Wednesday, April 16, 2008

Surat Pilihan: Masjid al-Istifar, Singapura

Salam dan yang semakna dengannya. Saya ingin berkongsi pengalaman...

Di atas dasar jemputan dan sekaligus untuk membawa stok buku "Biografi Muhammad" sebanyak 30 naskah yang dipesan oleh pihak Masjid Al-Istifar di Pasir Ris, Singapura, saya telah "terjebak", "terlibat", "termasuk" di dalam program sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung di masjid tersebut.

Majlis yang bermula seawal 8.00 pagi waktu Singapura membuatkan saya harus menyeberangi tambak Johor seawal pukul 6.00 pagi waktu Malaysia untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di Woodlands, itupun atas nasihat pemandu teksi yang ditanya semasa tiba di Johor Baharu jam 11.00 malam sabtu. Seawal 5.30 pagi sudah bergerak untuk ke Persada Johor untuk menaiki "teksi sapu" untuk ke seberang tambak.

Setelah menempuh kesesakan di Imigresen dan menempuhi pelbagai kerenah pihak berkuasa di sana, maka saya selamat sampai di pekarangan Masjid Al-Istifar jam 7.45 pagi dan kedatangan saya disambut dengan senyum mesra saudara seagama di sana. Mereka sungguh ramah dan memberi layanan yang amat "terbaik bagi" saya dan segera dibawa ke bilik khas untuk dijamu sarapan pagi dengan menu "Pau Boyan" dan "Mee Hon Singapura".

Tepat jam 8.00 pagi waktu Singapura, majlis pun bermula dan saya dijemput untuk menyertai majlis tersebut. Bermula dengan majlis bacaan ayat Al-Quran oleh remaja lelaki di kawasan itu dan disusuli dengan marhaban yang didendangkan oleh sekumpulan remaja lelaki yang lengkap berserban. Sungguh enak dan bersungguh-sungguh mereka melagukannya.

Majlis berikutnya adalah tazkirah dan doa dari Imam Eksekutif masjid tersebut dan disusuli dengan kedatangan tetamu jemputan mereka yang terdiri dari mantan guru-guru madrasah Aljunid yang amat terkenal di Singapura. Bayangkan, umpama upacara perjumpaan semula mantan-mantan tersebut iaitu jika digunakan ayat mudah guru punya guru punya guru punya guru yang hadir.

Antara tetamu yang hadir adalah mantan guru agama madrasah Aljunid yang amat terkenal di sana iaitu jika tidak silap namanya adalah Ahmad Sonjadi yang merupakan penterjemahan kitab Al-Quran yang pertama di Singapura, berasal dari Palembang yang mana beliau mula mengajar di madrasah tersebut seawal tahun 1925 (seperti yang diterangkankan oleh pengerusi majlis apabila diceritakan biodata seorang demi seorang mantan yang hadir), jadi bayangkan dan agaklah berapa umurnya, walaupun kelihatan uzur namun tetap gagah untuk hadir ke majlis seperti itu. Jika dikirakan kerusi yang disediakan untuk tetamu terhormat itu adalah lebih dari 24 buah kerusi, namun hanya 18 mantan yang hadir dan itupun sudah cukup ramai dan meriah.

Bermula jam 9.30 marhaban diteruskan dan jam 10.00 majlis bercukur jambul bayi yang baru lahir dilangsungkan dengan 10 orang bayi yang terlibat. Meriah terasa berada di situ. Lagi sekali saya kagum dengan masjid terbut kerana ianya amat moden dengan mempunyai layar putih di dalam dewan dan diluar dewan siap dengan projektornya sekali di setiap sudut dan itu tidak kira lagi dengn pemasangan televisyen di tempat-tempat strategik untuk orang yang di luar dewan untuk menikmati apa yang berlaku, dan apa yang dikagumi lagi ialah  semasa acara dilangsungkan saya umpama melihat rancangan di televisyen sahaja di layar putih itu kerana setiap apa yang berlaku disiarkan terus ke layar putih dan segala cctv dan kamera seperti telah di tentukan untuk memberi set yang menarik untuk ditonton.

