.
Hampir kesemua buku-buku beliau ditulis bersama PTS ada dalam simpanan saya.
Tahniah buat Encik Salehuddin dan rakan-rakan yang lain.
Tahniah kepada Tuan Salehuddin bin Md. Dahlan dan rakan penulis lain yang mendapat durian runtuh itu.
Insyaa-Allah Tuan akan dikejutkan lagi dengan panggilan dari PTS kali ini, bahawa buku Tuan sudah diulang cetak untuk kali ke…..Amin.
Semoga kita berjumpa lagi di pesta buku 2008 jika diizinkan oleh Allah.
Post a comment