Setelah itu, acara lain bermula, iaitu tazkirah dan doa disampaikan oleh 18 mantan yang hadir pada majlis itu. Ini adalah pengalaman baru bagi saya iaitu mendengar tazkirah dari pagi hinggalah masuk waktu Zohor.

Selesai tazkirah, majlis makan tengah hari berlangsung dengan hidang istimewa "Nasi Beriani Singapura Masjid Al-Firdaus" yang mana Imam Eksekutif masjid tersebut dijemput untuk memasaknya. Hanya dengan memakan di dalam talam yang dikongsi 4 orang, jemputan dijemput menjamu selera tengah hari tersebut dan teringat saya waktu kanak-kanak kenduri orang Jawa yang terkenal dengan "Nasi Ambang" yang dikongsi 4 orang.

Selesai menjamu selera, Solat Zohor ditunaikan dan amat dibanggakan di mana jarang sekali untuk melihat dewan masjid penuh waktu sembahyang Zohor jika di kawasan Malaysia ini. Selesai majlis saya berkesempatan berbual dengan Pengurus Eksekutif Masjid tersebut iaitu En. Roslan.

Dari apa yang diceritakan, kerajaan Singapura hanya memperuntukkan tanah sahaja untuk didirikan masjid namun segala kos yang lain haruslah ditanggung oleh masyarakat Muslim di negara tersebut secara kutip derma. Kerajaan hanya membayar gaji kepada dua orang sahaja di dalam sesebuah masjid itu iaitu kepada Pengurus Eksekutif Masjid dan Imam Eksekutif Masjid yang dilantik oleh kerajaan secara kontrak dua tahun, majoriti Imam Eksekutif adalah muda belaka dan seawal 30-an.

Terdapat  69 buah masjid di dalam Singapura, namun Masjid Al-Istifar ini menduduki tangga yang teratas dalam senarai itu. Segala aktiviti berkenaan kemasyarakat dan keagamaan dijalankan di masjid tersebut dari pagi sampai ke malam. Dengan mempunyai tiga tingkat, masjid itu digunakan dengan sepenuhnya.

Satu lagi, apa yang saya kagum adalah kutipan derma yang dilakukan semasa solat Jumaat di masjid itu dapat mencecah lebih dari SGD9,000 - 12,000 seminggu dan dalam sebulan dianggarkan kutip boleh mencecah hingga ke SGD44,000. Dibandingkan dengan masjid lain di sana yang hanya dapat mengumpul hanya sekitar SGD800 seminggu. Hasil kutipan digunakan sepenuhnya untuk membayar gaji sukarelawan masjid dan segala kos penyelenggaran masjid.

Jika dilihat dari segi organisasi, masjid ini seumpama sebuah syarikat yang berusaha keras untuk membuat aktiviti amal untuk menambahkan pendapatan mereka.

Di atas dasar itu juga, pihak masjid menjemput pihak PTS untuk mengadakan bengkel penulisan kanak-kanak dan remaja di masjid berkenaan pada 24-25 Mei ini untuk mengisi tabung masjid tersebut dan segala kos ditanggung oleh pihak masjid tersebut dan ianya masih dalam perbicangan pihak Marketing PTS.

Di sini juga dapat dilihat para jemaah mengetepikan faham ideologi, tarikat, bangsa dan bersatu di dalam masjid tanpa mengira pemakaian ketayap, songkok, warna kulit dan sebagainya dan hidup sebagai Muslim. Kagum!!

Sekian sahaja coretan pengalaman di Singapura, dan maaf kerana tiba-tiba jari tidak mahu berhenti menekan papan "keyboard".

MOHD. NOR IKHRAM HANAFIAH (Pegawai Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS) 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Berbual-bual dengan Tuan Azari Tentang Trend Jualan Buku-buku Agama PTS Previous entry: Blog Pilihan Sifu
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  04/17  at  12:56 PM

Assalamualaykum wbh,

Segala puji bagi Allah yang memberi kekuatan dan kesedaran kepada ummah di Malaysia untuk menyintai ilmu dengan membaca buku.  Saya sudah membaca laporan Berita Harian sebagaimana yang Sifu PTS sisipkan di blog ini.

Membaca pengalaman Encik Mohd Nor Ikhram Hanafiah menggamit kenangan lampau saya pada tahun 1990. 

Cuti sekolah, kakak kandung saya yang mengajar di Gelang Patah telah membawa saya dan adik perempuan berusia 10 tahun ke Singapura.  Berbekalkan pasport terhad berharga RM20 pada masa itu, saya dan adik di bawa berjalan di banyak tempat menarik. Terima kasih Kak Yah. Moga Allah sentiasa memurahkan rezekimu.

Di antara pelbagai pengalaman, pemandangan dan hidangan yang dirasakan di Bumi Dilanggar Todak itu, pemandangan yang paling mengujakan saya ialah budaya membaca buku di kalangan masyarakat Singapura.  Sudah tentulah kebanyakkan mereka terdiri daripada bangsa Cina.

Penumpang bas dan keretapi bawah tanah membaca buku.  Berselisih dengan remaja yang tergedik-gedik badannya kerana mendengar ‘walkman’ tetapi di tangannya ada buku.  Sambil menunggu di kaki lima, remaja yang lepak membaca buku.  Mulut saya pula tidak henti-henti menyebut pada Kak Yah, ‘Eh, Kak Yah tengok tu, sambil berjalan baca buku. Remaja yang ni, sambil melepak baca buku.  Suasana ini tiada di Malaysia, tempat kita.’

Seingat saya, berdasarkan pada saiz buku, saya mengagak mereka membaca novel tapi semuanya bertulisan ‘Cina’. Apa yang penting yang mahu saya tekankan ialah budaya membaca yang wujud tanpa melihat kepada kandungan yang dibaca kerana satu kaligrafi Cina pun saya tidak faham apa maksudnya.

Saya melihat peranan PTS yang berusaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penerbitan bagi memandaikan bangsa sangat tepat pada masa ini.  Namun sebagai sebuah rumah penerbitan muslim, PTS bijak menggunakan teknik serampang dua mata; sambil menggalakkan masyarakat Melayu membaca, PTS menghadiahkan kualiti bacaan sekaligus sebagaimana dituntut syariat. 

Sementelah saya minat membaca semenjak pandai membaca iaitu ketika berusia 6 tahun. 9 Adik beradik minat membaca.  Hobi ini diwarisi dari abah yang merupakan mantan guru sekolah rendah.  Saya meang mengharap agar budaya membaca ini semakin berkembang dari rumah hingga ke tempat-tempat awam seperti yang saya pernah lihat di Singapura.  Apa yang saya tidak tahu ialah adakah budaya tersebut masih wujud di Singapura sekarang.

PBAKL 2008 sudah membuktikan perkembangan positif ini.  Moga-moga harapan saya menjadi kenyataan suatu hari nanti.  Sekaligus diharapkan ia dapat mengurangkan gejala sosial yang semakin membarah di Malaysia hari ini.

Di bawah satu artikel untuk Mat Rempit nukilan saya sendiri.  Kalau Puan Ainon rasa sesuai, saya mohon disiarkan di blog ini.  Mungkin boleh memberi inspirasi kepada mereka yang berminat menulis buku untuk Mat Rempit.

Sekian.  Wassalam.

Segala kebaikan dikembalikan kepada Allah jua.

 

Mat Rempit:  Allah Suruh Kita Berlumba!


‘ Pian, ingat malam ni… di Lokasi 1’
‘ Ha..ah… apa hadiah malam ni..’ Pian menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil tangan ber’sms’ dengan seseorang.
‘Malam ni hadiah besar tau… ye lah malam Jumaat tentu lumayan.  $$$ dan pompuan ler… apa lagi.’
‘Set… nanti aku datang.’

Dialog seperti di atas mungkin satu kebiasaan di kalangan remaja lelaki kita yang suka berlumba motor.  Atau kita gelarkan mereka sebagai Mat Rempit.  Berlumba merupakan satu keseronokan bagi manusia.  Apatah lagi jika kita memenangi perlumbaan tersebut.  Dapat hadiah pula.  Sebut apa sahaja jenis perlumbaan, setiap insan tidak dapat lari dari kehidupan berlumba-lumba.  Lumba lari, lumba kuda, lumba renang, lumba kereta, lumba kumpul harta, lumba kumpul isteri, lumba mendapatkan pangkat dan pengaruh, lumba menjadi cantik dan ‘handsome’, lumba bergaya siapa paling anggun, lumba membesarkan rumah, serta seribu satu macam lagi perlumbaan. 

Sifat suka berlumba merupakan fitrah manusia.  Fitrah berlumba ini kali pertama dapat dikesan ialah di alam rahim yang mana beribu-ribu sperma berlumba-lumba mengejar satu ovum.  Beribu-ribu sperma ini Allah jadikan berekor yang mana ia dititipkan ke dalam sel pembiakan lelaki.  Manakala telur ovum dititipkan ke dalam ovari wanita.  Hanya sperma yang berjaya menembusi dinding ovum yang dapat melepaskan kromosomnya ke dalam ovum, yang mana kedua-dua kromosom akan bercantum untuk membentuk zigot.  Zigot ialah istilah bagi ovum yang telah dipersenyawakan oleh sperma.  Zigot ini seterusnya membesar dengan izin Allah hingga menjadi janin.  Janin yang dilahirkan itu akhirnya menjadi diri kita hari ini.  Maha suci Allah yang menciptakan.  Maha bijaksana Allah yang mengurniakan kehidupan pada kita saat dan ketika ini.

Allah yang menciptakan kita, manusia dalam keadaan lemah.  Terdiri daripada sel-sel halus yang hanya mampu dilihat menggunakan mikroskop.  Namun Allah yang maha kuat membekalkan daya kepada sel sperma berusaha memperjuangkan kehidupannya sendiri.  Seterusnya Allah tiupkan ruh.  Nikmat ruh yang maha agung itu menyebabkan kita berjaya dalam perlumbaan pertama kita untuk hidup.

Fitrah berlumba itu tidak terhenti setakat itu sahaja.  Manusia dengan segala kudrat yang terhad berlumba dalam pelbagai bentuk dan jenis sebagaimana yang disebutkan sebelum ini.  Jadi tidak hairan bila melihat Mat-mat Rempit begitu teruja menonjolkan gaya berlumba masing-masing.  Mungkin mereka dapati ibubapa, polis dan masyarakat sekeliling tidak memahami minat mereka.  Namun sedarilah Allah sangat tahu.  Allah amat memahami kegemaran kita dan kesukaan kita sebagai hambaNya kerana Dialah yang mencipta fitrah seiring terbentuknya jasmani kita. 

Allah yang bersifat maha penyayang tidak pernah menyekat secara mutlak fitrah yang dibekali dalam diri kita, hamba ciptaanNya.  Bahkan Allah membimbing bagaimana fitrah itu harus dimanfaatkan bagi mengelakkan kesan negatif pada manusia.  Sama ada pada tubuh badan, akal dan jiwa.  Dalam konteks fitrah suka berlumba, Allah menyebut dalam ayat 148 surah al-Baqarah, ‘Bagi setiap ummat ada kiblat yang masing-masing menghadapnya, maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.  Di mana sahaja kamu berada, Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat).  Sesungguhnya Allah maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’

Seiring naluri semulajadi manusia, Allah berikan keinginan berbuat baik dan keinginan berbuat jahat bagi menguji manusia.  Allah sudah punya malaikat yang berterusan mentaatiNya.  Allah juga sudah punya iblis yang ‘confirm’ menderhaka sampai kiamat.  Jadi, satu lagi Allah jadikan manusia dan jin dengan keupayaan memilih antara dua jalan.  Taat atau derhaka.  Kalau taat, kita untung dunia akhirat.  Kalau derhaka, kita rugi dunia akhirat.  Allah tidak terkesan apa-apa dengan perbuatan kita.  Namun sebagai zat yang maha pengasih, Allah menyeru kita agar ‘berlumba’ mengumpulkan kebaikan.  Seorang kekasih tentunya mahu yang dikasihi bahagia selama-lamanya.  Begitu jua Allah yang amat sayangkan hambaNya yakni kita. 

Antara kebaikan yang utama ialah mendirikan solat dalam ertikata solat yang khusyuk.  Berpuasa bulan Ramadan.  Taat kedua ibubapa dalam perkara kebajikan.  Memelihara hubungan dengan jiran tetangga.  Seterusnya tidak membahayakan diri sendiri dan orang ramai dengan apa cara sekalipun.  Waimma dadah, arak, judi, mengumpat, menfitnah, mendedahkan aurat, rasuah, pergaulan bebas, berlumba motor di tengah jalan awam dan lain-lain.
Allah memotivasi lagi supaya berlumba dalam ayat 48 surah al-Maidah,
‘..... Kami adakan untuk tiap-tiap umat di antara kamu satu syariat dan satu jalan.  Kalau Allah kehendaki nescaya Dia jadikan kamu satu umat tetapi Dia hendak menguji kamu tentang apa yang disampaikan kepadamu.  Oleh itu berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan.  Kepada Allah jua tempat kamu semua kembali, lalu Allah memberitahu kamu tentang apa yang kamu perselisihkan.’

Sifat gemar memenangi perlumbaan juga merupakan fitrah atau naluri setiap insan.  Ayat 32 dari surah Faatir menyebut, ‘ Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)’.  Mendahului orang lain di sini maksudnya memenangi perlumbaan berbuat baik.  Kawan-kawan belum buat.  Kita sudah laksanakan dengan rasa rendah diri kerana kemampuan tersebut adalah dengan izin Allah jua.

Kalau Mat Rempit berbangga dengan hadiah wang ringgit dan perempuan murahan.  Cuba lihat tawaran dan janji Allah bagi mereka yang juara berbuat baik melalui ayat 33 surah Faatir,’ (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga “Adn”, yang mereka akan memasukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.’ 


Lihatlah pula apa janji Allah untuk memenuhi fitrah lelaki yang sukakan perempuan di dalam ayat 25 surah al-Baqarah, ‘... dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’ 

‘Isteri-isteri yang sentiasa bersih dan suci.’  Isteri-isteri.  Maksudnya ramai.  Bukannya seorang.  Sesuai sangat dengan selera lelaki yang sukakan ramai perempuan. 
‘Bersih dan suci.’  Maksudnya bukan perempuan murahan bekasan si fulan dan si fulan.  Bahkan semuanya dara sentiasa.  Kecantikannya pula yang tidak pernah dilihat.  Bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran.
‘Mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’  Maksudnya hadiah syurga itu akan digazetkan sebagai milik kekal kita selama-lamanya.  Bukannya sekadar menikmatinya seketika sebagaimana habuan dunia yang sementara. 

Kalau Mat Rempit mampu bersabar dikejar polis dan dicerca masyarakat sekadar mengejar sepicis habuan dunia yang sementara, sudah tentu mereka lebih sanggup bersabar berlumba-lumba melakukan kebaikan demi ganjaran syurga yang menanti! 

Lihat apa kata mereka yang jadi juara dalam perlumbaan taat, ‘ Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan anugerahNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ dan Kami juga tidak akan merasa letih lesu.’ Ucapan ini dirakamkan di dalam ayat 34 dan 35 surah Faatir.

Fikir-fikirkan…!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: